SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera menunaikan janji dalam meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan hak sama rata kepada lelaki dan perempuan dalam hal mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak. Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera menunaikan janji dalam meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan hak sama rata kepada lelaki dan perempuan dalam hal mewariskan kewarganegaraan kepada anak-anak.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, ramai anak kelahiran luar negara yang dinafikan hak kewarganegaraan, sedangkan ibu mereka adalah rakyat Malaysia.

Menurutnya, situasi itu berbeza bagi anak-anak yang berbapakan warga Malaysia.

"Di Malaysia, undang-undang mengenai kewarganegaraan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurut Perkara 14, jika bapa warganegara Malaysia dan berkahwin dengan warga asing, anak mereka adalah warganegara walau di mana anak itu dilahirkan.

"Namun, jika wanita Malaysia berkahwin dengan warga asing dan anak dilahirkan di luar negara, anak wanita itu tidak mendapat kewarganegaraan Malaysia. Ia adalah satu diskriminasi terhadap wanita.

"Ini adalah kedudukan undang-undang sedia ada yang perlu kita perhalusi dan pinda agar tiada lagi anak-anak yang dinafikan hak mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Pensyarah di Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, kesan daripada undang-undang sedia ada, anak wanita Malaysia ini akan menjadi warga asing walau tinggal di Malaysia.

Lebih menyedihkan, katanya, apabila anak-anak itu mencapai umur 18 tahun, mereka perlu memohon visa untuk tinggal di Malaysia.

"Situasi ini amat menyusahkan dan menyedihkan di mana anak-anak akan terpisah daripada ibu mereka.

"Bagi anak-anak yang berbapakan warganegara Malaysia, lebih mudah untuk mendapat kewarganegaraan, tidak perlu berdepan dengan pelbagai kerenah birokrasi,” ujarnya.

Sementara itu, media melaporkan, rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dan berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan secara automatik ditetapkan semula pada 5 Ogos.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin Md Said, Datuk Azizah Nawawi dan Datuk S Nantha Balan akan menyampaikan keputusan mereka di mahkamah terbuka.

Klik di sini untuk terus membaca