PUTRAJAYA - Nelayan asing kini semakin berani apabila mereka menggunakan taktik ala gerila untuk berhadapan dengan pihak berkuasa. Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - Nelayan asing kini semakin berani apabila mereka menggunakan taktik ala gerila untuk berhadapan dengan pihak berkuasa.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya pernah menumpaskan satu sindiket yang mempunyai kelengkapan alatan komunikasi di darat dengan menyewa sebuah rumah di kawasan kampung terpencil terletak di Pahang.

Mohd Zubil

Katanya, rumah yang dilengkapi alatan komunikasi itu akan menyalurkan maklumat kepada nelayan-nelayan asing yang mahu memasuki perairan negara, bertujuan untuk mencuri hasil laut dengan menyampaikan maklumat kehadiran agensi penguat kuasa.

"Maknanya, perkara ini sudah lama wujud. Sindiket akan menyalurkan maklumat di darat dengan menggunakan ‘spy’ atau tonto untuk pantau jeti-jeti pihak Maritim. Tonto ini menyamar pelbagai cara termasuklah bot nelayan tempatan yang menggaji kru nelayan asing.

"Tonto berkenaan mengetahui berapa jumlah kapal Maritim Malaysia yang ada, bila kapal keluar dan sebagainya.

"Apabila mereka lihat semua bot Maritim Malaysia ada di jeti, sindiket akan maklumkan keadaan selamat dan nelayan asing ini boleh menceroboh masuk,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Ibu Pejabat Maritim Putrajaya baru-baru ini.

Tambah Mohd Zubil, risikan pihaknya turut mendapati nelayan-nelayan asing beroperasi dalam tempoh yang panjang di perairan negara.

"Terdapat bot nelayan asing Vietnam khususnya, dikesan sentiasa berada di perairan kita dan tidak balik dalam tempoh panjang sekitar satu hingga dua bulan.

"Itu bermaksud, siapa bekalkan minyak, air dan makanan kepada mereka? Mustahil tong ikan tidak penuh?

"Hal ini terbongkar apabila kita tinjau menggunakan pesawat dan melihat terdapat kapal induk asing yang berhimpit sesama mereka dengan membekalkan air, makanan dan ambil hasil tangkapan ikan," kata beliau.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan penglibatan nelayan tempatan yang bersekongkol dengan sindiket nelayan asing bagi mendapatkan habuan mudah.

Jelas Mohd Zubil, Maritim Malaysia sebelum ini juga pernah menahan dan menangkap kapal induk asing, seterusnya didakwa tetapi hanya melalui peruntukan undang-undang sedia ada di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 ekoran kekangan perundangan.

"Kita juga percaya ada bot nelayan tempatan terlibat dalam penjualan minyak bersubsidi kepada nelayan asing.

"Kita percaya minyak yang diambil adalah minyak murah dan sindiket nelayan asing ini bersekongkol dengan segelintir nelayan tempatan,” dedah beliau.

Bungkusan plastik mengandungi minyak diesel yang digunakan untuk menyukarkan operasi tangkapan.

Sementara itu, Mohd Zubil berkata, berdasarkan pemeriksaan dilakukan anggota Maritim Malaysia, nelayan asing turut menggunakan nombor bot nelayan tempatan sama ada dari Terengganu, Kelantan atau Pahang.

"Ia ibarat klon kerana nombor itu wujud. Mereka gunakan pendaftaran palsu, dengan nombor asalnya adalah wujud.

"Selain itu, ada juga bot yang didaftarkan sebagai bot kargo, namun memiliki peralatan menangkap ikan.

"Kita percaya nelayan-nelayan asing ini datang secara terus dari negara asal mereka dan ‘main’ di perairan sempadan negara.

"Mereka menyasarkan kawasan seperti pelantar minyak kerana menganggap di situ mempunyai jumlah ikan yang banyak.

"Ia adalah tempat bagi ikan membiak,” katanya.

Agresif

Mohd Zubil berkata, sejak kebelakangan ini tidak dinafikan nelayan asing semakin berani dan mula bertindak agresif bagi memastikan mereka tidak ditahan serta hasil tangkapan tidak dirampas.

"Sekitar lima hingga enam tahun lalu, bila ditahan adalah mudah kerana mereka tidak melawan tetapi baru-baru ini mereka sudah mula agresif dan cuba menghalang daripada ditahan.

"Mereka akan cuba memecut laju bot, akan buat pergerakan zig-zag dan ada kes di Kelantan, nelayan asing menyimbah minyak di dek bot mereka untuk membuatkan anggota operasi jatuh ketika turun ke bot mereka atau memberi halangan kepada pasukan menggeledah semasa menaiki bot tersebut.

"Terdapat juga kejadian nelayan asing enggan memberi kerjasama apabila diminta berhenti untuk diperiksa dan mereka memotong tali pukat serta membuang jaring ke laut dengan tujuan jaring pukat tersangkut pada kipas kapal.

"Ada juga nelayan asing baling ‘molotov cocktail’ dan besi. Tindakan ganas mereka mengakibatkan operasi tangkapan mengambil masa hingga lebih 40 minit,” katanya.

Kerosakan pada bot Maritim Malaysia akibat dibaling 'molotov cocktail' ketika operasi menahan bot nelayan asing.

Tambah beliau, pasukan operasi juga pernah merampas selaras senjata api rifle semasa penahanan sebuah bot nelayan asing di Kelantan.

"Berhadapan ancaman agresif nelayan asing seperti ini, sekiranya mereka berkeras hingga mencederakan anggota penguat kuasa dan merosakkan aset kapal kerajaan, kita tidak teragak-agak untuk lebih serius dengan menggunakan garis panduan tindakan peraturan kekerasan (The Rule Of Use Of Force) seperti melepaskan tembakan amaran ke udara mahu pun ke bot mereka untuk memastikan mereka berhenti dan memberi kerjasama,” ujar beliau.

Katanya lagi, antara hasil laut yang dijumpai dan dirampas daripada bot nelayan asing adalah sotong yang telah dikeringkan semasa di laut. Selain itu, ikan tuna dan gamat turut menjadi sasaran kerana permintaan serta nilai tinggi termasuk pelbagai jenis ikan yang dijumpai di dalam simpanan bot.

"Hasil laut yang ditangkap oleh nelayan asing tersebut dipercayai dihantar ke negara asal mereka dan berkemungkinan juga turut dieksport semula ke Malaysia,” katanya.

Majoriti nelayan Vietnam

Menurut Mohd Zubil, sejak tahun 2006, pihak maritim berjaya menahan 1,600 bot nelayan asing yang menceroboh dan menangkap ikan dalam kawasan perairan negara.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,057 bot atau 66 peratus adalah bot nelayan asing dari Vietnam, jumlah tertinggi yang direkodkan berbanding nelayan asing dari negara lain seperti Thailand dan Indonesia,” ujarnya.

Tegas Mohd Zubil, sejak tahun 2020 hingga Jun lalu, pihaknya telah melupuskan sebanyak 72 bot nelayan asing dan tempatan sebagai tukun tiruan di perairan Pahang, Terengganu, Kelantan serta Sarawak.

Nelayan Vietnam (warna merah) aktif mencuri hasil laut di perairan pantai timur Semenanjung.

Jelasnya, bot-bot hasil sitaan atas pelbagai kesalahan itu ditenggelamkan bertujuan bagi membantu komuniti nelayan menjana pendapatan, selain meningkatkan biodiversiti marin.

"Penenggelaman bot berkenaan sebagai tukun tiruan akan menggalakkan pembiakan hidupan laut dan pelancongan maritim,” kata beliau.

Ujarnya, nelayan asing menjadi ‘duri dalam daging’ dan sepatutnya apabila tangkapan bertambah, ia semakin berkurangan, namun sebaliknya berlaku.

"Industri perikanan ini mendatangkan hasil besar. Apabila kita tanya kepada pihak berkuasa Vietnam khususnya, mereka beri alasan nelayan mereka tidak tahu sempadan.

"Persoalannya, kita mampu atau tidak untuk menempatkan kapal kita (Maritim Malaysia) di persempadanan perairan di antara negara jiran. Kalau tidak mampu, ia akan menimbulkan masalah kerana bila kita balik untuk melakukan ulang bekal atau menyerah tangkapan ke darat, mereka akan masuk semula.

"Aset Maritim Malaysia perlu sentiasa berada di laut. Kita perlu duduk di persempadanan dan bila nelayan asing lihat kita, mereka tidak berani menceroboh,” katanya.

Kekangan

Namun, tambah Mohd Zubil lagi, pihaknya ketika ini sudah tentu berdepan kekangan bagi melaksanakan penguatkuasaan di laut termasuk pencerobohan bot nelayan asing.

"Jika orang kata kita tidak berupaya kekang nelayan asing, saya boleh kata-kan ya tidak berupaya dari segi kemampuan aset tidak mencukupi untuk terus melaksanakan operasi dengan kekangan yang ada bagi menjaga perairan di pantai timur melibatkan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, pihaknya sama sekali tidak berputus asa dan meredakan operasi dalam hal menangani bot nelayan asing.

Tegas Mohd Zubil, Malaysia perlu segera menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan negara-negara berkenaan bagi mengawal isu pencerobohan nelayan asing.

"Selain memajukan nota bantahan diplomatik kepada Wisma Putra melalui Kementerian Dalam Negeri, kita tidak boleh mengharapkan penguatkuasaan semata-mata dan perlu memikirkan kaedah lain yang lebih berkesan.

"Kita juga sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia untuk menambah baik peraturan-peraturan perikanan dan membaiki kelompangan undang-undang sedia ada.

"Maritim Malaysia berharap komuniti dan masyarakat bekerjasama sebagai ‘mata serta telinga’ agensi dalam menyalurkan maklumat kepada Maritim Malaysia.

"Menjadi tanggungjawab bersama untuk kita menjaga nyawa, keselamatan dan kedaulatan perairan negara,” kata beliau.

Tegasnya lagi, Maritim Malaysia akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Klik di sini untuk terus membaca