SHAH ALAM - Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) belum menerima laporan mengenai jumlah kerugian sebenar dialami ahlinya berikutan masalah gangguan bekalan elektrik melanda beberapa kawasan termasuklah Lembah Klang, Pulau Pinang,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) belum menerima laporan mengenai jumlah kerugian sebenar dialami ahlinya berikutan masalah gangguan bekalan elektrik melanda beberapa kawasan termasuklah Lembah Klang, Pulau Pinang, Pahang, Perak dan Kedah, pada Rabu lalu.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, setakat ini pihaknya masih mengumpul laporan mengenai jumlah kerugian sebenar dialami pengilang akibat insiden gangguan bekalan elektrik berkenaan.

"Saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai isu berkenaan kerana setakat ini FMM belum menerima sebarang laporan berhubung ada mana-mana pengilang mengalami kerugian akibat gangguan bekalan elektrik pada Rabu lalu.

"FFM hanya akan mengeluar kenyataan rasmi mengenai jumlah kerugian dialami ahli selepas kami mendapat laporan penuh," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai berapakah jumlah kerugian sebenar dialami pengilang berikutan masalah gangguan bekalan elektrik melanda beberapa negeri kawasan terutamanya di Lembah Klang, pada Rabu lalu.

Antara kawasan terbabit adalah di Petaling Jaya, Cheras, Bangi, Bayan Lepas, Seberang Jaya, Panchor dan Bandar Indera Mahkota.

Masalah gangguan bekalan elektrik yang berlaku sekitar jam 12.50 petang itu dapat dipulihkan sepenuhnya selepas sekitar dua jam kemudian.

Bagaimanapun, difahamkan ia menjejaskan banyak perniagaan apabila kompleks beli-belah dan banyak premis perniagaan terjejas apabila turut terputus bekalan elektrik.

SEJUTA DAPAT REBAT

Dalam pada itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dilaporkan akan memberi rebat kepada satu juta pemilik akaun yang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik mengejut pada Rabu lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pemberian rebat tersebut akan dibentangkan di Parlimen pada Khamis ini.

"Jumlah satu juta akaun yang terjejas itu merangkumi pengguna domestik, industri dan komersial.

"Bagaimanapun jumlah anggaran tidak dapat dipastikan lagi," katanya ketika pemberita di sini pada Sabtu.

Klik di sini untuk terus membaca