PERISTIWA terpijak jerangkap samar ketika memburu pengganas komunis di Perak, 47 tahun lalu mengakibatkan kecacatan kekal pada tumit kaki Koperal Md Nonasi Selamat, 69, dan kejadian itu tidak pernah luput dalam ingatan pesara tentera itu.... Klik di sini untuk terus membaca

PERISTIWA terpijak jerangkap samar ketika memburu pengganas komunis di Perak, 47 tahun lalu mengakibatkan kecacatan kekal pada tumit kaki Koperal Md Nonasi Selamat, 69, dan kejadian itu tidak pernah luput dalam ingatan pesara tentera itu.

Mengimbas kembali kejadian yang berlaku pada Mei 1975, Md Nonasi berkata, dia bersama enam rakan dari platun Risik Gempur (UCIS) terlibat dalam operasi menjejaki pengganas komunis.

"Kami telah berada di dalam hutan selama tiga minggu untuk mengesan pengganas komunis,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini baru-baru ini.

OPS DAOYAI MUSNAH

Operasi Daoyai Musnah dilancarkan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menghapuskan ancaman pengganas komunis di kawasan operasi 2 Divisyen Infantri.

Operasi Daoyai Musnah berbeza kerana pasukan tentera darat membuat operasi cari dan musnah di wilayah Malaysia sehingga ke wilayah Thailand.

Dalam operasi Daoyai Musnah I dan Daoyai Musnah II banyak meninggalkan kenangan yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila oleh pasukan keselamatan dan operasi itu dilancarkan dengan misi membuat `pembersihan' ke atas kem-kem komunis di negara ini.

Dalam operasi itu, anggota tentera menjumpai banyak kem komunis termasuk yang terbesar terletak di daerah Sadao, Thailand.

Apa yang getirnya dalam operasi itu adalah pasukan keselamatan diancam bahaya kerana anggota komunis memasang banyak jerangkap samar apabila meninggalkan kem-kem mereka.

PARAH AKIBAT TERPIJAK JERANGKAP SAMAR

Md Nonasi memberitahu, perjalanan pasukannya pada ketika itu tidak melalui trek biasa.

"Kami perlu mengharungi sungai dan mendaki bukit untuk sampai ke sebuah khemah besar komunis,” katanya

Jelas beliau, hasil pemantauan mendapati tiada kelihatan pergerakan askar di sekitar kawasan khemah tersebut.

"Kami membuat keputusan untuk melakukan pemeriksaan lanjut di dalam kem berkenaan dan menjumpai satu kalendar yang telah koyak pada tarikh 13 Mei.

"Askar komunis berkemungkinan telah meninggalkan kem tersebut sejak dua minggu dari tarikh itu,” ujarnya.

Menurut beliau, pasukannya tiba-tiba terdengar bunyi tembakan dari arah bawah bukit tersebut.

"Kami segera meninggalkan khemah dan bergegas menuju ke arah bunyi tembakan tersebut, namun saya tersilap langkah dan terpijak jerangkap samar yang ditanam musuh.

Kecederaan yang dialami selepas terpijak jerangkap samar dalam Ops Daoyai Musnah.

"Saya kemudian tercampak beberapa meter dan akibat daripada kejadian itu, sebahagian tumit kaki kanan parah, seorang lagi rakan sepasukan cedera turut terkena serpihan jerangkap samar,” katanya.

Md Nonasi memberitahu, komunis biasanya memasang jerangkap samar di trek yang akan dilalui oleh anggota tentera.

"Jerangkap samar itu ditutup dengan daun-daun kering dan selain itu pengganas komunis juga memasang jerangkap samar di sekitar batang pokok tumbang,” katanya.

Md Nonasi tidak dapat membayangkan kesakitan setelah terkena jerangkap samar itu dan berharap segera dikeluarkan dari medan perang.

"Saya terpaksa menahan sakit, sebelum bantuan tiba menggunakan helikopter dan dibawa ke sebuah hospital di Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.

Beliau menerima rawatan di hospital berkenaan selama enam bulan.

"Saya bercuti selama dua minggu selepas keluar dari hospital tersebut,” ujarnya.

UCIS PASUKAN PENGGEMPUR DIGERUNI KOMUNIS

Md Nonasi berbangga dapat berkhidmat dalam platun UCIS yang juga salah satu pasukan penggempur terbaik serta digeruni oleh komunis.

"Dalam Tentera Darat, elemen tinjau pada satu ketika dahulu dipelopori oleh platun UCIS dan pasukan ini menjadi mata serta telinga kepada setiap batalion infantri lain iaitu Rejimen Askar Melayu Diraja dan Rejimen Renjer Diraja,” katanya.

Nonasi menerima Pingat Jasa Malaysia.

Beliau berkata, UCIS mula ditubuhkan pada 1970 bagi membendung pengganas komunis dari terus bermaharajalela dengan taktik serang dan lari (hit and run).

"Taktik sebegini digunakan oleh pengganas komunis bagi menggelakkan tindak balas secara konvensional oleh pasukan keselamatan,” tambahnya.

Md Nonasi berkata, beliau mula berkhidmat dalam ATM pada 1973.

"Sebelum itu saya bekerja sebagai mandur di sebuah ladang getah, selepas mendapat tawaran daripada ATM, saya menjalani latihan selama enam bulan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di Port Dickson,” katanya.

Nonasi (berdiri tengah, tiga dari kanan) bergambar bersama kakitangan Bahagian Hal Ehwal Perajurit, Kementerian Pertahanan (Kementah) di Institut Kemahiran Kementah, Sungai Buloh pada 1993.

Selepas menamatkan latihan ketenteraan, beliau ditugaskan dalam beberapa operasi di Tawau, Sabah.

"Saya bersama rakan-rakan sepasukan ditugaskan melakukan rondaan di dalam hutan atau persisiran pantai untuk memastikan tiada ancaman musuh,” katanya.

Menurut Md Nonasi, selepas insiden jerangkap samar itu, beliau telah ditugaskan di Kem Mahkota Kluang.

"Saya juga pernah melakukan kerja pejabat di Bahagian Hal Ehwal Perajurit, Kementah, Institut Kemahiran Kementah Sungai Buloh dan bersara pada Februari 1994 ketika usia 41 tahun,” katanya.

PERNAH RAYU BELA NASIB BEKAS TENTERA

Md Nonasi memberitahu, beliau pernah menghantar surat kepada bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan mengenai nasibnya sebagai pesara tentera.

"Dalam surat itu, saya meluahkan perasaan kepada Najib, saya mengalami nasib sebegini adalah demi negara, susulan daripada surat tersebut saya difahamkan ada kenaikan pencen untuk veteran tentera,” ujarnya.

Nonasi bersama ahli keluarganya.

Md Nonasi memberitahu, beliau perlu melakukan pelbagai pekerjaan untuk meneruskan kehidupan serta menanggung ahli -ahli keluarga selepas bersara.

"Saya segan untuk meminta bantuan daripada agensi-agensi berkaitan dan kerana itulah saya sanggup bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang ayam,” ujarnya.

Beliau turut berharap kerajaan dan masyarakat agar prihatin dan menghargai jasa dan pengorbanan veteran tentera kepada negara.

"Jasa dan pengorbanan veteran tentera tidak ternilai demi keamanan dan keselamatan bumi tercinta ini,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca