TIADA siapa yang dapat menentukan dengan pasti bilakah tarikh pilihan raya umum akan datang.
Yang pasti, tempoh penggal ini hanya tinggal kurang lebih setahun sahaja lagi.
Pada kiraan Belalang, jika itulah keadaannya, cuma ada dua kebarangkalian sahaja.
Jika pilihan raya umum tidak diadakan tahun ini maka ia tidak akan diadakan langsung sehinggalah tempoh tamat Julai tahun depan.
Ini kerana situasi ekonomi negara, inflasi dan kenaikan harga barang menjadikan pilihan raya bukan opsyen yang baik untuk kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob buat masa ini.
Namun begitu, jika ditunggu sehingga tahun hadapan, dikhuatiri situasi ekonomi akan menjadi bertambah tenat dan keadaan inflasi juga tidak menunjukkan sebarang penurunan.Mana-mana kerajaan pun tak akan sanggup atau bersedia berhadapan dengan kemarahan rakyat dalam situasi yang begini.
Oleh hal yang demikian apakah opsyen yang kerajaan ada di hadapan mata? Tahun inikah atau tunggu sampai habis tempoh penggal.
Pada pandangan Belalang, PM hanya ada satu opsyen sahaja iaitu adakan pilihan raya umum tahun ini.
Bila? Sebaik-baiknya selepas pembentangan Bajet 2023 pada pertengahan Oktober nanti.
Ini bermakna, Pilihan Raya Umum ke-15 boleh diadakan menjelang November atau Disember nanti.
Dari segi logik akal, bajetlah waktu yang terbaik untuk kerajaan PM bentangkan apa yang boleh mereka tawarkan kepada rakyat.
Jika rakyat percaya dan yakin bahawa bajet yang dibentangkan itu wajar dipertahankan untuk kebaikan mereka dan negara, maka mereka boleh membuat keputusan sama ada untuk terus memberi mandat kepada kerajaan yang sedia ada sekarang.
Jika ia tidak meyakinkan, mereka boleh sahaja membuat keputusan sebaliknya.
Untuk kerajaan Ismail Sabri sendiri, bajet adalah satu-satunya tingkap yang sesuai untuk membentangkan apa yang boleh mereka tawarkan kepada rakyat.
Itu adalah peluang yang sebaik-baiknya.
Jika mereka terlepas peluang itu, mereka mungkin tidak akan ada peluang yang kedua.
Sebaliknya jika ia tidak diadakan pada tahun ini juga maka adalah lebih baik tunggu sehingga penggal tamat secara automatik.
Tapi risikonya sangatlah besar. Maka keputusan yang tepat sangatlah penting dan getir.
Klik di sini untuk terus membaca