SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menunaikan tiga lagi tuntutan dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, ia berikutan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti berjaya diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Khamis lalu, seperti yang tertakluk dalam perjanjian di antara kerajaan dan pembangkang.
"Saya yakin janji lain seperti mengehadkan jawatan perdana menteri tidak lebih 10 tahun dan ke arah pendanaan parti politik yang dibuat di negara lain juga akan ditunaikan oleh kerajaan.
"Kita harap (tuntutan ini) akan dapat dicapai menjelang pilihan raya, saya positif,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Sinar PM sempena ulang tahun ke-16 Sinar Harian di sini pada Isnin.
Untuk rekod, sejurus RUU berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti diluluskan, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menuntut agar tiga lagi janji dalam MoU di antara kerajaan dan PH segera dilaksanakan.
Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, dengan lulusnya pindaan Perlembagaan itu, maka 15 daripada 18 perkara yang dipersetujui dalam MoU berkenaan telah dilaksanakan atau bersamaan 83.3 peratus.
Ketika mengulas mengenai pengagihan kerusi dalam PRU15 nanti, Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, perbincangan kerusi masih berada di peringkat awal.
"Kerusi di mana Amanah nak bertanding belum diputuskan lagi. Kami putuskan bersama dengan PH.
"Apabila dah selesai nanti barulah kita umum di mana tempat kita akan bertanding,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca