PUTERA Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman (MBS) mengadakan lawatan ke luar negara selepas kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada bulan lalu untuk menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan dan Pembangunan Jeddah... Klik di sini untuk terus membaca

PUTERA Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman (MBS) mengadakan lawatan ke luar negara selepas kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada bulan lalu untuk menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan dan Pembangunan Jeddah (GCC 3).

Biden berkunjung ke Jeddah selepas beliau mengkritik Riyadh susulan kejadian pembunuhan seorang wartawan yang juga kolumnis untuk The Washington Post, Jamal Khashoggi di konsulat Saudi di Istanbul pada 2018.

Beliau lantang melemparkan kritikan itu sejak sebelum mengambil alih jawatan di Rumah Putih lagi dan pernah mengeluarkan kenyataan hanya berurusan secara langsung dengan ayahanda MBS iaitu Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

Bagaimanapun, Biden terpaksa menilai semula hubungan dengan negara pengeluar minyak terbesar dunia itu berikutan kempen pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang menyebabkan harga minyak mentah brent mencecah paras tertinggi dalam tempoh 14 tahun iaitu sebanyak AS$139.13 (RM619.13) setong pada awal tahun lalu.

Ketika lawatan itu, MBS menyambut kedatangan Biden yang telah membangkitkan isu tentang pembunuhan Jamal kepadanya yang disifatkan sebagai episod menyakitkan buat Saudi.

MBS turut menyatakan bahawa beliau akan mengambil tindakan terhadap pelaku yang bertanggungjawab dalam kejadian tersebut dan menafikan terlibat dalam insiden itu.

Namun, lawatan tersebut lebih dilihat bermotifkan kepentingan ekonomi Riyadh berbanding dengan isu hak asasi manusia.

Selepas lawatan itu berakhir, MBS yang dianggap sebagai pemerintah ‘de facto’ Saudi mengadakan lawatan buat pertama kali ke luar negara dan memilih Greece serta Perancis sebagai destinasi baginda.

Athens menerima ketibaan Putera Mahkota itu dengan penuh rasa hormat, di samping Menteri Pembangunan, Adonis Georgiadis dilaporkan menzahirkan rasa kagum terhadap kepimpinannya dan visinya untuk Saudi, selain cara kerajaan tersebut berkembang ke era baharu kemanusiaan dalam tenaga boleh diperbaharui serta teknologi baharu.

Lawatan yang dilakukan pada minggu lalu menyaksikan sebanyak 17 perjanjian dua hala telah dimeterai termasuk yang melibatkan pemasangan kabel elektrik antara kedua-dua negara.

MBS juga berjanji untuk menyediakan tenaga yang jauh lebih murah kepada Eropah.

Ketika lawatan selama dua hari itu, MBS turut menemui Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis dan Riyadh bersetuju untuk mengeksport elektrik yang dihasilkan dengan menggunakan tenaga boleh diperbaharui ke Eropah melalui Athens.

Dalam lawatan itu juga, Putera Mohammed berkata, negaranya sedang mengusahakan cara untuk menjadikan Greece sebagai hab gas hidrogen kepada Eropah.

Berdasarkan sambutan dan layanan baik yang diterima MBS, Greece jelas tidak meminggirkan baginda dan Riyadh walaupun AS menggembar-gemburkan rekod buruk berkaitan hak asasi manusia di negara Teluk tersebut.

BARAT TERDESAK

MBS kemudiannya meneruskan lawatan baginda ke ibu kota Paris pada Khamis lalu.

Baginda yang diangkat sebagai juara reformasi sosial dan ekonomi di Riyadh diberikan sambutan terhormat serta majlis makan malam bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Riyadh mengalami transformasi sosial dan ekonomi sejak Putera Mohammed menjadi Putera Mahkota Arab Saudi. - AFP

Tokoh pembangkang Perancis dan kumpulan hak asasi manusia bagaimanapun mengkritik keputusan Macron untuk mengundang MBS makan malam bersama di Istana Elysee.

Ketika ini, negara Barat kelihatan terdesak untuk mencari sumber tenaga baharu ekoran ‘hubungan dingin’ dengan Rusia.

Hal itu menyebabkan pemimpin de facto berusia 36 tahun dari negara pengeluar minyak mentah terbesar dunia itu telah menjadi tokoh penting kepada mereka.

Pemimpin Barat juga dikatakan tidak sabar untuk menetapkan semula hubungan dengan Riyadh sebagai usaha menentang peningkatan pengaruh serantau dari Iran, Rusia dan China.

Operasi ketenteraan Rusia ke atas Ukraine telah menyebabkan harga sumber tenaga melonjak dan Macron menggesa Saudi untuk meningkatkan pengeluaran minyak.

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC ) termasuk Rusia dijangka mengadakan pertemuan tidak lama lagi dan anggotanya dikatakan menerima tekanan bagi membantu meredakan krisis kenaikan harga minyak.

Sehubungan itu, peranan Putera Mohammed kini dilihat semakin penting oleh dunia termasuk AS ketika dunia dilanda krisis Perang Ukraine menyebabkan beliau tidak boleh dipinggirkan dan pengaruhnya amat besar di peringkat antarabangsa.

Klik di sini untuk terus membaca