BARU-BARU ini terdapat cabaran di Mahkamah Persekutuan yang memohon mahkamah itu mengisytiharkan Persekutuan tidak boleh mengawal pengubatan Islam.
Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan tersebut dan menegaskan Persekutuan bukan negeri, mempunyai kuasa dalam perkara itu.
Pada pandangan saya, keputusan tersebut sejajar dengan perkara lain seperti perbankan Islam yang diletakkan dalam kuasa Persekutuan.
Keputusan itu turut menjadi tanda aras dan pemangkin ke arah usaha bagi memperkasa pengubatan Islam di Malaysia.
Pengubatan Islam sejak kebelakangan ini telah mula mendapat perhatian oleh masyarakat Islam termasuklah sebahagian bukan Islam yang mempercayai pengubatan Islam berteraskan al-Quran dan sunnah.
Walaupun pengubatan Islam lebih sinonim bagi masyarakat Islam sebagai rawatan yang menggunakan doa-doa rukyah tetapi hakikat sebenarnya ia meliputi segala usaha dan ikhtiar termasuklah amalan terdahulu yang tidak bertentangan dengan hukum syarak.
Antara ciri-ciri pengubatan Islam ialah mementingkan soal akidah (kesembuhan milik ALLAH, iman kepada qada dan qadar, tidak terlibat dengan amalan khurafat seperti sihir dan sebagainya, mematuhi syariat (kaedah rawatan yang harus dan penggunaan ubatan halal) serta berkhidmat kepada ummah sebagai objektif utama, bukan dengan tujuan komersial.
Perawat akan mengusahakan kesembuhan menggunakan kaedah dibenarkan hukum syarak dengan ubat dan penawar dikenal pasti mampu menyembuhkan penyakit. Ia dilengkapkan dengan pergantungan kepada ALLAH melalui doa dan rukyah.
Pengubatan Islam juga tidak hanya merawat penyakit-penyakit spiritual seperti gangguan sihir dan seumpamanya tetapi juga penyakit fizikal.
Akta Pengubatan Tradisional dan Komplementari 2015 yang diluluskan Parlimen telah memasukkan pengubatan Islam sebagai salah satu pengubatan diiktiraf di bawah akta tersebut.
Pengubatan Islam bukan mengambil tempat perubatan konvensional yang ada ketika ini tetapi bertindak melengkapi lompong-lompong masih wujud, di mana perubatan konvensional tidak dapat berfungsi atau bertindak khususnya dari aspek rohani.
Pengubatan Islam tidak menjejaskan akidah seseorang yang menjadi perkara pokok kepada tunjang kepercayaan orang Islam.
Analogi mudah adalah seseorang yang mengalami sakit kepala makan ubat sakit kepala dan sembuh. Bukanlah ubatan tersebut yang menyembuhkannya tetapi ALLAH yang menyembuhkannya. Ubat tersebut adalah sebagai usaha semata-mata.
TANGKAL DAN AZIMAT
Pengubatan Islam menepis segala bentuk mistik dan perkara yang melanggar ajaran agama Islam. Oleh itu, amalan berdasarkan spiritual dan kebatinan, penglibatan makhluk halus serta jampi serapah yang berunsur syirik terkeluar daripada pengubatan Islam.
Begitu juga penyalahgunaan ayat-ayat al-Quran, pemakaian tangkal dan azimat serta penggunaan bahan-bahan kotor dan najis tidak dibenarkan.
Malah, melakukan ritual pemujaan, perdupaan dan menurun juga bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Bukan itu sahaja, sumber ilmu umpamanya daripada mimpi pertapaan juga sesuatu diragui, apatah lagi jika perawat mendakwa boleh meramal masa akan datang dan menilik perkara ghaib.
Kesemua perkara tersebut mesti diteliti agar akidah tidak tergelincir semata-mata dengan mendakwa seseorang itu mengamalkan perubatan Islam.
Disebabkan Mahkamah Persekutuan telah memutuskan kuasa sah Persekutuan membuat undang-undang berkaitan pengubatan Islam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hendaklah mengambil langkah proaktif memajukan pengubatan Islam serta membendung semua ajaran dan amalan berkait dengannya yang menyimpang daripada ajaran Islam.
Masyarakat sangat mudah terpengaruh, khususnya apabila melihat orang yang berbusana seperti alim ulama. Mereka terus mempercayai orang tersebut mempunyai ilmu agama yang betul, walhal ia mungkin hanya metodologi beliau mahu mengaburi mata orang ramai.
Akhirnya orang awam terperangkap dengan penipuan tersebut dan menjadi mangsa di dunia serta terjebak dengan amalan bertentangan agama Islam.
Memperkasakan pengubatan Islam akan dapat menghindar orang Islam daripada terjerumus ke dalam aktiviti melanggar ajaran Islam.
Pemurnian akidah melalui pengubatan Islam juga sama pentingnya dengan usaha memartabatkan Mahkamah Syariah.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca