SHAH ALAM - Biarpun bahangnya kian dirasai namun Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim masih 'berteka teki' dan enggan mendedahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen mana bakal ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Sebaliknya, bekas aktivis sosial dan mantan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu menyerahkan nasibnya kepada pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukannya.
Adam Adli berkata, apa yang paling penting sekarang ialah AMK perlu menyediakan seramai mungkin anak muda yang layak secara merit, berpengalaman, memenuhi aspirasi generasi muda dan sudah lama membuat gerak kerja di peringkat akar umbi untuk diangkat menjadi calon PKR.
"Bukan soal kita akan membuat tuntutan tetapi isunya kemampuan. Saya menganggap PRU15 amat kritikal dan penting kerana kita memerlukan lebih ramai muka baharu terutama daripada golongan muda dan AMK dalam PRU15 nanti," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Premium baru-baru ini.
Tegasnya, jika Wanita PKR mahukan 30 peratus calon parti ini dalam PRU15 adalah daripada golongan mereka maka tidak salah jika peluang sama atau lebih berdasarkan merit tertentu diberikan kepada AMK.
"Kalau AMK diberikan lebih banyak kerusi lagi bagus kerana seperti kita tahu majoriti pengundi PRU15 adalah terdiri daripada orang muda sekali gus memberikan impak kepada keputusan pilihan raya.
"Jadi dengan calon lebih segar dan lebih baik serta pendekatan baharu serta mereka mempunyai merit, kelayakan dan sudah terlibat dengan gerak kerja parti di peringkat akar umbi. Jadi saya nampak AMK mungkin mendapat peluang untuk menampilkan calon lebih ramai.
"Tetapi kita jangan silap kerana bukan bermaksud AMK tidak akan turun berkempen di kawasan ditandingi calon Wanita dan PKR lain. Kita akan membantu kempen dan memenangkan semua calon PH pada PRU15 nanti," katanya.
PERSIAPAN AMK
Dalam pada itu, Adam Adli berkata, PKR dan AMK ketika ini sedang membuat persiapan rapi bagi menghadapi PRU15 yang dijangka diadakan sama ada pada November ini atau Mac depan.
"Bagaimanapun, secara jujurnya masih banyak perkara perlu dilakukan kerana kita bukan berada dalam kedudukan terbaik dan masih banyak kelompongan dari kepimpinan di peringkat cabang PKR.
"Inilah cabaran perlu diselesaikan kepimpinan baharu PKR termasuk saya. Bagaimanapun, dari segi moral dan semangat untuk menghadapi PRU15 kita sudah bersedia sepenuhnya," katanya.
Keputusan pemilihan PKR penggal 2022-2025 menyaksikan Adam Adli menang jawatan Ketua AMK selepas memperoleh 12,310 undi mengatasi lawannya Fahmi Zainol yang mendapat 9,850 undi.
Keputusan penuh pemilihan PKR juga menyaksikan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menang jawatan Timbalan Presiden, menewaskan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Klik di sini untuk terus membaca