PASTINYA ramai yang berduka cita apabila pagi ini kita didatangi dengan berita sedih pemergian seorang tokoh hebat yang cukup terkenal dengan sifatnya yang tegas dan disegani ramai iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Allahyarham Abdul... Klik di sini untuk terus membaca

PASTINYA ramai yang berduka cita apabila pagi ini kita didatangi dengan berita sedih pemergian seorang tokoh hebat yang cukup terkenal dengan sifatnya yang tegas dan disegani ramai iaitu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Allahyarham Abdul Khalid, 76, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur, jam 11.08 malam tadi dan pernah dilaporkan masuk ke hospital pada April dan Julai lalu akibat jangkitan kuman pada injap jantung.

Beliau merupakan Menteri Besar Selangor ke-14 yang pertama dari parti pembangkang, Pakatan Rakyat (PR) ketika itu, menggantikan Dr Mohamad Khir Toyo dari 13 Mac 2008 hingga 22 September 2014.

Semasa jenazah berada di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam untuk memberi peluang kepada rakyat Selangor memberikan penghormatan terakhir, wartawan Sinar Premium sempat menemu bual dua insan yang cukup rapat dan setia dengan beliau hingga ke akhir hayat.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI), Faekah Hussin berkata, Abdul Khalid merupakan seorang yang sangat serius dalam apa yang dilakukannya dan perancangan beliau sangat teliti dan lengkap, bukan separuh jalan.

"Beliau dikenali sebagai seorang yang berpengetahuan dan jika mahu melakukan sesuatu, perancangannya sudah tersedia dari mula hinggalah ke matlamat atau sasaran. Saya berasa sedikit terkilan dengan kehilangannya kerana terlalu banyak perkara yang beliau hendak laksanakan, bukan untuk diri sendiri tetapi untuk rakyat khusus di Selangor.

"Dia sangat tegas dan menepati masa. Pendirian serta peraturan yang ditetapkannya tidak berubah mengikut keadaan. Pernah suatu ketika apabila seorang pegawai mendapat tawaran untuk membeli rumah dari anak syarikat kerajaan negeri (PKNS) tetapi beliau tidak menyokong permohonan tersebut.

"Pegawai berkenaan berjumpa saya untuk membuat rayuan kepada Tan Sri bagi pihaknya, namun Tan Sri tetap dengan jawapan bahawa pegawai Pejabat MB tidak boleh membeli rumah kerajaan negeri. Walaupun kedengaran agak keras untuk dihadam tetapi bagi kami sikap sedemikian memudahkan kami untuk bekerja.

"Beliau sangat profesional dalam setiap kerja yang diberi. Tidak kira siapa memohon, siapa yang dapat atau siapa yang bantu, jawapannya tetap sama. Politik di dalam pejabat amat sensitif dan kami bangga ketua kami seorang yang telus dan tidak mengamalkan sikap pilih kasih,” katanya kepada Sinar Premium.

Allahyarham Abdul Khalid

Tambah Faekah, antara kata-kata atau pesanan beliau yang paling dia ingati adalah pengalaman bulan pertama dia bekerja dengan Abdul Khalid pada 2010, 12 tahun yang lalu.

"Yang paling saya tidak boleh lupa adalah semasa bulan pertama saya bekerja, saya masih belum mengenalinya atau mengetahui cara dia bekerja. Saya mendapat kertas kerja projek dari orang parti dan mereka mengamanahkan saya untuk menghantarnya pada Abdul Khalid.

"Saya amat terkejut apabila beliau berkata jika saya juga menjadi tukang bawa ‘fail’ untuk projek, dengan siapa beliau hendak harapkan? Ini bermaksud, dia bekerja dengan berintegriti dan tidak suka sesiapa di pejabatnya menjadi wakil atau juru rujuk untuk mendapat sesuatu perkara. Jika ada kertas kerja, mereka perlu hantar di kaunter dan bukan melalui mana-mana pegawai,” katanya.

Selain dianggap sebagai Menteri Besar berjiwa rakyat, Abdul Khalid pastinya dikenang seluruh rakyat Malaysia antaranya peranan beliau dalam ‘Serangan Subuh Guthrie’ (‘Guthrie Dawn Raid’) pada 7 Sept 1981.

Sebelum bergelar Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid merupakan antara individu penting terlibat dalam misi Malaysia mengambil alih Guthrie Corporation daripada British menerusi ‘serangan’ terhadap Bursa Saham London.

Abdul Khalid dimasukkan dalam rancangan tersebut yang disusun rapi oleh Perdana Menteri Keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Gabenor Bank Negara yang juga Pengerusi PNB ketika itu Ismail Ali.

Pengalaman beliau bekerja di sebuah syarikat penasihat kewangan di London membantu usaha pasukan tersebut mengembalikan segala hasil perladangan Guthrie Corporation kepada rakyat Malaysia.

JATUH BANGUN ABDUL KHALID

Setelah mengimbau kembali, antara detik yang paling terkilan buat Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor adalah penstrukturan air di Selangor.

"Kerajaan negeri Selangor mengambil keputusan untuk membuat penstrukturan air atas kebenaran dan arahan dari kerajaan pusat pada 2008 lagi, yakni sebelum PR mengambil alih kerajaan. Beliau mempunyai pelbagai strategi dan sangat berhati-hati serta tertutup dengan perancangan ini.

"Namun, terdapat pihak yang memfitnah beliau ada ‘deal’ dengan UMNO tentang pembelian air ini. Kesannya amat mendalam pada Abdul Khalid kerana nilai beliau terletak pada maruah dan harga dirinya.

"Apa yang mereka buat adalah membunuh karakter, mereka calar jati diri beliau hingga dia jatuh. Benar, Khalid menfailkan saman fitnah dan dia menang tetapi fitnah tersebut yang membuatkan beliau sangat tersinggung dan sakit.

"Saya rasa tidak keterlaluan apabila saya mengatakan itu salah satu punca kesihatan beliau menurun selepas melepaskan jawatan. Sekiranya parti lawan yang 'menikam' beliau, beliau tidak begitu terkesan tetapi kerana yang 'menikamnya' seperti 'gunting dalam lipatan' yang kononnya bersama dalam perjuangan, beliau berasa terkilan dan sangat sedih,” katanya.

Faekah juga berkongsi perjumpaan dan kata-kata terakhir dari Allahyarham Abdul Khalid kepada dirinya.

"Saya menziarah Tan Sri pada setiap hari sejak seminggu kebelakangan ini dan berada di hospital semasa beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

"Sebenarnya kali terakhir saya benar-benar berbual dengan beliau adalah pada 30 April lalu, sebelum beliau menjalani pembedahan jantung. Ketika itu beliau sangat yakin dan positif akan sembuh. Malah beliau mengucapkan selamat hari raya kepada saya dan menasihatkan saya jaga kesihatan. Itu merupakan kata-kata akhir beliau pada saya dan perasaan saya ketika itu sukar digambarkan,” katanya.

KETUA YANG BERDEDIKASI

Dalam pada itu, bekas setiausaha akhbar Abdul Khalid selama enam tahun, Arfa'eza Abd Aziz berkata, Allahyarham merupakan ketua yang terbaik sepanjang dia bekerja.

"Beliau seorang yang sangat berdedikasi, bekerja keras dan kita sebagai pegawai akan mengikut corak pimpinannya. Beliau sangat disenangi ramai kerana suka mengajar.

"Jika ada masalah, beliau akan menyuruh kami belajar perbaiki dan terus bergerak ke hadapan. Beliau juga sangat berpengetahuan dan tidak pernah datang mesyuarat dengan tangan yang kosong. Dari segi media, beliau tidak bermusuhan dan senang menjawab soalan biarpun jawapan itu mampu menggugat imej beliau,” katanya.

Arfa'eza juga berpandangan bahawa zaman Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor merupakan zaman kegemilangan Negeri Selangor.

Gambar kenangan Arfa'eza (kiri) bersama Allahyarham Abdul Khalid (kanan) di Royal Selangor Club Bukit Kiara, tahun lepas.

"Zaman itu kita mempunyai pelbagai program sosial, kemajuan dari segi 20 Program rakyat ekonomi Selangor dan gaji Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dinaikkan. Penggal pertama beliau tidak berbelanja atau mengambil apa yang ada di dalam rizab tetapi meninggikan rizab untuk merancang pembangunan.

"Itu perbezaan menteri besar yang berpengalaman dan bijak berbanding yang lain. Kami sebagai pekerja sangat gembira kerana dapat bekerja dengan Menteri Besar yang bekerja keras, cerdik dan berpengetahuan ketika itu,” katanya.

Abdul Khalid mula berkecimpung dalam politik sekitar 1995 menerusi UMNO serta merebut jawatan Timbalan Ketua Bahagian Kuala Selangor, namun tewas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Miskon Sutero ketika itu.

Pada kemunculan semulanya pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 dengan mewakili PKR, beliau telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, yang turut menyaksikan PR merangkumi PKR, DAP dan PAS membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Abdul Khalid seterusnya diangkat menjadi Menteri Besar Selangor pertama bukan dari Barisan Nasional pada 13 Mac 2008.

TEGAS TETAPI SERING RENDAH DIRI

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Tricia Yeoh juga turut berduka cita dan berkongsi pengalaman bekerja bersama Abdul Khalid selama dua tahun di dalam hantaran Facebooknya.

"Saya bekerja di bawahnya dari Januari 2009 hingga Mac atau April 2011 dan terlibat terutamanya dalam pakej rangsangan ekonomi yang dicadang oleh beliau dan menjalankan kajian rawak seperti yang diperlukan.

"Beliau seorang ketua yang degil, kadang kala mengelirukan dan tegas. Beliau tidak suka sekiranya seseorang melakukan sesuatu yang separuh masak atau yang tidak masuk akal secara matematik. Beliau pernah beberapa kali membuang kertas kerja yang tidak disediakan dengan baik dalam mesyuarat rasmi.

"Sebalik itu, beliau juga mempunyai sisi yang merendah diri, bekerja keras dan sentiasa melakukan perkara yang betul. Beliau tidak pernah mendahulukan dirinya. Beliau bekerja siang dan malam dan mencari penyelesaian untuk menjadikan wang negeri yang berfungsi untuk rakyat Selangor,” katanya.

Selama enam tahun memimpin Selangor, beliau antara lain memperkenalkan Dasar Hasil Negeri Untuk Rakyat dengan pelbagai program di bawah agenda ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’ membabitkan perbelanjaan lebih RM1.6 bilion untuk inisiatif dan skim bersifat kebajikan.

Dasar berjimat cermat dan perbelanjaan berhemah yang dilaksanakan pentadbirannya, turut membolehkan rizab simpanan negeri meningkat kepada RM3.3 bilion setakat September 2014 dan sebahagian simpanan itu telah digunakan untuk projek pembangunan seperti pembinaan Jambatan Ketiga Klang dan perumahan mampu milik.

Di bawah pentadbirannya juga, Selangor meneruskan tradisi sebagai pemangkin ekonomi negara dengan menyumbang 24 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), di samping kekal menjadi antara destinasi pelaburan terunggul.

Kerajaan negeri di bawah Abdul Khalid juga telah mencapai persetujuan dengan kerajaan Persekutuan dan empat syarikat konsesi untuk menstruktur semula perkhidmatan air dan usaha yang bermula sejak 2008 itu, membolehkan semua aset air dikembalikan kepada rakyat.

Meskipun tidak lagi menjadi Menteri Besar, ternyata khidmatnya masih diperlukan apabila Allahyarham dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Terengganu pada 2018 sehingga kini.

Allahyarham yang merupakan anak jati Jeram, Kuala Selangor, meninggalkan isteri Puan Sri Salbiah Tunut, empat orang anak dan dua cucu.

Klik di sini untuk terus membaca