SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) dijangka mendapat sokongan pengundi lebih ramai ekoran pertembungan antara gabungan parti itu dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, trend pengundi yang berpecah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini mungkin menyebabkan undian lebih memihak kepada PN.
Menurutnya, pertembungan antara dua gabungan parti Melayu itu pada PRU15 nanti menyaksikan margin keuntungan akan lebih memihak kepada PN.
"Jika diperhatikan trend di Melaka dan Johor, memang kita nampak undi status quo di mana undi UMNO tidak berkurang dan tidak bertambah. Undi popularnya juga kekal.
"Namun dengan trend pengundi yang berpecah, maksudnya yang tidak mahu mengundi BN ataupun kecewa dengan Pakatan Harapan (PH), undian mereka mungkin akan beralih kepada PN.
"Jadi sekiranya ini berlaku, di sinilah mungkin akan memberi kekuatan kepada PN. Kalau tidak menang pun, mungkin boleh mempengaruhi atau memecahkan undi-undi tradisi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Bagaimanapun katanya, margin keuntungan itu sebenarnya masih lagi belum menjadi faktor kuat penentu kemenangan.
"Sebagai penganalisis, saya melihat melalui trend pengundian ini, PN mungkin boleh dapat keuntungannya daripada situ,” ujarnya.
Pada Ahad, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, parti itu akan menyelesaikan agihan kerusi melibatkan parti gabungannya secara bertolak ansur dan diselesaikan secepat mungkin sebagai persediaan awal berdepan PRU15.
Muhyiddin turut memberikan bayangan bahawa PN akan bertanding di semua kerusi atau sebahagian kerusi yang telah diagihkan.
Ditanya mengenai Muafakat Nasional (MN), Mujibu berkata, kewujudan gabungan parti itu kini sudah tidak dapat dirasai lagi.
"Saya dah tidak nampak MN ini ada lagi walaupun ada ura-ura yang mengatakan bahawa di Selangor lebih sesuai menggunakan MN.
"Kita harus faham, MN adalah gabungan parti ketika PH memerintah, namun dinamikanya kini sudah tidak lagi serentak.
"BN boleh nampak walaupun tanpa MN, ia boleh memulakan momentum dan Pas pun melihat lebih banyak kelebihan dia bersama PN berbanding bergabung dengan UMNO,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca