DALAM tulisan minggu lalu, saya menyentuh mengenai pembelian hartanah berharga £247.5 juta (kira-kira RM1.32 bilion) di London oleh Lembaga Tabung Haji (TH). Bangunan dikenali sebagai ‘Great Minster’ itu diduduki oleh Jabatan... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM tulisan minggu lalu, saya menyentuh mengenai pembelian hartanah berharga £247.5 juta (kira-kira RM1.32 bilion) di London oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Bangunan dikenali sebagai ‘Great Minster’ itu diduduki oleh Jabatan Pengangkutan United Kingdom, maksudnya bangunan tersebut telah ada penyewa.

Ia dibeli daripada syarikat hartanah Singapura, Sinarmas Land Ltd. Menurut laporan media massa, harga jual beli itu diumumkan oleh Sinarmas.

TH dalam kenyataan medianya tidak menyatakan harga tersebut. Harap-harap tiada apa yang hendak dirahsiakan.

Pelaburan hartanah di dalam dan luar negara oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada masa lampau mendapat nama busuk kerana melibatkan rasuah serta pecah amanah.

Misalnya, pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mendapati bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bersalah atas sembilan tuduhan rasuah RM3 juta melibatkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak.

Itu hanyalah satu kes rasuah melibatkan pelaburan oleh Felda dan anak-anak syarikatnya.

Kertas Putih Felda mendedahkan kira-kira RM1.4 bilion daripada RM10.5 bilion hasil penyenaraian FGV Holdings Bhd di Bursa Malaysia pada 2012 dibelanjakan ke atas urus niaga meragukan.

Jadi, tidak hairanlah jika ada pihak curiga mendengar pengumuman TH mengenai pembelian hartanah di London.

Banyak sangat rasuah, pecah amanah dan salah guna kuasa oleh GLIC serta GLC dalam urusan seumpama itu.

Kalau dibuat dengan betul, pelaburan hartanah adalah antara sumber pendapatan terbaik dan selamat.

Boleh kata, semua GLIC dan GLC utama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melabur nisbah yang besar dalam hartanah.

Malah, untuk membolehkan bumiputera terlibat dengan perniagaan hartanah dan supaya tidak semua hartanah jatuh ke tangan bukan bumiputera, kerajaan menubuhkan agensi khas iaitu Amanah Hartanah Bumiputera (AHB).

Melaluinya, orang perseorangan bumiputera boleh membeli saham unit.

PELABURAN HARTANAH

Malangnya, akibat kejatuhan kadar pertumbuhan ekonomi susulan pandemik dan lebihan bekalan hartanah yang teruk, pulangan pelaburan hartanah merosot.

Seperti dilaporkan Sinar Harian pada 28 Julai lalu, Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) merekodkan sebanyak 35,592 unit rumah siap bernilai RM22.45 bilion tidak dapat dijual bagi tempoh suku pertama tahun ini.

Itu rumah kediaman. Bangunan pejabat dan perniagaan pun sama.

Inilah masalah dengan pasaran hartanah Malaysia untuk sekian lama. Bekalan banyak, permintaan rendah tetapi harga tetap tinggi.

Akibatnya pulangan pelaburan tidak cukup besar untuk menarik minat pelabur. Global Property Guide meramalkan pulangan sewa kasar antara 2.62 peratus dan 6.52 peratus bagi hartanah di Malaysia.

Bandingkan dengan tujuh peratus atau lebih yang boleh diperoleh di London.

Lagi pun dalam jangka masa singkat, sedang berlaku pengaliran keluar modal yang banyak daripada pasaran modal Malaysia dan negara-negara jiran akibat tindakan Bank Pusat Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah.

Apabila kadar faedah di AS naik, pemodal membawa wang mereka ke negara itu untuk menikmati kadar faedah lebih tinggi.

Kesimpulannya, pelabur besar seperti KWSP, PNB, Khazanah dan TH tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada pasaran hartanah tempatan untuk menjana pulangan mencukupi.

Tanpa pulangan mencukupi, mereka tidak dapat membayar dividen yang baik kepada pencarum, pelabur dan penyimpan. Jadi, terpaksalah mereka pergi ke mana sahaja di dunia yang menjamin kadar pulangan baik.

Masalahnya, ramai orang masih kurang yakin GLIC, GLC dan agensi seperti Felda tidak akan terlibat lagi dengan perbuatan rasuah apabila membeli hartanah di luar negara.

Harap-harap tidaklah berulang perbuatan terkutuk seperti itu.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca