SHAH ALAM - Dewan Rakyat sepatutnya menjadi institusi yang membawa suara rakyat akar umbi dan bukannya syarikat perniagaan yang hanya memikirkan keuntungan, kata Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Kebangsaan, Arvend... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Dewan Rakyat sepatutnya menjadi institusi yang membawa suara rakyat akar umbi dan bukannya syarikat perniagaan yang hanya memikirkan keuntungan, kata Ahli Dewan Tertinggi Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Kebangsaan, Arvend Applasamy.

Disebabkan itu, beliau berkata, tindakan syarikat tembakau cuba melobi beberapa ahli Parlimen bagi menentang pelaksanaan generasi penamat melalui Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 perlu dikutuk sekeras-kerasnya.

"Perlu diingatkan ahli Parlimen ini dipilih dan diberi mandat oleh rakyat untuk memimpin.

"Bermaksud, sekiranya sesuatu perkara itu bahaya untuk kesihatan rakyat, sudah pasti ahli Parlimen perlu menolak sekeras-kerasnya. Itu mekanisme sepatutnya jadi pertimbangan ahli Parlimen,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui ada wakil industri tembakau cuba melobi dengan menemui beberapa Ahli Dewan Rakyat di Parlimen bagi menentang pelaksanaan generasi penamat yang lahir pada 2007.

Katanya, tindakan itu adalah kesalahan mengikut Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Arvend berkata, ahli Parlimen yang terbabit dalam pertemuan bersama wakil syarikat tembakau itu perlu mengamalkan ketelusan dengan menyatakan pendirian mereka berhubung isu tersebut.

Katanya, ini bagi mengelakkan keputusan dibuat mereka di Parlimen tidak dipengaruhi sebarang unsur luaran yang secara langsung boleh menjejaskan kepentingan rakyat.

Jelas Arvend, sejak pengumuman pembentangan RUU itu, beliau berpandangan tidak ada mana-mana kumpulan masyarakat membantah mengenai kepentingan cadangan tersebut yang dilihat sangat baik untuk memastikan kesihatan rakyat Malaysia secara am.

Pada Rabu, Khairy Jamaluddin membentangkan RUU itu untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Klik di sini untuk terus membaca