SHAH ALAM - Penantian tanpa jaminan bagi mendapat hak sebagai warganegara menjadi situasi ngeri bagi kanak-kanak yang beribukan wanita Malaysia tetapi dilahirkan di luar negara. Berbeza dengan lelaki Malaysia, anak mereka yang dilahirkan di... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penantian tanpa jaminan bagi mendapat hak sebagai warganegara menjadi situasi ngeri bagi kanak-kanak yang beribukan wanita Malaysia tetapi dilahirkan di luar negara.

Berbeza dengan lelaki Malaysia, anak mereka yang dilahirkan di luar negara tetap menikmati keistimewaan iaitu diberi kewarganegaraan secara automatik di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan walaupun ibunya warga asing.

Presiden Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontiers), Suriani Kempe berkata, wanita Malaysia yang berkahwin dengan lelaki bukan warganegara perlu memohon kewarganegaraan anak-anak mereka melalui pendaftaran, bagaimanapun memakan masa yang panjang iaitu dua hingga 20 tahun tanpa jaminan kelulusan.

Suriani

Situasi itu menyebabkan kehidupan mereka penuh dengan ketidakpastian dan kebimbangan, selain berdepan pelbagai kekangan serta dinafikan hak keistimewaan sebagai warganegara.

"Setakat ini, kebanyakan kes yang kami terima ialah ibu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak dapat mewariskan kewarganegaraan mereka kepada anak dilahirkan di luar negara secara penguatkuasaan undang-undang (automatik).

"Mengikut statistik, mereka mempunyai peluang kurang satu peratus untuk permohonan diluluskan menyebabkan ramai ibu terlibat bimbang masa depan anak mereka.

"Kesan paling besar ialah anak-anak mereka tidak mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan yang berpatutan, pendidikan mahupun hak untuk tinggal di Malaysia bersama keluarga.

Jelas Suriani, Family Frontiers yang ditubuhkan pada Ogos 2020 banyak menerima aduan berkaitan hak dan kebajikan keluarga dwinasional serta kewarganegaraan anak-anak wanita Malaysia yang dilahirkan di luar negara.

Buat masa ini, katanya, terdapat lebih 200 ibu warga Malaysia terkesan dengan undang-undang kewarganegaraan Malaysia tidak sama rata apabila mempunyai anak dilahirkan di luar negara dalam rangkaiannya.

"Menteri Dalam Negeri di Parlimen pada 19 Julai lalu memaklumkan mereka telah menerima permohonan seramai 591 kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita warga Malaysia ‘secara kuat kuasa undang-undang’ di bawah Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan antara 2021 dan 12 Julai 2022.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 33 dokumen telah diproses, manakala 558 masih belum selesai.

"Dalam rangkaian Family Frontiers, hanya enam ibu warga Malaysia yang merupakan plaintif dalam kes ‘Suriani Kempe & lain-lain lawan kerajaan Malaysia & lain-lain’ telah menerima dokumen kewarganegaraan anak mereka, manakala ibu-ibu lain yang terkesan masih belum menerima dokumen mereka.

"Amat penting bagi anak-anak wanita Malaysia ini diberikan hak kewarganegaraan yang sama agar mereka juga diberikan perlindungan sewajarnya. Berapa lama lagi harus mereka tunggu?” soal beliau.

INFO

KESAN ISU KERAKYATAN TIDAK DILULUSKAN

-Kesan kepada ibu:

• Kerentanan kepada keganasan rumah tangga dan ketidakupayaan untuk meninggalkan perkahwinan toksik.

• Kekurangan autonomi wanita, terutamanya dalam pilihan tempat tinggal mereka dan anak mereka.

• Cabaran birokrasi dan beban kewangan sepanjang hayat.

• Ketidakpastian dan kekurangan keselamatan untuk kanak-kanak yang terkesan akibat ketiadaan status undang-undang.

-Kesan kepada kanak-kanak:

• Kekurangan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang berpatutan.

• Pemisahan keluarga terutama mereka yang berumur 21 tahun ke atas dan tidak boleh lagi memohon kewarganegaraan melalui pendaftaran.

• Kesan psikologi negatif dan peminggiran sosial.

Klik di sini untuk terus membaca