SHAH ALAM - Terdapat golongan wanita di negara ini yang sanggup berbelanja lebih RM30,000 setahun atau purata RM2,500 sebulan demi penjagaan kesihatan dan kecantikan mereka. Tawaran pakej rutin penjagaan aspek berkenaan melalui pusat-pusat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Terdapat golongan wanita di negara ini yang sanggup berbelanja lebih RM30,000 setahun atau purata RM2,500 sebulan demi penjagaan kesihatan dan kecantikan mereka.

Tawaran pakej rutin penjagaan aspek berkenaan melalui pusat-pusat kesihatan dan kecantikan, memudahkan lagi golongan ini untuk melanggan terus perkhidmatan selama setahun selain mengamalkan aspek tambahan lain.

Pakar kecantikan, Dr Diana Sabrina Redzuan Lim berkata, kos berkenaan adalah kadar normal bagi golongan berada atau ‘kayangan’ yang mementingkan penjagaan kesihatan dan kecantikan diri.

Menurut Diana, kebiasaannya pakej yang ditawarkan merangkumi rawatan lebih menyeluruh termasuk urutan badan.

"Ada yang melanggan pakej sehingga RM30,000, biasanya golongan elit kerana mereka sememangnya amat obses tentang penjagaan kecantikan dan kesihatan.

"Bahkan ada juga yang mendapatkan rawatan kecantikan di luar negara,” cerita beliau kepada Sinar Ahad.

Tambah Diana, selain melanggan perkhidmatan rawatan melalui pusat-pusat kecantikan, terdapat juga yang sanggup melabur duit untuk makanan demi kecantikan.

"Contohnya sarang burung yang harganya paling murah sekitar RM7,000 untuk 30 botol,” ujarnya.

Jelas beliau, perbelanjaan golongan wanita demi penjagaan kesihatan dan kecantikan tidak terhad kepada golongan ‘kayangan’ sahaja kerana pelbagai golongan wanita di negara ini mempunyai banyak pilihan untuk mengambil pakej yang mereka mampu.

Pada masa sama, terdapat juga wanita biasa yang tidak kisah perlu berhabis demi mendapatkan rawatan terbaik khususnya yang mempunyai masalah kulit muka.

"Contohnya jika jenis kulit berjerawat, kos bagi klinik pakar kulit termasuk ubat dan konsultasi adalah minimum sekitar RM200 hingga RM500 bagi setiap sesi.

"Ini tidak termasuk kos pakej rawatan di spa dan produk penjagaan kulit yang berharga sehingga lebih RM500 untuk tempoh dua ke tiga bulan bergantung kepada rutin individu,” katanya.

Berkongsi pengalaman, beliau yang juga bekas perunding kecantikan di salah sebuah medispa terkemuka berkata, terdapat pelanggan yang melakukan rawatan bulanan secara konsisten setiap bulan selama tiga tahun meskipun masih di bawah tanggungan ibu bapa.

"Sebenarnya agak jarang ditemui seseorang yang sangat berdisiplin dalam penjagaan diri.

"Antara ratusan pelanggan yang datang, dia seorang saja yang hadir setiap bulan demi kulitnya. Dia mahu dapatkan kulit yang sihat seperti yang dimahukan,” kata Diana.

USAHAWAN BELANJA RM3,500 SEBULAN

Dalam pada itu, Pengarah Hannan Medispa Wangsa Maju, Nurul Huda Kasnon berkata, dia yang mementingkan aspek penjagaan kulit wajah seawal usia 13 tahun, membelanjakan sehingga RM3,500 sebulan demi kesihatan dan kecantikan.

"Saya percaya setiap wanita ada cara tersendiri untuk menjaga kesihatan dan kecantikan.

"Kenaikan harga barang dan perkhidmatan memberi kesan terhadap golongan wanita terutama untuk membeli produk kecantikan serta penjagaan kesihatan, namun saya sentiasa mengamalkan prinsip berbelanja mengikut kemampuan.

"Saya juga terkesan dengan kenaikan itu dan adakalanya terpaksa menambah bajet bulanan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Tambahnya, sebanyak RM2,000 diperuntukkan untuk rawatan kecantikan termasuk yuran gimnasium

"Untuk produk kecantikan selalunya saya akan menyediakan sekurang-kurangnya RM1,500 tertakluk kepada jenama produk.

"Saya selalunya tak beli setiap bulan, kalau dah habis baru saya akan berbelanja,” ujar ibu kepada seorang anak ini.

Nurul Huda berkata, dia juga mementingkan penjagaan kelangsingan untuk mengekalkan tubuh badan yang diidamkan dan kecantikan kulit wajah.

"Saya juga akan memastikan kebersihan diri terutama merias kuku dan mendapatkan rawatan rambut pada setiap bulan untuk mengekalkan kebersihan serta mempunyai rambut yang sihat.

"Biarpun sibuk dengan tuntutan tugas dan keluarga namun saya tetap disiplinkan diri untuk sentiasa kekal sihat dan cantik,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca