LONDON - Tanggal 5 September depan, Britain bakal menyaksikan pelantikan seorang Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Boris Johnson yang terpalit dengan skandal ‘Party Gate’ dan salah seorang calon dijangka menjawat jawatan itu... Klik di sini untuk terus membaca

LONDON - Tanggal 5 September depan, Britain bakal menyaksikan pelantikan seorang Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Boris Johnson yang terpalit dengan skandal ‘Party Gate’ dan salah seorang calon dijangka menjawat jawatan itu adalah wanita.

Beliau adalah Mary Elizabeth Truss atau Liz Truss yang merupakan salah seorang daripada dua calon terakhir dalam pemilihan kepimpinan Parti Konservatif termasuk bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak.

Jika Truss menang pemilihan tersebut, besar kemungkinan beliau akan menjadi Perdana Menteri wanita ketiga dalam sejarah Britain.

Truss, 46, yang dilahirkan di Oxford dan anak kepada seorang profesor universiti serta ibunya seorang jururawat dan guru dianggap ‘wanita besi’ kerana kebolehan dalam bidang kepimpinan sejak zaman universiti.

Truss berpotensi menjadi Perdana Menteri wanita ketiga Britain. - AFP

Beliau yang mempunyai banyak latar belakang pendidikan cemerlang dalam pengajian falsafah, politik serta ekonomi di Universiti Oxford disifatkan sesuai menjadi pemimpin seterusnya demi generasi Britain akan datang.

Malah, semasa di zaman pengajiannya itu, Truss dilihat sangat aktif dan paling menonjol apabila menyertai hampir semua aktiviti politik dan pernah menjadi Presiden Liberal Demokrat Universiti Oxford, sebuah parti liberal sayap kiri pelajar di universiti tersebut.

Truss juga dikatakan menyertai Parti Konservatif selepas menghabiskan pengajian. Sebelum berpolitik, beliau pernah bekerja dengan syarikat minyak dan gas serta telekomunikasi.

Namun, bidang kerjaya yang dianggap tidak serasi dengannya, beliau dikatakan ‘berehat’ sementara waktu dengan membina keluarga sendiri dan berkahwin serta mempunyai dua cahaya mata perempuan.

Kemudian selepas semuanya stabil, beliau mengorak langkah semula apabila dipilih menyertai Parlimen pada 2010 bagi mewakili South West Norfolk dan meneruskan perkhidmatan di sektor kerajaan di bawah Perdana Menteri David Cameron ketika itu.

Selepas itu, semasa di bawah pimpinan Theresa May, Truss diberi kepercayaan menjawat jawatan Setiausaha Kehakiman dan kemudian dinaikkan pangkat menjadi Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada tahun 2017 sehingga 2019.

ANGGOTA KABINET PALING LAMA BERKHIDMAT

Selepas peletakan jawatan May dan di bawah pimpinan Johnson, beliau dilantik menjadi Setiausaha Perdagangan Antarabangsa pada 2019 dan Setiausaha Luar Negara yang jawatan itu dipegang sehingga hari ini.

Jawatan dipegang itu menjadikan beliau individu anggota Kabinet paling lama berkhidmat dan paling kanan dalam kerajaan Konservatif.

Selain itu, Truss sebagai Setiausaha Luar Negara juga telah menandatangani 63 perjanjian penamatan Kesatuan Eropah (EU) dengan pelbagai negara di seluruh dunia dan mengemas kini perjanjian perdagangan bersama Jepun, Australia dan New Zealand.

Truss juga dianggap tulang belakang Johnson untuk mentadbir Britain. - AFP

Namun begitu, sejak menjadi dua calon akhir pemilihan Perdana Menteri Britain, Truss dilihat giat menjalankan kempen dan berdebat secara langsung dengan Sunak di televisyen dan pada 2 September ini ahli parti Konservatif akan mengundi bagi menentukan siapa pilihan mereka.

Sekitar 200,000 anggota parti Konservatif boleh mula mengundi secara dalam talian atau melalui pos bermula awal bulan ini dan keputusan dijangka diumumkan pada 5 September depan.

Perdana Menteri baharu itu nanti bukan sahaja perlu membawa Britain keluar daripada kesan pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi, sebaliknya mampu memenangi Pilihan Raya Umum 2024, menentang Parti Buruh. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca