SHAH ALAM - Sejak tahun 2021 sehingga 12 Julai lalu, seramai 591 wanita di negara ini dilaporkan sedang berjuang untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan bagi anak-anak mereka yang lahir di luar negara. Daripada jumlah itu, hanya 33 orang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sejak tahun 2021 sehingga 12 Julai lalu, seramai 591 wanita di negara ini dilaporkan sedang berjuang untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan bagi anak-anak mereka yang lahir di luar negara.

Daripada jumlah itu, hanya 33 orang yang masih dalam proses untuk mendapatkannya.

Berdasarkan undang-undang di negara ini, anak yang bapanya warganegara Malaysia sahaja menikmati keistimewaan iaitu diberi taraf kewarganegaraan secara automatik di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan walaupun ibunya seorang warga asing.

Undang-undang itu bagaimanapun tidak terpakai kepada anak-anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia dan berbapakan bukan warganegara.

Ini membuatkan golongan wanita berkenaan bangkit menentang diskriminasi jantina demi mendapatkan taraf warganegara untuk anak-anak mereka.

Wartawan FARAH SHAZWANI ALI menyingkap penderitaan ibu dan anak-anak yang terkesan dengan undang-undang tersebut sehingga ada yang terpisah di antara dua negara.

Mereka juga hidup dalam tekanan apabila hak keistimewaan pendidikan dan kesihatan dinafikan walaupun sudah lama menetap di Malaysia.

Seorang ibu tunggal yang merupakan rakyat Malaysia berjuang selama 13 tahun bagi mendapatkan taraf warganegara untuk dua anaknya yang dilahirkan di Amerika Syarikat.

Aniza Ismail, 50, masih menaruh harapan tinggi agar masalah dihadapi dua anaknya iaitu Nadila, 20, dan Atika, 16, diselesaikan segera.

Menurut Aniza, perjuangannya bermula sejak pulang ke tanah air pada tahun 2009, bagaimanapun sehingga kini masih hampa, sedangkan anak-anak semakin membesar.

Lebih merisaukan, Nadila kini ‘bertarung’ dengan masa kerana mempunyai tempoh kira-kira setahun sahaja lagi untuk melayakkan permohonan taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan sebelum ia berakhir.

"Saya sangat risau dan kasihan dengan Nadila kerana tempohnya sangat suntuk. Saya jadi buntu kerana tidak tahu ke mana lagi harus dituju untuk mendapatkan bantuan.

"Sekarang ini Nadila masih belajar sebagai pelajar antarabangsa. Tapi, bagaimana dengan masa depannya untuk bekerja kerana bukan warganegara Malaysia?” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Jelas Aniza, tanpa kerakyatan Malaysia, Nadila terpaksa melepaskan banyak peluang sejak kecil walaupun cemerlang dalam pelajaran.

Selain tidak layak menerima keistimewaan seperti skim pinjaman buku teks, Nadila juga tidak dibenarkan masuk ke sekolah berasrama penuh kerana bukan warganegara.

"Selepas tamat pengajian sekolah menengah, dia tidak dapat memohon sebarang biasiswa dan tidak layak mendapat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta tawaran pelbagai universiti dan kolej, khususnya universiti awam.

"Dia kini belajar di Management and Science University (MSU) sebagai pelajar antarabangsa tanpa sebarang tajaan atau biasiswa. Saya terpaksa membayar yuran pelajar antarabangsa sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 setiap semester.

"Dia juga tak boleh membuat kerja sambilan kerana memegang pas pelajar.

"Saya sangat sedih kerana Nadila tidak berpeluang membantu menyara keluarga kami yang merupakan B40,” ujarnya.

Lavinder (kanan) masih mengharapkan anak perempuannya, Sarabjeet (kiri) diberi taraf kewarganegaraan Malaysia.

Situasi sama turut menimpa seorang lagi ibu iaitu Lavinder Kaur, 43, yang berjuang mendapatkan taraf warganegara untuk anaknya, Sarabjeet Kaur, 19, sejak pulang ke Malaysia pada tahun 2003.

Anak perempuan tunggalnya itu terpisah dengan keluarga yang bertaraf bukan warganegara kerana dilahirkan di Punjab, India.

Bagaimanapun, dua abang Sarabjeet merupakan warganegara Malaysia.

"Saya menjalani pembedahan saraf di kepala pada Jun 2020. Sarabjeet yang ketika itu berada di Tingkatan Lima membuat keputusan sukar untuk menjaga saya.

"Pada Mac 2021, dia tidak dapat melanjutkan pas pelajarnya lagi menyebabkan Sarabjeet dipaksa keluar dari Malaysia dan kini kami terpisah. Dia kini menetap di Punjab dengan saudara suami saya, dan hanya akan kembali pada 19 Julai ini dengan pas pelancong untuk tempoh 30 hari,” katanya.

Dengan kewangan yang terhad, Lavinder turut berusaha membawa pulang Sarabjeet untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malah, dia berjaya mendapat penempatan untuk anak perempuannya itu di sebuah sekolah menengah tempatan.

Sarabjeet (tengah) terpaksa pulang ke India dan berpisah dengan keluarganya kerana bukan warganegara Malaysia.

Sarabjeet juga tidak dapat memohon sebarang pas lain dengan tempoh sah yang lebih lama hanya kerana dia sudah melebihi usia 18 tahun.

"Ini tidak masuk akal. Anak saya tidak dapat tinggal bersama melainkan dia memperoleh pas pelajar yang memerlukan surat tawaran daripada kolej di Malaysia.

"Macam mana nak dapat surat tawaran kolej sedangkan dia sendiri tak dapat menduduki SPM?

"Mengapa anak-anak rakyat Malaysia yang dinafikan kewarganegaraan Malaysia dikenakan layanan sedemikian?” soalnya.

Klik di sini untuk terus membaca