SHAH ALAM - Para penganalisis politik berpandangan, tiada keperluan untuk mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) memandangkan empat menteri kanan sedia ada sudah memainkan peranan yang signifikan dalam membantu Perdana Menteri mentadbir negara.
Malah, dengan tempoh berbaki 10 bulan sahaja lagi sebelum tempoh matang untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU), jawatan TPM tidak seharusnya menjadi polemik utama pada saat rakyat berdepan dengan kenaikan inflasi dan kawalan perbelanjaan di sektor awam yang diperketatkan.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, dalam konteks hari ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu melihat semula kepada defisit sokongan yang diterima parti itu.
"Kalau Bersatu terus desak PM tunaikan janji pelantikan jawatan TPM, saya lihat Bersatu hanya akan alami defisit sokongan yang lebih teruk selepas ini.
"Ini kerana sentimen rakyat hari ini, kalau ada menteri yang pakai pakaian mahal atau ke luar negara sekali pun, termasuklah tuntutan jawatan menteri dan TPM, ia seolah-olah parti politik terlalu ‘lapar’ jawatan sehingga rakyat jemu dengan tindak tanduk ahli politik itu sendiri.
"Memang tiada keperluan langsung, apakah yang TPM boleh buat dalam tempoh yang singkat ini kerana kita sudah ada menteri kabinet yang khusus untuk membantu rakyat. Kita sudah ada PM dan menteri kanan yang banyak dalam kabinet kerajaan.
"Kalau betul nak wujudkan jawatan TPM, lupuskan jawatan menteri-menteri kanan itu kerana jawatan menteri kanan itu sudah memberikan beban kepada kewangan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib pula berpandangan, jika kewujudan jawatan TPM hanya menambahkan kecenderungan kepada perebutan kuasa, ia tidak perlu diwujudkan.
Jelasnya, tempoh matang sudah terlalu singkat dengan spekulasi PRU mungkin diadakan pada bulan 10 atau 11.
"Tuntutan untuk jawatan TPM ini juga menunjukkan rasa tidak selamat Bersatu kerana parti itu juga adalah serpihan dan sedang menimbang nasib selepas dua kekalahan besar di Melaka dan Johor.
"Desakan itu mungkin untuk mengukuhkan kedudukan Bersatu yang dilihat tidak begitu membumi, ‘ibarat teratai yang terapung’ dan akarnya hanyut.
"Di situ, kita lihat Bersatu takut hanyut terus dan dia mahu terus berpaut. Menuntut diberikan ruang menjadi TPM sebenarnya untuk mengukuhkan mereka sahaja,” jelasnya.
Penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Md Shukri Shuib turut senada dan menyatakan, tiada justifikasi yang signifikan dalam tuntutan mewujudkan jawatan TPM.
Malah katanya, format sedia ada juga terhasil daripada formula pemikiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menjadi Perdana Menteri.
Tambahnya, polemik jawatan TPM harus dihentikan sebaliknya memberi tumpuan kepada pilihan raya untuk mendapat mandat baharu daripada rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca