SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri tidak akan melakukan sebarang lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kerana tiada keperluan buat masa ini. Menurut satu sumber, pada masa ini jawatan menteri-menteri kanan yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri tidak akan melakukan sebarang lantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kerana tiada keperluan buat masa ini.

Menurut satu sumber, pada masa ini jawatan menteri-menteri kanan yang diwujudkan sudah memadai dan memenuhi keperluan pentadbiran negara.

"Ketika negara sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran pada masa ini maka Perdana Menteri mahu memberi sepenuh tumpuan kepada usaha-usaha memperkukuhkan ekonomi dan kebajikan rakyat.

"Jadi secara dasarnya memang lantikan bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak diperlukan buat masa ini dan sudah mencukupi dengan peranan menteri kanan yang amat penting dan lebih berkesan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus wujud perjanjian antara Ismail Sabri dengan Perikatan Nasional (PN) bagi melantik seorang Timbalan Perdana Menteri pada 1 Ogos.

Bagaimanapun, sumber terbabit menafikan wujud perjanjian sedemikian dan menegaskan tiada sebarang lantikan akan dibuat.

"Saya mengesahkan bahawa tiada sebarang tarikh langsung mengenai pelantikan jawatan ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, satu sumber lagi memberitahu Sinar Harian, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka bertemu dengan Ismail Sabri dalam tempoh terdekat.

Pada 9 Julai lalu, bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mengesahkan wujud perjanjian antara Muhyiddin dan Ismail Sabri mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Marzuki mendakwa, perjanjian itu disaksikan dua individu penting daripada UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau mengesahkan perjanjian itu wujud dan terlibat secara langsung dalam penyediaan perjanjian tersebut.

Ia ditandatangani oleh Muhyiddin dan Ismail Sabri pada 17 Ogos 2021 dan disaksikan oleh seorang menteri daripada Bersatu dan seorang menteri UMNO.

Muhyiddin sebelum ini juga dilapor telah mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan TPM.

Namun, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan kemudiannya menafikan wujud perjanjian dengan Ismail Sabri untuk melantik TPM sebelum beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

Klik di sini untuk terus membaca