SAMBUTAN Hari Pahlawan pada setiap 31 Julai adalah satu usaha murni keprihatinan kerajaan mengenang jasa perwira dan pahlawan negara yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi serta melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.
Walaupun sambutan hari pahlawan di negara ini bukanlah sesuatu yang dianggap menonjol seperti perayaan keagamaan, mengenang kemerdekaan atau Hari Malaysia, ia mempunyai signifikannya tersendiri.
Kepahlawanan sebenarnya adalah satu sifat yang perlu dihargai bukan hanya apabila seorang perwira itu telah gugur.
Membentuk acuan seorang pahlawan adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksana oleh semua pihak, khususnya pihak kementerian yang berkenaan dan wajib disokong oleh semua pihak yang terlibat dalam sektor pertahanan.
Untuk membentuk peribadi seorang pahlawan, ia bukan sahaja melibatkan didikan dan kemahiran, tetapi juga peralatan terutamanya platform berkaitan persenjataan.
Siapa yang tidak mengenal Hang Tuah yang boleh dianggap sebagai pahlawan terulung, yang mengungkapkan kata-kata hikmat masih dilaungkan sehingga hari ini.
Tentunya apabila nama Laksamana Hang Tuah disebut, kita tidak boleh lari dari kesaktian yang diletakkan pada senjatanya, iaitu keris Taming Sari.
Demikianlah pentingnya sistem senjata yang ampuh, sehinggakan Hang Tuah terpaksa merebut senjata tersebut dua kali demi memastikan kemenangan berpihak kepada beliau.
Perkara ini sebenarnya perlu dijadikan iktibar bahawa walau ilmu persilatan Hang Tuah tiada tolok bandingnya di Melaka, namun kesaktian Taming Sari masih diperlukan.
Gabungan keduanya telah berjaya membentuk seorang pahlawan yang tidak mampu ditewaskan ketika itu.
Jika Hang Tuah masih hidup dalam era peperangan moden, tentunya beliau akan mencari-cari platform yang mampu menjadikan beliau seorang laksamana yang digeruni lawan dan dihormati lawan.
Analogi yang boleh dibuat mengenai gabungan individu dan platform ini adalah prestasi yang dipamerkan oleh anak-anak kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Kapal Diraja (KD) Lekir ketika menyertai eksesais multilateral maritim terbesar dunia Rim of The Pacific (RIMPAC) 2022 yang diadakan di Kepulauan Hawaii baru-baru ini.
Kapal KD Lekir mula dioperasikan oleh TLDM pada 1984, namun pada 2014 ia telah menjalani proses Service Life Extension Program (SLEP) atau program peningkatan keupayaan jangka hayat yang turut menyaksikan peningkatan pada pelbagai sistem elektronik dan persenjataan.
Semua 140 kru kapal telah bersedia sejak tahun lalu, mendalami ilmu pelayaran dan peperangan dengan menyertai beberapa siri eksesais dengan kapal tentera laut Jerman, Perancis dan Amerika Syarikat.
Kru KD Lekir telah bertahan 99 hari belayar di laut untuk sampai ke lokasi latihan di Hawaii.
Ia kemudian telah diberi kepercayaan untuk meluncurkan peluru berpandu ke arah sasaran kapal permukaan yang terletak 36 kilometer dari kedudukannya.
Penembakan untuk menenggelamkan kapal sasaran ini turut dilaksanakan oleh kapal dan pesawat dari Australia, Kanada dan Amerika Syarikat.
Tentunya tekanan yang dirasakan oleh kru KD Lekir bukanlah sedikit kerana tindak-tanduk, kemampuan dan kecekapan mereka bakal diperhatikan dalam eksesais yang melibatkan 26 negara, 38 kapal perang, empat kapal selam, 170 pesawat serta 25,000 pegawai dan anggota.
Namun seperti yang dilakukan oleh Hang Tuah dengan menggunakan Taming Sari ketika berada jauh di rantau orang, membunuh lawannya di istana Seri Betara Majapahit, kru KD Lekir telah berjaya menembak tepat ke sasaran, ‘memusnahkan’ musuh dengan peluru berpandu Exocet MM40.
Jika ada yang menyatakan ini adalah hanya latihan yang tiada risiko, harus diingat bahawa ketika RIMPAC 2022, sebuah kapal korvet tentera laut Peru, BAP Guise telah terbakar.
Kapal ini telah mula dioperasikan oleh Korea Selatan pada 1989, dan dilucut tauliah pada 2019.
Kapal yang berusia lebih ‘muda’ dari KD Lekir ini , kemudiannya telah melalui proses senggara dan pada awal tahun 2022 telah ditauliahkan semula dalam perkhidmatan tentera laut Peru.
Perkara ini juga perlu dijadikan sempadan, bahawa platform dan sistem persenjataan pahlawan mestilah setara dengan kemahiran dan kemampuannya, di samping mampu berhadapan ancaman semasa.
Mengharapkan perwira, namun memberikannya keris tumpul dan perisai rotan yang telah reput dan kemudian menggelarnya seorang pahlawan apabila dia terkorban adalah satu dosa besar.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca