SHAH ALAM - Kenyataan dibuat Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai kerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dibuat secara menyeluruh di seluruh negara adalah kehendak Pas. Menurut Ahli Jawatankuasa Pas... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kenyataan dibuat Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai kerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu dibuat secara menyeluruh di seluruh negara adalah kehendak Pas.

Menurut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, partinya mahu ketiga-tiga parti terbesar Melayu bergabung dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kenyataan Tuan Ibrahim itu memang kita kehendaki begitu. Maknanya, kita bukan sahaja nak bergabung dengan UMNO tetapi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Begitu juga kalau nak menang. Kena ketiga-tiga parti itu bersatu di seluruh negara, bukan di negeri tertentu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Tuan Ibrahim sebelum ini dilapor berkata bahawa kerjasama antara Pas dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU15 perlu dibuat secara menyeluruh di seluruh negara.

Kata Tuan Ibrahim, kerjasama itu perlu dibuat dalam kerangka menyeluruh dan bukan di negeri tertentu sahaja.

Dalam pada itu, Mahfodz turut memaklumkan hubungan Pas dengan UMNO belum putus.

"Tetapi dari segi realitinya UMNO yang sudah tidak mahu dengan Pas. Memang betul kalau ikut dasar, bila kita nak bergabung dengan tiga parti Melayu terbesar, UMNO, Pas dan Bersatu sebaiknya tiga parti (ini) bersatu.

"Tidak boleh umpamanya UMNO nak dengan Pas tapi tak nak Bersatu. Begitulah juga Bersatu nak dengan Pas tapi tak nak berbaik dengan UMNO,” jelas beliau.

Menurut Mahfodz, negeri yang mahu bekerjasama dengan UMNO itu adalah seperti di Selangor tetapi beliau tidak mengetahui akan ada kerjasama yang muktamad mengenai perkara terbabit.

Ahmad Fadhli

"Pas perlu kepada UMNO, UMNO juga perlu kepada Pas di Selangor. Tetapi secara muktamadnya saya tidak tahu lagi,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari turut menyatakan bahawa kenyataan dibuat Tuan Ibrahim mengenai kerjasama pada PRU15 perlu dibuat secara menyeluruh itu merupakan pendirian parti.

"Saya tidak ada komen, itu merupakan pendirian parti,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas.

Menurut Ahmad Fadhli, sama ada mesej disampaikan itu jelas atau tidak, bergantung kepada pihak terbabit atau UMNO yang mendengarnya.

"Jelas atau tidak jelas, itu bergantung kepada orang yang mendengar mesej itu.

"Kalau dia masih lagi tak merasa jelas, nak buat macam mana,” tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca