PEMBANGUNAN inklusif masyarakat India di Malaysia telah dijanjikan diberi perhatian seimbang dalam pelan pembangunan nasional lima tahun negara iaitu Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021 hingga 2025. Perdana Menteri, Datuk Seri... Klik di sini untuk terus membaca

PEMBANGUNAN inklusif masyarakat India di Malaysia telah dijanjikan diberi perhatian seimbang dalam pelan pembangunan nasional lima tahun negara iaitu Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menaruh harapan besar dengan menyatakan masyarakat India dibantu bagi mencapai pembangunan inklusif tersebut dan kesejahteraan mereka akan terus diberi keutamaan.

Pencapaian pembangunan inklusif itu merangkumi agenda pendidikan generasi pelajar India dan jaminan peluang saksama menuntut ilmu di peringkat sekolah rendah, menengah, kolej matrikulasi, politeknik hingga Institut Pendidikan Guru (IPG) serta institusi pengajian tinggi (IPT).

Kepentingan dan kesejahteraan yang diutamakan itu acap kali menerima cabaran dalam proses pengimplementasian, sekali gus melunturkan kepercayaan masyarakat India terhadap tampuk kepimpinan kerajaan yang berusaha sedaya upaya merealisasikan manifesto pembangunan tersebut.

Baru-baru ini, impian pelajar-pelajar India lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menjejak kaki ke kolej matrikulasi dan IPG tidak menjadi realiti.

Akhbar harian Tamil, Malaysia Nanban melaporkan lebih 200 pelajar India yang telah memohon melanjutkan pengajian matrikulasi gagal menempah tempat untuk ke kolej berkenaan. Nasib sama menimpa pelajar India yang menghantar permohonan di IPG seluruh negara.

Malaysia Nanban mendakwa kesemua permohonan pelajar yang layak ke kolej matrikulasi dan IPG telah ditolak.

Justeru, pihak pentadbiran kolej matrikulasi dan IPG perlu bertanggungjawab untuk menjelaskan alasan relevan bagi tindakan menolak permohonan pelajar yang layak memperoleh peluang pendidikan itu.

RAYUAN

Sehubungan itu, Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Nelson Renganathan yang kecewa dengan isu berkenaan berkata, program matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperuntukkan 10 peratus daripada keseluruhan tawaran kepada pelajar bukan bumiputera.

Nelson menegaskan, KPM perlu mengambil langkah sewajarnya untuk mendidik pelajar mengenai cara permohonan yang betul dan terkini supaya pelajar layak tidak terlepas peluang emas tersebut.

Sementara itu, menurut laporan Malaysia Nanban, Biro Pendidikan MIC telah bertemu dengan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin untuk membawa isu tersebut bagi perhatian beliau.

Mohd Radzi menjelaskan, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya selepas keputusan rayuan matrikulasi masih tidak berpihak kepada pelajar-pelajar berkenaan.

Beliau juga berjanji tawaran kuota matrikulasi diperuntukkan kepada pelajar India itu tidak akan diganggu dan masyarakat India diminta usah bimbang mengenai keistimewaan tersebut.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat India turut tampil berhujah tentang kerisauan mereka terhadap nasib permohonan pelajar-pelajar India di IPG, dengan hanya 15 pelajar sahaja terpilih untuk meneruskan pengajian.

Menurut NGO berkenaan, jumlah itu sememangnya tidak mencukupi bagi menampung keperluan guru-guru yang mengajar bahasa Tamil di sekolah vernakular Tamil.

Trend seumpama itu besar kemungkinan akan mencetuskan isu kekurangan guru di sekolah-sekolah Tamil pada masa hadapan.

Saban tahun isu permohonan pelajar India yang layak ke kolej matrikulasi dan IPG ditolak diperdebatkan oleh fraterniti graduan, parti politik, NGO dan masyarakat India.

Mungkin penyelesaian terbaik adalah tawaran-tawaran kemasukan itu sewajarnya digazetkan.

*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor

Klik di sini untuk terus membaca