SHAH ALAM - Pembentangan Enakmen Anti Lompat Parti dijangka mendapat sokongan penuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di setiap negeri apabila dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Pembentangan enakmen tersebut dijangka menjadikan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis lalu, sebagai rujukan agar tidak berlaku sebarang percanggahan.
ADUN Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, enakmen berkenaan sewajarnya dilaksanakan di peringkat negeri bagi mengelakkan tindakan wakil rakyat ‘dibeli’ atau melompat parti yang semestinya memberi kesan terhadap kestabilan politik negeri terlibat.
"Saya bersetuju bahawa di peringkat negeri juga wajib mengadakan perubahan dari segi undang-undang agar RUU ini boleh diguna pakai dan diangkat bagi memastikan mana-mana (ADUN) yang menang ketika Pilihan Raya Umum (PRU) berdasarkan parti masing-masing tidak melompat parti.
"Walaupun ia sudah diluluskan di peringkat Parlimen, namun masih perlu diperhalusi supaya tidak melanggar peraturan di bawah Perlembagaan negara."Di peringkat Negeri Sembilan, saya yakin ia akan diusulkan untuk dibentangkan,” katanya pada Isnin.
Sebelum ini Dewan Rakyat meluluskan RUU berkenaan selepas bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti melebihi dua pertiga.
Jawatankuasa Pilihan Khas memutuskan ahli Dewan Rakyat yang keluar dari suatu parti politik dan menyertai parti lain terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan perlu dikosongkan kerusi.
Sementara itu, ADUN Trong, Jamilah Zakaria berpandangan, enakmen berkenaan amat sesuai dilaksanakan di Perak ekoran komposisi kerusi negeri itu berhadapan isu sejak tahun 2008.
"Saya yakin enakmen ini boleh mengajar ADUN untuk lebih bertanggungjawab ke atas undi yang telah rakyat berikan.
"Pembangkang atau kerajaan tetap boleh memberikan khidmat kerana Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad memberi peruntukan kepada semua ADUN, jadi tiada alasan untuk mengatakan lompat (parti) sebab nak jaga rakyat,” tegasnya.
ADUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman juga menyuarakan keyakinan bahawa ADUN daripada Barisan Nasional (BN) akan memberi sokongan penuh terhadap enakmen berkenaan apabila ia dibentangkan dalam sidang DUN Terengganu.
"Ia satu perkara yang baik dan perlu disokong oleh semua, tidak kira parti mana.
"Enakmen ini untuk kebaikan dan kita tidak mahu orang yang menjadi calon dan menang tidak setia dengan parti dan perjuangan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca