BARU-baru ini, Presiden China, Xi Jinping berbual lebih dua jam dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menerusi telefon di tengah-tengah ketegangan hubungan antara dua kuasa dunia itu berhubung dengan isu Taiwan. Jinping dan Biden... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-baru ini, Presiden China, Xi Jinping berbual lebih dua jam dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menerusi telefon di tengah-tengah ketegangan hubungan antara dua kuasa dunia itu berhubung dengan isu Taiwan.

Jinping dan Biden turut bercakap dalam pelbagai isu selama 2 jam dan 17 minit pada Khamis lalu dan ia merupakan perbualan pertama melibatkan kedua-dua pemimpin kuasa dunia itu dalam tempoh kira-kira empat bulan.

Menurut Rumah Putih, perbualan itu adalah sebahagian daripada usaha pentadbirannya untuk mengekalkan dan 'memperdalamkan' talian komunikasi antara AS dan China untuk menguruskan perbezaan serta kerjasama antara kedua-dua negara tersebut secara bertanggungjawab.

Panggilan tersebut adalah yang kelima antara Presiden AS dengan rakan sejawatannya itu sejak Biden memegang jawatan berkenaan dan topik perbincangan hangat antara mereka berdua ialah tentang desas-desus Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi akan melawat Taiwan.

Jinping turut memberi amaran kepada AS supaya tidak bermain dengan api ke atas Taiwan manakala Kementerian Pertahanan China membayangkan akan mengambil tindakan ketenteraan sekiranya pesawat yang dinaiki Pelosi mendarat di Taipei.

Ura-ura Pelosi iaitu ahli politik veteran yang berusia 82 tahun akan melawat kepulauan yang terletak dekat dengan Tanah Besar China itu tersebar sejak April lalu dan Beijing menentang keras lawatan tersebut dilakukan.

Namun, pada April lalu beliau menangguhkan satu siri lawatan ke Asia selepas disahkan positif Covid-19 sekali gus menyebabkan lawatan mengejut yang didakwa akan dilakukannya ke atas Taiwan juga terpaksa dibatalkan.

Pelosi yang mewakili Parti Demokrat akan menjadi ahli politik paling kanan jika melawat Taiwan sejak tahun 1997 apabila Speaker Dewan Perwakilan AS ketika itu, Newt Gingrich daripada parti Republikan turut melawat pulau tersebut.

Berikutan ura-ura Pelosi akan melawat Taiwan itu, kira-kira 100,000 netizen di seluruh dunia dilaporkan sudah berkunjung ke laman sesawang Fightradar24 bagi menjejaki sebuah pesawat yang dipercayai membawa delegasi Pelosi.

Pada Sabtu lalu, sebuah kapal terbang Tentera Udara AS, Boeing C-40C dengan nombor pendaftaran 09-0540 telah berlepas dari Hawaii untuk menuju ke arah Asia seperti dipaparkan di laman sesawang FlightRadar yang dipercayai membawa Speaker Dewan Perwakilan tersebut.

Laman sesawang Fightradar24 merupakan perkhidmatan pengesanan penerbangan global yang menyediakan maklumat tentang beribu-ribu pesawat di seluruh dunia.

Tentera China akan bertindak jika Nancy Pelosi melakukan lawatan ke Taiwan. - Foto AFP

Tumpuan lawatan itu menarik minat ramai pihak kerana terdapat tentangan China terhadap ura-ura kunjungan Pelosi tersebut kerana China dengan tegas menentang sebarang langkah ke arah kemerdekaan Taiwan dan campur tangan kuasa luar.

AS sebelum ini secara rasminya telah mengiktiraf China pada tahun 1979 dan mengalihkan hubungan diplomatik dari Taipei ke Beijing dan menerima Taiwan sebagai sebahagian daripada tanah besar di bawah dasar Satu China.​

Walaupun tidak secara rasmi mengiktiraf Taiwan sebagai negara merdeka, AS bertindak menyokong kerajaan pulau itu dengan menjual senjata kepadanya manakala Beijing menganggap Taiwan sebagai wilayah yang terpisah sejak tahun 1949.

Ketika lawatan itu mengundang kontroversi, Pelosi pada Ahad lalu telah mendedahkan jadual perjalanannya ke Asia dengan berkata beliau akan singgah di Singapura, Malaysia, Korea Selatan dan Jepun di tengah-tengah tentangan daripada China jika Speaker Dewan Perwakilan tersebut cuba melawat Taiwan.

Bagaimanapun, dalam ciapannya menerusi Twitter itu, beliau tidak ada menyatakan tentang sebarang lawatan ke Taiwan.

Sungguhpun begitu, sebuah organisasi media Taiwan, SET News telah mendakwa bahawa Pelosi akan melawat Taiwan melalui Filipina pada Khamis dengan memetik sumber Radio France Internationale (RFI) tetapi tidak menghuraikan, memberikan pautan atau sebarang bukti lain berkaitan dengan lawatan tersebut.

Berikutan tersebarnya ura-ura lawatan Pelosi itu, Beijing melakukan latihan ketenteraan pada Sabtu lalu di luar pantai wilayah tenggara Fujian di seberang selat antara Tanah Besar China dengan Taiwan.

Lu Xiang iaitu pakar dalam kajian AS di Akademi Sains Sosial China memberitahu Global Times pada Ahad lalu bahawa rancangan yang diumumkan tanpa menyebut Taiwan boleh menjadi hasil komunikasi antara Pelosi dan Rumah Putih, Pentagon serta Ketua Turus Bersama Tentera AS.

Selepas perbualan telefon antara Presiden China dan AS itu terutamanya kata-kata pemimpin China yang menyatakan bahawa pihak yang bermain api akan binasa menyebabkan pihak AS perlu berhati-hati dalam perkara tersebut.

Sehubungan itu, adakah Pelosi benar-benar akan melawat Taiwan yang akan mengakibatkan tentera China mengambil tindakan ketenteraan ke atasnya atau beliau tunduk kepada permintaan China supaya tidak melakukan lawatan hanya akan hanya terjawab dalam tempoh beberapa hari lagi. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca