KELULUSAN dasar Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) oleh Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan Perdana Menteri baru-baru ini membuktikan komitmen kerajaan melalui PLANMalaysia untuk memperbaiki proses kawal selia pembangunan.
PIRECFS yang diperkenalkan pada tahun 2010 secara keseluruhannya mempunyai 39 koridor ekologi yang menjadi nadi kehidupan flora dan fauna negara. Sifat unik koridor ini yang merentasi sempadan lapan negeri di semenanjung adalah salah satu faktor yang menyukarkan proses kawal selia dan pemuliharaan kawasan ini.
Terdapat banyak undang-undang yang terlibat di dalam urus tadbir kawasan rangkaian ekologi antaranya Kanun Tanah Negara (Akta 56), Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1967 (Akta 172), Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) serta Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).
Ini secara tidak langsung merumitkan lagi proses mengurus serta memulihara kawasan rangkaian ekologi. Cabaran yang dihadapi adalah penukaran dan pengambilan kawasan hutan kepada kegunaan tanah yang lain seperti pertanian, infrastruktur, kediaman dan sebagainya.
Keadaan ini lebih meruncing akibat daripada kelemahan kerajaan negeri di dalam mengawal pembangunan kawasan hutan terutamanya yang melibatkan kawasan rangkaian ekologi.
Setakat artikel ini ditulis, belum ada mekanisme yang efektif di dalam menggembleng usaha daripada pihak kerajaan persekutuan, negeri dan juga tempatan di dalam mengawal pembangunan tanah dan pemuliharaan kawasan rangkaian ekologi.
Selain daripada itu, penguatkuasaan undang-undang yang lebih menyeluruh juga penting di dalam memastikan proses dan prosedur kawal selia kawasan rangkaian ekologi yang lebih telus.
Peruntukan pada Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang mana mewajibkan proses kebenaran merancang bagi sebarang aktiviti pemajuan perlulah digunapakai bagi penukaran kawasan hutan untuk maksud pertanian dan termasuk juga dengan proses penyahwartaan hutan simpan kekal.
Pengumuman yang telah dibuat oleh MPFN adalah langkah yang amat dialu-alukan memandangkan kawasan hutan secara amnya serta rangkaian ekologi secara khususnya berada di dalam keadaan yang sangat kritikal.
Pindaan undang-undang yang berkaitan dengan terutamanya Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) harus mempertimbangkan kaedah pengawalan pembangunan kawasan hutan yang lebih telus dan efektif.
Penyertaan dan penglibatan pelbagai agensi serta orang awam perlu diperhebatkan terutamanya di dalam proses penukaran tanah hutan kepada aktiviti guna tanah yang lain.
Pihak berkuasa negeri mesti bersikap lebih proaktif dan terbuka di dalam menerima pakai cadangan serta dasar yang terkandung di dalam PIRECFS.
Langkah seperti mewartakan kawasan rangkaian ekologi di dalam pelan pemajuan statutori di peringkat negeri dan tempatan adalah penting di dalam merealisasikan hasrat murni pasukan kajian, agensi dan jabatan yang terlibat di dalam pembentukan PIRECFS.
Inisiatif kajian semula PIRECFS pada dua tahun yang lalu adalah tepat pada masanya memandangkan keadaan rangkaian ekologi yang sangat kritikal.
Kelulusan dasar kajian semula PIRECFS daripada MPFN barangkali tidak mampu mengawal pengambilan kawasan hutan secara mutlak tetapi setidak-tidaknya mampu menjadi kayu pengukur bagi memantau kadar penurunan kawasan hutan dan rangkaian ekologi negara demi kemaslahatan masa hadapan.
Kuasa yang dijamin pada Perlembagaan Persekutuan memberi tanggungjawab yang besar kepada pihak berkuasa negeri di dalam memastikan kesinambungan dasar yang telah dibuat.
Terpulanglah kepada pihak berkuasa negeri yang terlibat untuk memutuskan apa yang terbaik bagi generasi yang akan datang. Tepuk dada tanya selera.
* Mohammad Yusup ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah, FSPU, UITM Shah Alam, Selangor
Klik di sini untuk terus membaca