RAMAI golongan wanita mudah diperdayakan untuk menjadi keldai dadah dan terpaksa meringkuk dalam penjara selama bertahun-tahun selepas didapati bersalah menyeludup narkotik di beberapa buah negara di dunia termasuk Asia. Aktivis-aktivis,... Klik di sini untuk terus membaca

RAMAI golongan wanita mudah diperdayakan untuk menjadi keldai dadah dan terpaksa meringkuk dalam penjara selama bertahun-tahun selepas didapati bersalah menyeludup narkotik di beberapa buah negara di dunia termasuk Asia.

Aktivis-aktivis, para sukarelawan penjara, peguam dan wanita pernah bercakap kepada AFP bahawa keldai dadah asing merupakan sebahagian besar daripada mereka yang berada di sayap penjara wanita.

Perkhidmatan Pemulihan Hong Kong berkata, sebanyak 37 peratus daripada banduan warga asing adalah terdiri daripada wanita tetapi ia enggan mengulas sebab-sebab yang mengakibatkan kaum Hawa mempunyai bilangan yang ramai.

Statistik rasmi menunjukkan bahawa satu perempat daripada 8,434 orang yang ditahan di penjara Hong Kong pada tahun lepas adalah wanita dan ia merupakan kadar tertinggi di seluruh dunia, menurut laman web tentang maklumat mengenai jel, World Prison Brief.

Berada di tempat kedua ialah Qatar yang mana sebanyak 15 peratus penghuni di penjara adalah wanita manakala hanya 16 negara atau wilayah lain yang mempunyai bilangan kaum Hawa di dalam jel melebihi 10 peratus.

Hong Kong mempunyai pelabuhan dan lapangan terbang yang maju dan telah lama menjadi hab global untuk perdagangan, selain ia turut digunakan oleh sindiket jenayah.

Keldai dadah adalah pilihan yang mudah untuk pegawai polis dan pendakwa raya di Hong Kong yang mana pengakuan bersalah yang dibuat awal pada kebiasaannya akan menyebabkan tempoh penjara dapat dikurangkan sehingga satu pertiga.

Melawan sabitan bersalah kerana dadah mengundang risiko memandangkan peraturan narkotik yang keras di Hong Kong dengan hukuman penjara adalah bermula dari 20 tahun untuk kesalahan membawa lebih daripada 600 gram kokain.

DARI PERU KE HONG KONG

Seorang bekas keldai dadah, Zoila Lecarnaque Saavedra, 60, menceritakan tentang nasibnya apabila dia bersetuju untuk mengangkut bungkusan dadah dari Peru ke Hong Kong dan ia adalah keputusan yang menyebabkan dia dipenjarakan lebih lapan tahun.

Pada bulan lalu, wanita itu kemudian diusir dari Hong Kong selepas dibebaskan berkata, dia didatangi oleh seorang wanita dengan menawarkan tawaran kepadanya iaitu terbang ke Hong Kong untuk mengambil barang elektronik bebas cukai dan ia boleh dijual untuk mendapatkan keuntungan dan dibayar sebanyak AS$2,000 (RM8,905).

"Mereka menemui orang yang berada dalam keadaan ekonomi tidak menentu,” kata Saavedra kepada AFP dan berkata, dia ingin memberi amaran kepada orang lain kerana kemungkinan tergoda dengan perjanjian sedemikian.

Hong Kong menjadi tempat tumpuan keldai dadah beroperasi. - Foto AFP

Sebelum membuat tawaran untuk menjadi keldai dadah, suaminya yang merupakan pencari nafkah utama keluarganya di ibu kota Peru, Lima telah meninggalkannya dan dia pula memerlukan wang untuk menjalani pembedahan mata.

Wanita berkenaan menjelaskan tentang bagaimana pihak berkuasa Hong Kong kemudian menemui dua jaket di dalam beg pakaiannya yang telah diisi dengan kondom dan mengandungi kira-kira 500 gram kokain dalam bentuk cecair.

KETUA NARKOTIK MASIH BEBAS

Dengan harapan untuk menerima hukuman yang lebih ringan, Saavedra membuat pengakuan bersalah walaupun dia menegaskan tidak tahu tentang kokain tetapi menjelaskan bahawa ketua narkotik tersebut masih bebas dan belum ditangkap.

Pada tahun 2015, seorang lagi wanita, yang hanya dikenali sebagai Caterina dan merupakan warga Venezuela dipenjarakan selama 25 tahun selepas gagal memujuk pihak juri bahawa dia sebenarnya dipaksa menjadi keldai dadah.

Caterina, 36, mendakwa telah diculik oleh satu kumpulan di Brazil selepas menjawab iklan pekerjaan yang palsu dan berkata, dia berulang kali dirogol dan keluarganya diugut sehingga dia bersetuju untuk terbang ke Hong Kong.

"Mereka melayan saya seperti sampah, saya takut mereka akan membunuh saya," katanya kepada AFP di sebuah penjara di Hong Kong yang meminta supaya nama sebenarnya tidak didedahkan dengan tujuan untuk melindungi keluarganya.

Mengandung sebelum dia diculik, Caterina melahirkan seorang bayi lelaki di penjara dan rayuannya untuk mengurangkan hukuman telah gagal.

TERJEJAS AKIBAT PANDEMIK

Bagaimanapun, selepas pandemik Covid-19 telah menjejaskan perjalanan udara, bilangan keldai dadah di seluruh dunia juga menjunam kerana pesawat-pesawat komersial tidak dibenarkan untuk mendarat di lapangan-lapangan terbang di dunia lebih daripada setahun.

Namun, apabila pandemik tersebut kembali reda, keldai dadah hampir pasti akan kembali menjalankan operasi mereka.

Ini bermakna lebih ramai wanita seperti warga Peru itu akan terpikat ke dalam perdagangan haram yang didorong oleh para penyeludup dan para pengguna yang tidak mengambil berat sama ada mereka akan berjaya melakukannya. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca