AYAM ialah makanan berdaging paling popular bukan sahaja di Malaysia, malah hampir di seluruh dunia. Oleh sebab peluang perniagaan dan kepentingan manusia yang begitu besar, penternakan ayam bukan lagi kerja separuh masa atau sambil lewa.... Klik di sini untuk terus membaca

AYAM ialah makanan berdaging paling popular bukan sahaja di Malaysia, malah hampir di seluruh dunia.

Oleh sebab peluang perniagaan dan kepentingan manusia yang begitu besar, penternakan ayam bukan lagi kerja separuh masa atau sambil lewa. Modal dilaburkan boleh mencecah ratusan ribu atau jutaan ringgit.

Negara kita pula mula mengisytiharkan pertanian sebagai satu industri.

Atas sebab itu, sebarang keputusan dasar mengenai penternakan ayam harus mengambil kira pelbagai aspek termasuk implikasi perniagaan kepada penternak, mendahulukan kepentingan rakyat dan memastikan kredibiliti peniaga negara di peringkat antarabangsa terjaga.

Jun lalu, kerajaan telah membuat satu langkah drastik ke belakang dan menjejaskan reputasi peniaga kita di peringkat antarabangsa apabila mengumumkan larangan eksport ayam pedaging (broiler chicken) ke luar negara.

Namun, kerajaan sebagai pembuat polisi yang bertanggungjawab menjaga dan mendahulukan kepentingan rakyat tiada pilihan.

Tekanan permintaan ayam dalam negeri terlampau tinggi sehingga menyebabkan kekurangan bekalan dan harga melonjak tinggi akibat lebihan permintaan berbanding penawaran.

Pembukaan permit import ayam bulat juga gagal menyelesaikan masalah bekalan ayam.

Kekurangan bekalan adalah kerana dua keadaan. Pertama, berlaku permintaan tinggi pada bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri. Kedua, bekalan ayam berdepan ketidaktentuan sejak tahun lalu susulan pandemik.

Penternak mengurangkan jumlah ternakan ayam bagi mengelak kerugian akibat kekurangan permintaan.

Walaupun kerajaan tiada pilihan kecuali melaksanakan larangan eksport dan memberi lebih banyak kebenaran import bagi menstabilkan bekalan ayam dalam negara, namun ia juga memberi kesan kepada penternak yang telah mempunyai kontrak dengan negara luar terutama Singapura.

Malaysia mengeksport 3.6 juta ekor ayam sebulan ke negara luar, manakala keperluan bekalan ayam dalam negara kira-kira 1.8 hingga dua juta sehari.

Apabila larangan eksport berterusan selama lebih dua bulan dan musim perayaan telah tamat, negara kini berdepan lambakan ayam pedaging di pasaran berikutan kekurangan permintaan.

Jika sebelum ini ayam dijual semasa berusia 28 hari, kini ada yang melebihi 30 hari baru dapat dijual. Ada yang ‘membuang harga’ hanya untuk memastikan ayam tidak perlu tinggal di ladang.

HARGA MURAH

Ramai pengguna melahirkan keseronokan kerana harga ayam di sesetengah tempat dijual lebih murah daripada harga siling ditetapkan kerajaan. Namun, harga murah yang mereka dapat adalah atas kerugian penternak.

Keadaan itu tidak akan kekal lama kerana penternak akan mengurangkan pengeluaran bagi memastikan mereka kembali mencatatkan keuntungan munasabah. Apabila penternak mengurangkan pengeluaran, negara akan kerugian dari segi hasil dan produktiviti.

Jika ladang yang mampu menghasilkan sejuta ekor ayam sebulan mengurangkan kepada 500,000 ekor ayam, ia adalah kerugian kepada negara dari segi kutipan cukai dan pertumbuhan ekonomi.

Justeru, larangan eksport sewajarnya ditarik balik dan diganti dengan satu dasar lebih komprehensif bagi membolehkan penternak ayam pedaging berkembang maju.

Adalah tidak munasabah untuk sebuah negara yang setelah berdekad lalu mengisytiharkan pertanian sebagai satu industri mempunyai polisi melarang eksport keluaran pertanian.

Berbanding mengharamkan eksport ayam secara total, kerajaan boleh merumus dasar yang mensyaratkan nisbah pengeluaran untuk tempatan dan eksport setiap ladang, misalnya 70-30.

Jika sejuta ayam dikeluarkan ladang tersebut, maka 700,000 ekor ayam adalah untuk pasaran tempatan.

Melalui kaedah itu, penternak juga boleh memaksimumkan keuntungan untuk ayam dieksport bagi menampung keuntungan yang terhad dalam sistem harga siling ayam ditetapkan oleh kerajaan.

Untuk itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) tidak boleh lagi beroperasi dengan cara lama yang hanya bertindak sekiranya ada masalah dan memberi penyelesaian separuh masak sehingga menjejaskan industri tani serta kredibiliti peniaga Malaysia di peringkat antarabangsa.

MAFI seharusnya proaktif membuat jangkaan penggunaan dan bekerjasama dengan penternak yang berhasrat mengeksport hasil pengeluaran agar mereka boleh memenuhi tuntutan tempatan tanpa menjejaskan kontrak eksport sedia ada.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca