KES penipuan ke Tanah Suci sering kali berlaku dan ia seakan tidak pernah berakhir kerana ‘dalang’ perbuatan menunggang agama itu sentiasa berlegar mencari mangsa.
Bukan bakal jemaah haji tidak mengetahui kes penipuan yang sering berlaku saban tahun, namun sikap alpa dan mudah tertarik dengan tawaran manis si penipu menyebabkan mangsa akhirnya kecundang.
Ikuti wawancara wartawan Rasuah Busters, Hisyamuddin Ayub bersama Pengarah Urusan Utas Travel & Tours Worldwide Holidays Sdn Bhd, Datuk Mohamad Din Yusoh membongkar kes penipuan melibatkan haji furada dan pakej umrah di negara ini.
SINAR HARIAN: Sejak bila Datuk menceburi bidang agensi pelancongan membawa jemaah ke Tanah Suci untuk ibadah haji dan umrah?
MOHAMAD DIN: Saya mengendalikan pakej haji dan umrah hampir 40 tahun. Faktor penggiliran dilihat sebagai punca tertariknya orang ramai ingin mencuba pakej haji furada.
Faktor penggiliran ini sebenarnya disebabkan pertambahan penduduk dunia termasuklah di negara kita yang kini mencecah 33 juta orang.
Jadi sudah tentulah mana-mana negara yang telah diperakukan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan daripada kerajaan Arab Saudi, kuota itu ada bilangannya kepada setiap negara.
Peratusan kuota daripada kerajaan Arab Saudi kepada setiap negara adalah sebanyak 0.001 peratus. Apabila ramai yang ingin mengerjakan haji, tempat tinggal terutama di Arafah dan Mina adalah terhad.
Kalau tidak silap saya, ketetapan kuota bagi jemaah haji dari negara Asia Tenggara di dua tempat utama itu adalah sebanyak 300,000 sahaja. Maka sudah tentulah keadaan seumpama ini memerlukan kepada sistem penggiliran bagi mereka yang ingin menunaikan haji.
Tabung Haji (TH) pernah menyatakan bahawa daftar hari ini mungkin 100 tahun lagi baru dapat penggiliran. Pergi haji adalah kemampuan dari segi yang diperkatakan iaitu di Arafah dan Mina namun ada yang berkemampuan tetapi tidak boleh nak pergi sebab atas faktor kuota.
Orang ramai akan mengambil kesempatan dengan mengintai mana-mana ruang untuk mengerjakan haji termasuk menerusi haji furada. Apakah syarat-syarat melibatkan haji furada?
Haji furada bukan satu yang baharu sebaliknya sudah lama. Meskipun begitu, saya tidak pernah membawa jemaah haji menerusi haji furada ini. Bahkan pada tahun ini juga saya ditawarkan oleh TH untuk membawa jemaah ke Tanah Suci tetapi saya menolaknya biarpun sudah menerima surat tawaran sebab saya memikirkan keadaan belum benar-benar aman lagi.
Oleh sebab itu, saya tidak berhajat untuk bawa jemaah haji kerana saya memikirkan keadaan yang tidak menentu termasuk kesan Covid-19 yang masih lagi ada dan pelbagai gelombang penyakit melanda dunia pada masa ini.
Malah situasi sekarang masih tidak aman. Salah satu syarat haji adalah aman untuk urusan pergi dan balik, selain aman ketika berada di Tanah Suci dan kawasan sekitarnya sepanjang musim haji. Atas faktor tersebut, saya membuat pendirian untuk tidak membawa jemaah haji pada tahun ini.
Berhubung kuota haji furada, difahamkan ia merupakan ihsan daripada kerajaan Arab Saudi melalui kedutaan mereka di Kuala Lumpur yang diberikan kepada individu-individu yang difikirkan layak atau kumpulan-kumpulan kecil iaitu dua atau tiga orang. Kuota haji furada ini bukan sahaja negara kita yang menerimanya, negara lain juga mendapat ihsan menerusi kedutaan mereka di luar negara bagi mendapatkan visa.
Untuk tidak menjadi kekeliruan kepada orang ramai terutama kepada bakal jemaah haji Malaysia, mana-mana pihak yang mendapat kuota haji furada ini perlu melaporkan dan memaklumkan kepada TH. Bagi saya, tindakan seumpama ini adalah yang terbaik.
Sekiranya ini dapat dilakukan, TH boleh menyediakan kelengkapan logistik sama ada di Malaysia atau di Tanah Suci iaitu di Makkah, Madinah, Arafah serta Mina. Kenapa saya kata begini? Ini kerana TH mempunyai pengalaman yang cukup luas mengendalikan jemaah haji. Kalau ini dapat dilakukan oleh TH, maka tidak berlakulah penipuan dan kekeliruan apabila bermulanya musim haji.
Cadangan dan pandangan saya, kalau pihak TH boleh menerima semua kuota haji furada yang diberikan kepada pihak-pihak tertentu. Ia hendaklah dilaporkan kepada pengurusan TH. Malah TH juga boleh menyediakan pesawat membawa jemaah haji dan menyediakan penginapan di Tanah Suci. Pihak pengurusan TH boleh mengagihkan bilangan kuota haji furada kepada pengendali syarikat pelancongan yang diberi lesen terutama Pengelola Jemaah Haji (PJH).
Maka tidak ada kes penipuan atau berlakunya kekeliruan yang akan terjadi apabila setiap kali musim haji. Malah perkara ini juga seharusnya diumumkan melalui media cetak dan elektronik bagi panduan orang ramai.
Bagaimana situasi yang berlaku baru-baru ini apabila ada jemaah haji terkandas dan gagal dibawa oleh pihak agensi pelancongan ke Tanah Suci?
Masalah jemaah yang sangkut atau tidak lepas hendak ke Tanah Suci menerusi kouta haji furada, saya sebenarnya tidak jelas sama ada agensi pelancongan ini sebenarnya sudah menyediakan pesawat bagi membawa jemaah haji, penginapan di Tanah Suci, pengangkutan dan visa.
Jadi inilah yang paling penting sekali untuk kita sebagai agensi pelancongan pastikan bahawa semua jemaah dapat menunaikan haji dengan sempurna. Kalau kapal terbang tiada, bagaimana?
Supaya orang ramai tidak tertipu dan mengetahui sejauh mana sahih visa haji furada yang diterima oleh pihak tersebut, apa yang perlu dilakukan oleh bakal jemaah haji?
Cadangan saya, jemaah perlu tahu status pesawat yang diambil oleh penganjur, tempat penginapan di Tanah Suci, pengangkutan dan paling penting adalah visa haji. Kalau semua ini sudah ada, pastinya masalah ini (penipuan) tidak akan timbul. Sebaliknya kalau berlaku, syarikat yang mengendalikan jemaah ini perlu memaklumkan kepada semua jemaah menerusi aplikasi WhatsApp secara berkala. Ini bagi mengingatkan jemaah haji supaya tidak datang ke terminal haji.
Apakah penyebab jemaah haji furada tidak dapat berlepas di saat akhir ke Tanah Suci?
Bagi syarikat yang berpengalaman membuat haji dan umrah, mereka sudah tahu langkah mana yang perlu dilakukan terlebih dahulu dan diikuti langkah-langkah seterusnya. Jadi jika berlaku sesuatu yang tidak merangkumi apa yang diperlukan iaitu tiket yang telah dibeli, penginapan dan visa, mereka akan menarik diri daripada membawa jemaah haji ke Tanah Suci.
Maka pada pandangan saya, kejadian baru-baru ini disebabkan syarikat tersebut tidak mempunyai pengalaman. Jika tiada pengalaman, mereka tidak tahu hendak bertanya kepada siapa apabila berhadapan dengan masalah.
Ada dakwaan menyatakan terdapat individu tertentu yang mengawal pemberian visa haji furada di negara ini? Adakah terdapat kartel yang monopoli pemberian visa ihsan daripada kerajaan Arab Saudi tersebut?
Untuk perkara ini, saya tidak pasti. Adakah wujudnya kartel yang mengawal mana-mana pihak ‘dilantik’ bagi menguruskan visa ihsan haji furada ini, saya juga tidak pasti adakah ia berlaku ataupun tidak. Malah berlakunya pemberian mana-mana visa kepada pihak diinginkan oleh kumpulan yang dikatakan sebagai kartel atau sebagainya, saya juga tidak dapat untuk mengesahkannya.
Namun musim haji ini sama juga situasinya macam musim perayaan Aidilfitri. Bila mana orang hendak balik kampung, maka akan timbul ulat-ulat tiket. Setiap kali hendak menyambut raya, maka ulat-ulat tiket inilah yang beli kesemua tiket. Jual sana, jual sini dengan menaikkan harga tiket.
Begitu juga dengan kejohanan besar bola sepak di peringkat antarabangsa apabila timbulnya ulat-ulat tiket ini memonopoli tiket yang mahu dijual kepada orang ramai.
Jika bakal jemaah hendak selamat sampai dan dapat menunaikan haji dengan selesa, apakah saranan Datuk?
Perkara ini sebenarnya mudah sahaja, tetapi orang kita ini tidak pernah serik. Ia dapat dilihat daripada mula saya buat haji (bawa jemaah) sekitar tahun 1983 iaitu sebelum bermulanya sistem Muassasah atau penganjur ketua kumpulan Perumahan Khas dan syarikat konsortium haji yang dilesenkan oleh TH ke Tanah Suci.
Ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengatakan untuk mendapatkan visa haji, mereka boleh mendapatkan di kedutaan Arab Saudi di luar negara. Maka jemaah haji boleh terus berangkat ke negara-negara tersebut.
Namun sebaliknya, visa juga tidak dapat diperoleh. Ada juga yang saya difahamkan, visa sudah dapat tetapi pesawat yang membawa jemaah lewat sampai ke Lapangan Terbang Jeddah.
Saya difahamkan bahawa seminggu sebelum wukuf, lapangan terbang tersebut akan ditutup. Perkara ini mungkin menyebabkan pesawat lewat terbang untuk sampai ke destinasi yang sebenar.
Pelbagai cara lain digunakan untuk menipu bakal jemaah haji tetapi saya tidak dapat untuk menceritakan kesemuanya berhubung perkara ini. Untuk mengatasi masalah seumpama ini, saya ingin memberi saranan dan cadangan supaya TH membuat semakan semula terhadap Akta 535 Tabung Haji demi kebaikan ummah.
Boleh Datuk terangkan serba sedikit bagaimana bermulanya sistem pengurusan Perumahan Khas dan konsortium haji?
Perumahan Khas iaitu ketua kumpulan mencari rumah atau tempat penginapan buat jemaah haji semasa di Tanah Suci. Namun berlaku kekecohan apabila tiada rumah (tempat penginapan) dapat disediakan. Atas permasalahan tersebut, kerajaan menerusi TH menamatkan sitem Perumahan Khas sekitar akhir tahun 1980-an.
Kemudiannya digantikan dengan konsortium haji berlesen. Ia merupakan mereka yang terdiri daripada kalangan ejen pelancongan dan mempunyai lesen daripada TH. Setiap konsortium mempunyai empat syarikat. Jika tidak silap saya, terdapat lapan konsortium ketika itu dengan jumlah keseluruhan pengendali haji sebanyak 32 syarikat.
Namun masalah berulang lagi apabila ada syarikat yang tidak mematuhi syarat ditetapkan oleh pihak konsortium dan TH. Sebagai contoh, diingatkan supaya syarikat terlibat untuk tidak mengambil jemaah rakyat Malaysia yang tidak termasuk di dalam kuota atau giliran pergi haji.
Namun ada syarikat di bawah konsortium masih berdegil apabila mengambil jemaah dari Malaysia ke Tanah Suci tetapi bagi jemaah tersebut mendapatkan visa, mereka melakukannya menerusi negara lain.
Perkara itu dilakukan kerana tidak menepati syarat dikenakan iaitu membawa orang yang tiada senarai dalam giliran TH untuk menunaikan ibadah haji.
Individu yang tidak ada dalam senarai menunggu ibadah haji akan dibawa menerusi visa yang diperoleh menerusi negara lain. Perkara tersebut menyebabkan jemaah terbabit tersangkut dan terkandas. Atas permasalahan dan isu tersebut, pihak TH bertindak tegas dengan menamatkan sistem konsortium.
Apabila satu sahaja syarikat di bawah konsortium membuat masalah, kesemua syarikat di bawah konsortium yang sama akan digulung sekali (ditamatkan). TH bertindak menamatkan terus kesemua lesen mereka yang terlibat kerana tidak amanah.
Apabila ditamatkan sistem konsortium, kita sebagai agensi pelancongan merayu kepada TH supaya dapatkan balik status sebagai pengendali jemaah haji ke Tanah Suci. Selepas itu wujudnya PJH sehingga sekarang ini.
Tetapi mana-mana pihak yang licik dan tidak bertanggungjawab masih mengambil kesempatan seperti ulat-ulat tiket ini.
Ketika itu, kumpulan sindiket mengatakan bahawa mereka wakil bagi pihak ini dan wakil bagi pihak itu, tetapi mungkin langsung tidak wujud. Meskipun begitu, jemaah haji kita akan percaya.
Bagi saya, orang kita ni memang tidak pernah serik. Apa tidaknya, pernah bertahun-tahun berlaku kononnya ada Tok Sheikh yang jutawan dari Arab Saudi katanya hendak bagi zakat atau bagi haji kepada mereka yang tidak mampu.
Bukan orang kampung sahaja yang berbaris dekat masjid hendak tawaran Tok Sheikh ini, yang ada duit pun berbaris hendak dengar taklimat.
Apa modus operandi kumpulan sindiket penipuan ini?
Yang berlaku penipuan ini ada juga di masjid, menipu menggunakan risalah dan taktik terkini pada masa sekarang menerusi media sosial. Berdasarkan pengalaman, saya pernah diberitahu bahawa seorang jemaah ini mendapat tawaran ke Tanah Suci, sedangkan nama dia belum pun ada dalam senarai giliran yang akan mengerjakan haji.
Namun dia memaklumkan sudah mendapat tawaran haji daripada satu syarikat. Saya pun hairan bagaimana dia boleh menerima tawaran tersebut. Maka saya nasihatkan dia dan bertanyakan jumlah tambang yang dikenakan.
Dia kata murah sebab ada Tok Sheikh yang taja untuk orang tidak berkemampuan. Harga yang dikenakan hanyalah RM800 sahaja pada akhir 1980-an. Saya bertanya kepada dia, kamu duduk (menginap) nanti di bawah jambatan kah? Kamu naik kapal layar kah?
Tidak kurang ada juga yang menyatakan si polan-si polan tertentu yang sudi membayarkan. Separuh bayaran telah diselesaikan oleh si polan atau Tok Sheikh yang ingin menderma, manakala baki separuh lagi dibayar oleh jemaah. Kadang kala orang kita ini tidak berfikir, mana ada dalam dunia ini yang percuma.
Kalau hendak bercerita mengenai umrah yang banyak tersadai dan tidak lepas ke Tanah Suci, perkara ini berlaku menerusi sistem Time Sharing. Dalam sistem ini, jemaah akan membayar dalam jumlah tertentu tetapi sangat murah daripada harga asal.
Contoh sistem Time Sharing di dalam umrah ialah satu bilik akan dikongsi dengan semua orang mengikut giliran. Biasanya musim haji kurang berlakunya Time Sharing tetapi dalam umrah yang sering berlaku.
Semua ini berlaku pada zaman dahulu dan mungkin sekarang sudah tidak lagi berlaku. Maka orang akan terpedaya kerana dengan hanya bayar RM1,000 atau RM2,000 sudah boleh pergi haji berkali-kali. Ini membuatkan orang ramai tertarik dan sanggup bayar kerana murah.
Tetapi sebenarnya benda ini tidak wujud. Ini dikatakan sebagai sistem piramid.
Namun pada masa ini, sistem Time Sharing sudah tidak wujud kerana keperluan untuk itu sudah tidak ada, selain kemungkinan penguatkuasaan yang ketat di Tanah Suci. Tapi sebenarnya juga, rakyat Malaysia sudah faham dengan sistem Time Sharing tersebut.
Adakah kerana terdesak menyebabkan orang ramai sanggup mengikut mana-mana pihak untuk membuat umrah atau haji?
Sekarang ini, umrah sudah ada beberapa cara termasuk melakukan pendaftaran secara dalam talian (buat sendiri tanpa menggunakan ejen) dan keduanya menerusi pakej-pakej yang ditawarkan oleh agensi pelancongan.
Saya suka untuk menasihatkan jemaah dari Malaysia yang hendak buat umrah untuk mengambil pakej yang disediakan oleh agensi pelancongan kerana ia merangkumi atau lengkap dengan semua perkara termasuk insurans.
Apakah jenis penipuan yang kebiasaannya dilakukan oleh sindiket?
Bila musim haji, pelbagai cara penipuan dilakukan. Musim haji kali ini, begini cara penipuannya dan musim depan lain pula caranya. Tahun sekali lagi, mereka fikir apa penipuan seterusnya. Maka di situlah timbulnya isu kartel-kartel penipuan ini.
Tetapi bukannya kartel-kartel tersebut melibatkan TH, perkara tersebut adalah salah sama sekali. Ini adalah penipuan pihak persendirian dan hanya menjelma semasa musim haji. Mereka ini adalah penunggang agama yang sebenar. Mereka ini memakan harta batil.
Atas sebab itu saya menerbitkan sebuah buku berkenaan dengan rasuah, melibatkan pengalaman saya dalam banyak perkara. Jika kita tidak lakukan (membukukan isu rasuah), siapa lagi yang hendak buat.
Amalan memakan harta batil itu juga dalam industri pelancongan. Apakah tidak berlaku unsur-unsur rasuah dan sebagainya? Walaupun ia dilihat dalam bentuk ibadah ke Tanah Suci, melancong ke luar negara atau dalam bentuk perkhidmatan yang tertentu, yang mana kartel-kartel memainkan peranan sukar dilihat dan diawasi.
Tidak dinafikan, mungkin ada agensi pelancongan yang tidak langsung berniat untuk menipu jemaah tetapi dalam masa yang sama mereka juga ditipu. Itu bahasa paling mudah untuk menutup sesi temu bual kita kali ini.
Klik di sini untuk terus membaca