KAMUS Dewan Perdana (KDP) diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, 2020; dan tim leksikon DBP telah mengambil masa 30 tahun untuk menyiapkannya. Terdapat 2,529 halaman serta lebih 120,000 entri (ditulis dengan tulisan jawi) dan subentri.
Untuk menyiapkan senarai istilah yang tepat dan betul cara penggunaannya, saya merujuk empat kamus: (i) KDP; (ii) tapak sesawang https://prpm.dbp.gov.my (iii) Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI) (https://kbbi.web.id/); dan (iv) Oxford English Dictionary on Lexico.com.
"Siri” ialah rangkaian sesuatu yang sama seperti cerita dan peristiwa yang berturut-turut. Misalan: "Inilah ceramah yang kelapan dalam siri ceramah ilmiah”. Adalah salah jika dikatakan bahawa inilah siri ceramah kelapan dalam sesi ceramah ilmiah. Siri dan sesi umpama musim dan episod bagi drama TV.
"Panel” merujuk kepada sekumpulan manusia, dan bukan seorang manusia sahaja. "Ahli panel” atau "panelis” menganggotai sebuah panel. "Kita mendengar ucapan panel pertama” adalah salah. Sepatutnya: "Kita mendengar ucapan panelis (ahli panel) yang pertama.”
"Allahyarham” (Allah merahmati) digunakan untuk orang Islam lelaki atau perempuan yang sudah meninggal dunia. "Allah yarhamhu” bermakna Allah merahmati dia (lelaki); dan "Allah yarhamha” bermakna Allah merahmati dia (perempuan). Apabila ditulis "Allahyarhamah” untuk wanita, ia adalah salah menurut nahu Arab. Dalam KDP dan KBBI, istilah "almarhum” digunakan bagi orang lelaki yang sudah meninggal dunia dan "almarhumah” bagi wanita yang sudah meninggal dunia; bertepatan dengan nahu Arab.
"Arwah” merupakan sebuah entri dalam KDP yang merujuk kepada orang Islam yang telah meninggal dunia; dan roh-roh orang yang telah meninggal dunia. Saya memilih istilah "almarhum” dan "almarhumah” lantaran dua sebab.
Pertama, dalam bahasa Arab, arwah bermakna roh yang dijamakkan. Dalam bahasa Melayu secara harfiah, arwah bermakna "roh-roh”. Jadi, bagaimanakah kita boleh merujuk seorang insan dengan kata jamak "roh-roh”? Kedua, bila kita sebut Almarhum Fulan bin Fulan, atau Almarhumah Fulanah binti Fulan, kita menggunakan istilah bahasa Arab dengan tepat.
"Uar-uar” atau "wara-wara” ialah dua jenis pengumuman; dan bukanlah "war-war”, satu istilah yang salah.
"Terapi” ialah rawatan sesuatu penyakit. Misalannya: farmakoterapi (rawatan menggunakan ubatan farmaseutikal) dan psikoterapi (rawatan jiwa dan psikologi). Ia sering silap dieja.
"Kemaluan” mempunyai tiga makna: (i) Perihal malu. Misalan: "Jikalau si Tuah ada, dapatlah ia menghapuskan kemaluanku”; (ii) Berasa malu. Misalan: "Hendaklah tuan memberikan kehendaknya supaya kita tidak kemaluan”; dan (iii) Alat kelamin lelaki atau perempuan.
Akhir sekali ialah senarai istilah Inggeris yang sudah dibakukan.
Pautan (link), tular (viral), dalam talian (online), dalam panggilan (on call), dialog awam (townhall), kongsi (share), komiti (committee), e-mel (e-mail), tim (team), grup (group), bersemuka (face to face), kudeta (coup d'état), tren (train).
"Trend” dan "moderator” sudah menjadi istilah baku. "Speaker” ialah orang yang mempengerusikan Dewan Rakyat dan mesyuarat yang seumpamanya. Ia tidak boleh digunakan untuk menggantikan "pembicara” atau "penceramah”.
"Platform” sudah menjadi istilah baku. Namun, saya memilih istilah "pelantar” yang digunakan oleh DBP sewaktu pelancaran JendelaDBP, pelantar penerbitan digitalnya pada 21 Jun 2022, sempena ulang tahunnya ke-66.
Saya teringat ikan berenang dan deretan pelantar di sepanjang alur jernih yang tumpah ke Sungai Batu Pahat, di Kampung Peserai, Batu Pahat, Johor, dasawarsa 1960-an; kampung Almarhum dan Almarhumah moyang, nenda dan ayah saya.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Penulis dan Aktivis Masyarakat
Klik di sini untuk terus membaca