PERTEMBUNGAN pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022, akhirnya menutup tirai pertengahan Julai lalu dengan aktivis masyarakat Adam Adli Abdul Halim diumumkan sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Menariknya kemenangan Adam Adli mengenepi dan memecahkan monopoli pasukan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dalam pimpinan kali ini.
Kemenangan Adam Adli turut dikaitkan dengan jalur sejarah perjuangannya sebagai seorang aktivitis mahasiswa yang tidak takut untuk memberontak dan turun ke jalanan.
Ia sangat dekat dengan kisah perjalanan hidup Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Persoalannya, mampukah Adam Adli membantu Anwar dan PKR menawan hati rakyat untuk kembali ke Putrajaya?
Wartawan Sinar Premium, Mohd Faizul Haika Mat Khazi menemu bual Adam Adli untuk mendapatkan jawapannya.
Sinar Premium: Apakah perasaan Adam apabila Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) umum nama anda sebagai pemenang jawatan Ketua AMK bagi sesi 2022-2025?
Adam: Pertama saya berasa terharu dan bersyukur dengan sokongan diberikan ahli AMK di peringkat akar umbi biarpun ini adalah pertama kali saya bertanding jawatan dalam parti politik.
Saya juga berasa gementar kerana tugas sebagai Ketua AMK amat berat dan besar untuk dilaksanakan.
Bagi saya individu yang menang bukan menang semua. Begitu juga individu kalah bukan kalah semua.
Jadi selepas tamat pemilihan parti kita kena kembali bersatu dan bekerjasama rapat bagi memastikan PKR menjadi sebuah parti kuat untuk menghadapi PRU15 tidak lama lagi.
SH: Bahang PRU15 kini semakin terasa, jadi apa yang akan dilakukan oleh Adam selaku Ketua AMK baharu untuk menarik golongan muda terutama berusia 18 hingga 35 tahun supaya menyokong PH terutamanya PKR nanti?
Pertama, mereka kena tahu apa yang PH dan PKR tawarkan kepada pengundi muda dan dasar yang mahu kita nak laksanakan misalnya untuk menangani masalah alam sekitar, pengangguran dan peluang pekerjaan dalam kalangan generasi muda, krisis makanan, peningkatan kos sara hidup dan harga barang.
Inilah isu-isu yang kini membelenggu generasi muda dan saya sendiri sebagai orang muda amat memahami masalah mereka dan perlu segera diselesaikan menerusi pengenalan dasar baharu jauh lebih baik berbanding diamalkan kerajaan sekarang.
Keduanya saya akan memberikan tumpuan kepada proses peremajaan parti dengan mengangkat lebih ramai tokoh muda berpengalaman untuk memimpin PKR pada masa depan.
Selain melihat kepada angka sebenar pengundi muda berusia antara 18 hingga 35 tahun, kita juga perlu memahami demografi dan tumpuan pengundi di Malaysia pada PRU15 nanti.
Kita perlu membawa pendekatan berbeza-beza kerana keperluan dan kehendak pengundi peringkat akar umbi di George Town Pulau Pinang dan Sungai Petani, Kedah.
SH: Berbalik kepada isu pengundi muda, adakah Adam akan turun padang dan bersama-sama dengan Rafizi bagi menjayakan program ‘Ayuh Malaysia’ bagi mendekati generasi muda?
Terserahlah tetapi saya sentiasa menyertai Program Jelajah Pakatan Harapan (PH) dan event akan datang bakal diadakan Selangor, tidak lama lagi.
Begitu juga Program Jelajah Pemuda PH yang akan dianjurkan di seluruh negara tidak lama lagi dengan negeri pertama akan menjadi penganjur ialah Kelantan.
SH: Adakah Adam berpandangan gandingan antara Anwar dan Rafizi mampu mengembalikan PKR ke landasan betul dan kuat menjelang PRU15 nanti?
Inilah gabungan dan gandingan yang ditunggu-tunggu dan mampu menaikkan semula semangat jentera parti untuk bekerja keras bagi memastikan semua calon PH terutama PKR meraih kemenangan pada PRU15 ini.
Sebab itulah PKR memilih untuk mengadakan pemilihan 2022 lebih awal, sebelum PRU15.
Presiden dan Rafizi mempunyai pendekatan dan kaedah berbeza bagi meraih sokongan pengundi terutama generasi muda pada PRU15 nanti.
SH: Apa pandangan Adam mengenai janji dibuat Datuk Seri Anwar untuk menurunkan harga minyak kepada RM1.50 jika beliau dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 nanti?
Saya berada di situ dan Datuk Seri Anwar tidak pernah menyebut secara spesifik akan turunkan harga minyak kepada RM1.50 seliter atau berapa... tetapi beliau hanya menjawab sindiran dibuat oleh sesetengah pihak.
Itu adalah realiti jika kamu mahu bercakap soal harga minyak, kos sara hidup, gaji, menyelesaikan hutang pelajar dan sebagainya susuk tubuhnya adalah Anwar Ibrahim.
Jadi kalau pengundi mahu tengok boleh ke tidak ia dilaksanakan, bagilah peluang kepada Anwar menjadi Perdana Menteri sekali.
Itulah maksudnya jika kita teliti seluruh ucapannya kita akan faham beliau memberi jaminan bahawa ‘Ya, saya ada beri jaminan, cara dan formula untuk merealisasikan perkara itu’.
Bagaimanapun, adakah Anwar dapat lakukan jika beliau terus hanya menjadi Ketua Pembangkang? Jadi itulah intipati ucapan beliau pada hari berkenaan.
SH: Adakah Adam melihat janji untuk menurunkan harga minyak, penghapusan hutang PTPTN, pendidikan percuma dan tol free akan mampu menarik sokongan pengundi terutama golongan muda untuk kembali menyokong PH pada PRU15 nanti?
Saya rasa tawaran janji dan komitmen diberikan Anwar itu masih kekal relevan dan mampu menarik kembali sokongan pengundi terutama generasi muda kepada PH dan PKR, dalam PRU15 nanti.
Kami melihat masih banyak perkara dan perjuangan yang masih belum diselesaikan oleh PH selepas PRU14 lalu.
Kita tidak amalkan misalnya kalau BN beri bantuan RM100, maka kita beri RM200, atau kalau harga petrol RON95 di bawah pemerintahan BN dijual pada harga RM2, kita akan tetapkan pada paras RM1.90 seliter.
Itu tidak betul kita perlu penyelesaian lebih konkrit dan memberikan kesan jangka pendek dan panjang cukup besar kepada PH.
Kita kena perkenalkan pendekatan di luar kotak dan memberikan impak lebih besar kepada rakyat.
SH: Adakah AMK akan terus turun menyertai demonstrasi jalanan bagi mendesak kerajaan menurunkan harga barang, kos sara hidup dan kadar inflasi?
Ya kerana demonstrasi jalanan adalah salah satu saluran untuk menyatakan desakan dan tuntutan kita terutamanya dalam ruang di mana jika kita meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan di media sosial pun mungkin akan ditangkap pihak berkuasa.
Apa yang saya risau selepas ini berhimpun disiasat dan bersuara di media sosial pun ditahan, adakah media massa pun selepas ini akan dihalang daripada melaporkan mengenai isu kritikal yang dihadapi rakyat sekarang.
Klik di sini untuk terus membaca