SEBUAH institusi yang bertanggungjawab ke atas dua masjid paling suci di Arab Saudi merancang untuk melakukan rombakan pentadbiran dengan tujuan untuk memperkasakan lagi kedudukan wanita dan golongan muda di negara beraja itu. Perubahan itu... Klik di sini untuk terus membaca

SEBUAH institusi yang bertanggungjawab ke atas dua masjid paling suci di Arab Saudi merancang untuk melakukan rombakan pentadbiran dengan tujuan untuk memperkasakan lagi kedudukan wanita dan golongan muda di negara beraja itu.

Perubahan itu berlaku selaras dengan lonjakan kualitatif untuk memperkasakan golongan wanita di sektor awam dalam rangka kerja sempena dengan Wawasan 2030 yang bertujuan untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran buruh dan jawatan awam.

Bagi golongan muda pula, wawasan itu mempercayai bahawa negara berkenaan bergantung kepada golongan muda kerana mereka mempunyai bilangan majoriti dalam populasi di Arab Saudi dan merupakan salah satu kumpulan yang terpenting di negara tersebut.

Banyak entiti di negara beraja itu telah mencipta dan melancarkan program dan projek untuk memperkasakan anak muda yang bertujuan untuk meningkatkan penyertaan sosial mereka termasuk di tempat kerja sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Nasional.

Program Transformasi Nasional yang diinspirasikan oleh Putera Mahkota memberi banyak pengiktirafan kepada wanita.

Wawasan 2030 itu diperkenalkan sejak April 2016 lagi ketika Putera Mahkota, Putera Mohammed Salman memegang jawatan sebagai Timbalan Putera Mahkota semasa pemerintahan ayahandanya, Raja Salman Abdulaziz Al Saud sebagai Raja Arab Saudi yang baru memerintah bagi menggantikan abangnya, Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud.

Putera Mohammed kemudian dilantik oleh ayahandanya bagi menjadi Putera Mahkota pada tahun 2017 bagi menggantikan sepupunya, Mohammed bin Nayef al-Saud yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.

Sehubungan itu, rombakan pentadbiran tersebut dilakukan selepas golongan wanita mula diberikan kepercayaan oleh kerajaan Arab Saudi untuk terlibat dalam sektor pentadbiran awam sebagai sebahagian daripada perubahan besar-besaran sejak beberapa tahun lalu.

ROMBAKAN BESAR-BESARAN

Bagi memastikan objektif wawasan 2030 tercapai, Ketua Presidensi Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci di Arab Saudi, Abdul Rahman Al Saudais mendedahkan baru-baru ini bahawa satu rombakan besar dalam sejarah institusi itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Beliau yang menerima ijazah kedoktoran dalam Syariah Islam daripada Universiti Umm al-Qura pada tahun 1995 semasa bekerja sebagai penolong profesor selepas berkhidmat di Universiti Riyadh berkata, penstrukturan semula itu adalah bagi menyatukan budaya inovasi dan kreativiti di negara berkenaan.

"Kami menyasarkan melalui penstrukturan semula ini untuk menyatukan budaya inovasi dan kreativiti dan mencipta petunjuk yang berkesan untuk meningkatkan pembuatan keputusan," tambah beliau dalam satu kenyataan medianya baru-baru ini.

Abdul Rahman yang berjaya menghafal al-Quran semasa berumur 12 tahun dan merupakan salah seorang imam di Masjidil Haram, Makkah turut menyatakan bahawa pemerkasaan wanita dan belia adalah matlamat utama rombakan yang dirancang itu.

Baru-baru ini, pihak Presidensi itu telah pun menggunakan sejumlah pekerja wanita bagi membantu memudahkan jemaah haji melakukan ibadat mereka di Masjidil Haram di Makkah dan membantu para jemaah di Masjid Nabawi di Madinah.

WANITA DI BARISAN HADAPAN

Golongan wanita buat pertama kalinya berada di barisan hadapan dalam pengurusan ibadat haji yang berlangsung baru-baru ini dan menurut Nouf Qahl iaitu Setiausaha Agensi Bantuan untuk Perkumpulan dan Wanita kepada Arab News bahawa agensinya itu diasaskan pada awal tahun ini dan mempunyai kira-kira 130 pekerja wanita.

Golongan wanita diberi peranan dalam urusan pengendalihan ibadat haji baru-baru ini. - Foto SPA

Kesukaran dalam menguruskan orang ramai di Makkah itu adalah terletak pada cara menangani mereka yang berasal daripada pelbagai budaya, bahasa dan tingkah laku yang berbeza dan ia adalah salah satu sains pengurusan paling sukar dan memerlukan kerjasama daripada berpuluh-puluh agensi pentadbiran lain.

Ketika musim haji, agensi tersebut bersedia menerima jemaah wanita pada setiap hari sehingga jam 9 malam di Masjidil Haram di Makkah dengan ramai daripada mereka akan datang selepas solat Asar dan solat Maghrib serta Isyak.

Abdul Rahman juga sebelum ini pernah melantik dua pembantu wanita dalam bidang pengurusan dua masjid suci tersebut yang mencatatkan sejarah buat pertama kali dengan berkata, pihak presidensi berhasrat untuk terus berusaha bagi mencapai manfaat maksimum daripada kakitangan wanita dalam memberi khidmat kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat selaras dengan Wawasan 2030.

SETIAUSAHA WANITA

Pada Januari lalu, Kementerian Hal Ehwal Islam telah melantik setiausaha wanita pertama sejak penubuhannya lebih 28 tahun lalu.

Pada Februari lalu, Abdul Rahman turut melantik Fatima al-Tuwaijri sebagai Penolong Presiden Umum Hal Ehwal Wanita di Masjid Nabawi, Madinah dan pelantikan itu menekankan keazaman kepimpinan Arab Saudi untuk membangunkan peranan wanita di tempat kerja.

Dalam langkah penting untuk memperkasakan lagi wanita di Arab Saudi, pihak Presidensi itu telah mengumumkan pelantikan 20 wanita yang merupakan pemegang ijazah sarjana dan kedoktoran dalam jawatan kepimpinan utama pada Ogos tahun lalu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca