SUHU bumi direkodkan bertambah panas pada kadar 1.1 darjah Celsius sejak zaman praindustri, dengan tahun 2011-2020 adalah dekad paling panas dicatatkan. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada abad ini bumi berkemungkinan besar... Klik di sini untuk terus membaca

SUHU bumi direkodkan bertambah panas pada kadar 1.1 darjah Celsius sejak zaman praindustri, dengan tahun 2011-2020 adalah dekad paling panas dicatatkan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada abad ini bumi berkemungkinan besar akan mengalami peningkatan suhu sekitar 2.7 darjah Celcius.

Terkini, gelombang haba telah memecahkan rekod yang dikaitkan dengan perubahan iklim hingga menjadikan cuaca ekstrem melebihi kebiasaan.

Gelombang haba adalah satu tempoh suhu tinggi luar biasa yang melebihi suhu maksimum purata harian dengan keadaan cuaca yang panas.

Di Malaysia, gelombang haba ditakrifkan apabila suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celcius untuk tiga hari berturut-turut.

Gelombang haba menjadi lebih kerap disebabkan perubahan iklim, yang mana apabila suhu global meningkat dari semasa ke semasa, fenomena ini dijangka menjadi lebih teruk.

Saintis iklim melihat semakin banyak gelombang haba memecahkan rekod, menyebabkan suhu melampau menjadi lebih cepat daripada kebanyakan ramalan model iklim, sepertimana yang berlaku di Eropah kini.

Di Britain, gelombang haba yang berpunca daripada perubahan iklim dijangka meningkat sekurang-kurangnya 10 kali lebih tinggi yang mana 34 lokasi di Britain mencatat rekod tertinggi pada 20 Julai, dengan timur England merekodkan suhu tinggi sepanjang masa iaitu 40.3 darjah Celcius.

Sejumlah 68 bandar di China turut mengeluarkan amaran merah dengan ramalan suhu melebihi 40 darjah Celcius menyebabkan bumbung bangunan mencair dan jalan raya menggelembung memaksa penduduknya berteduh di tempat perlindungan bawah tanah dilengkapi WiFi, buku, mesin air dan juga ketuhar gelombang mikro.

Fenomena ini sangat membimbangkan kerana jika pelepasan karbon tidak dikurangkan dengan cepat, ia boleh menjadi lebih buruk daripada yang dijangkakan.

Antaranya, serangan haba berpanjangan boleh mengakibatkan lebih banyak kes di hospital, kehilangan produktiviti mendadak dalam pembinaan dan mengurangkan hasil pertanian serta kerosakan langsung kepada infrastrukturnya.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menyatakan, suhu berterusan sekitar 33-34 darjah Celcius boleh mengakibatkan purata pekerja kehilangan 50 peratus daripada kapasiti kerja.

Dianggarkan menjelang 2030, gelombang haba boleh mengurangkan jumlah jam bekerja di seluruh dunia sebanyak lebih dua peratus, bersamaan 80 juta pekerjaan sepenuh masa, dengan kos 2.4 trilion dolar (RM10.56 trilion).

Malah, jika gelombang haba muncul sewaktu musim kemarau, episod kebakaran hutan boleh berlaku pada skala besar berpunca daripada tumbuhan dan tanah yang mengering.

Kebakaran hutan telah dilaporkan di beberapa negara Eropah termasuk Sepanyol dan Croatia hingga membakar rumah dan mengancam mata pencarian.

Haba panas yang ekstrem turut menjejaskan kesihatan manusia dengan cepat terutama kepada golongan berisiko tinggi iaitu kanak-kanak, warga emas dan mereka yang menghidap penyakit.

Gelombang panas yang melampau boleh menyebabkan tekanan darah lebih rendah dan apabila digabungkan dengan keadaan berpeluh, boleh menyebabkan keletihan haba dehidrasi, kekejangan panas dan strok haba yang memburukkan keadaan perubatan sedia ada.

Pertubuhan Meteorologi Dunia memaklumkan suhu sangat tinggi menyebabkan hampir 10 peratus daripada dua juta kematian berpunca akibat cuaca ekstrem sejak tahun 1970 hingga 2019 dengan sejumlah 185,000 kematian dicatat terutama antara 2010 hingga 2019.

Camilo Mora, profesor di Universiti Hawaii menyatakan, hampir separuh penduduk global akan terdedah kepada ‘panas maut’ 20 hari atau lebih setiap tahun menjelang tahun 2100, walaupun pemanasan global dihadkan di bawah 2 darjah Celcius, sasaran asas Perjanjian Paris. Natijahnya, planet kita berdepan darurat iklim.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca