NEW Zealand sering dikaitkan sebagai negara pengeluar produk tenusu. Namun, ramai tidak mengetahui Malaysia dan New Zealand telah menjalinkan hubungan serta kerjasama erat. Hubungan diplomatik antara Malaysia dan New Zealand telah terjalin... Klik di sini untuk terus membaca

NEW Zealand sering dikaitkan sebagai negara pengeluar produk tenusu. Namun, ramai tidak mengetahui Malaysia dan New Zealand telah menjalinkan hubungan serta kerjasama erat.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan New Zealand telah terjalin pada 25 September 1957 iaitu kurang sebulan daripada tarikh kemerdekaan.

Perlu ditegaskan, Malaysia kekal sebagai salah satu rakan kongsi tertua bagi New Zealand di Asia Tenggara. Hubungan dan kerjasama antara Kuala Lumpur dengan Wellington tertumpu kepada tiga aspek utama.

Pertama, dalam ekonomi dan perdagangan. Malaysia merupakan rakan perdagangan utama bagi New Zealand kerana kedudukan Malaysia yang strategik di rantau Asia Tenggara.

Hubungan ekonomi Malaysia-New Zealand berdasarkan kepada empat perjanjian perdagangan bebas yang telah dipersetujui. Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia NZ (MNZFTA) pada 1 Ogos 2010, bertujuan menggalakkan pelaburan dua hala.

Malaysia dan New Zealand juga adalah rakan dalam Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN Australia New Zealand (AANZFTA) berkuat kuasa pada 1 Januari 2010 dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu.

Aspek kedua adalah pendidikan. New Zealand telah menjadi destinasi utama bagi rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran. Sejak Rancangan Colombo diperkenalkan pada 1950-an, ramai rakyat Malaysia telah memperoleh pendidikan dan latihan di New Zealand.

Pada 27 Mac 1996, Kursi Pengajian Melayu telah ditubuhkan di Universiti Victoria of Wellington, bertujuan menggalakkan pengajaran dan penyelidikan dalam pengajian Melayu serta Malaysia.

Selain Victoria University of Wellington, New Zealand, Kursi Pengajian Melayu juga telah diwujudkan di Leiden University, Belanda; University of Ohio, Amerika Syarikat dan Beijing Foreign Studies University, China.

Kerajaan New Zealand melalui Education New Zealand (ENZ) membantu menyelaraskan program-program pendidikan bagi pelajar Malaysia.

BANTUAN KETENTERAAN

ENZ juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti tempatan dengan menawarkan bantuan biasiswa, pembayaran yuran pengajian serta peralatan kepada pelajar tempatan.

Misalnya, baru-baru ini Pendidikan New Zealand Manapou ki te Ao telah menawarkan bantuan kewangan RM15,000 kepada tiga pelajar peribumi daripada Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya melalui Biasiswa Whakatipu. Objektif bantuan adalah demi pembangunan dan pendidikan penduduk peribumi.

Pendidikan New Zealand Manapou ki te Ao adalah sebuah agensi kerajaan yang berdedikasi membantu Aotearoa New Zealand (masyarakat Moari) merealisasikan faedah sosial, budaya dan ekonomi pendidikan antarabangsa.

Aspek ketiga adalah pertahanan dan keselamatan. Sejak Perang Dunia Kedua, New Zealand telah menyumbang kepada pertahanan negara. Ketika Perang Dunia Kedua, tentera New Zealand bersama tentera Komanwel lain telah mempertahankan Tanah Melayu dan Borneo daripada serangan tentera Jepun. Jasa tentera New Zealand dikenang di Tugu Peringatan Perang di Kundasang, Ranau, Sabah.

Sewaktu Malaysia terpaksa berdepan ancaman komunis ketika Darurat dan pencerobohan tentera Indonesia semasa konfrontasi pada 1950-an dan 1960-an, Pasukan Pertahanan New Zealand (NZDF) telah berjuang bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mempertahankan negara.

Sebagai tanda berterima kasih, kerajaan Malaysia telah menganugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada warga New Zealand yang berkhidmat di Malaysia antara 31 Ogos 1957 dan 31 Disember 1966.

Kini kerjasama pertahanan diteruskan melalui pelbagai program dua hala dan Five Power Defence Arrangement (FPDA). Selama bertahun-tahun, ramai tentera Malaysia, kelasi dan kru udara telah mengambil bahagian dalam latihan serta program ketenteraan.

Malaysia terus bekerjasama dengan New Zealand secara multilateral melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), ASEAN, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Komanwel demi kepentingan bersama.

Hubungan rakyat ke rakyat atau people to people (P2P) kekal mesra dan erat dengan peningkatan lawatan pelancong dari kedua-dua negara.

Pada masa sama, terdapat ramai warganegara Malaysia yang menetap di New Zealand.

Justeru, hubungan dan kerjasama Malaysia-New Zealand dijangka terus berkembang maju.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca