1 MUHARRAM 1444 Hijrah, bersamaan Sabtu 30 Julai 2022 berlangsung Hari Peradaban Bangsa Melayu di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Ia adalah sebuah majlis yang amat signifikan kerana mengetengahkan peradaban Melayu kepada khalayak khususnya... Klik di sini untuk terus membaca

1 MUHARRAM 1444 Hijrah, bersamaan Sabtu 30 Julai 2022 berlangsung Hari Peradaban Bangsa Melayu di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Ia adalah sebuah majlis yang amat signifikan kerana mengetengahkan peradaban Melayu kepada khalayak khususnya kepada orang Melayu sendiri.

Melayu kental kerana agamanya. Melayu bersemangat kerana bangsanya. Hal-hal agama memang sentiasa ditiup ke jiwa mereka melalui pelbagai pendekatan.

Mereka bersolat, menghadiri majlis, malah sentiasa menjaga batas kehidupan dalam berpakaian dan juga pemakanan mereka dalam kehidupan seharian.

Sebaliknya, sebagai Melayu, kehidupan mereka sudah bercampur baur dengan pelbagai budaya lain. Mereka bercakap menggunakan bahasa yang bercampur-campur, hanya berbaju Melayu pada hari raya, makanan kegemaran mereka tidak semestinya masakan Melayu meskipun halal.

Dan, jarang-jarang sekali diperingatkan bahawa mereka adalah Melayu yang pernah menjadi bangsa agung di Nusantara. Apakah dalam sehari telinganya ada terdengar perkataan ‘Melayu’ itu sendiri? Dalam seminggu pun, belum tentu perkataan itu melintas di skrin telefon mereka.

Akibatnya, perkataan ‘Melayu’ semakin asing daripada perbendaharaan kata mereka. Inilah yang menjadikan terdapat dalam kalangan orang Melayu yang malu mengaku Melayu, tidak yakin mempertahankan hak, malah turut bertepuk tangan bila orang lain mempersendakan bangsanya melalui persembahan pentas seperti yang terjadi baru-baru ini.

Difahamkan, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) sebagai pertubuhan penganjur memfokuskan temasya itu kepada kebudayaan dan kesenian. Molek sangat seandainya kebudayaan dan kesenian dipersembahkan bukan sekadar budaya visual semata-mata untuk tontonan para pelancong.

Sebaliknya, program itu harus disasar untuk orang Melayu sendiri. Inti acara yang dipertontonkan harus terhunjam jauh ke dasar hati orang Melayu agar temasya itu menjadi sesuatu yang akan diingati dan dinanti-nantikan.

Untuk itu, kebudayaan dan kesenian yang dipersembahkan bukan semata-mata seni pembuatan pakaian, kraf, persenjataan dan juga seni silat. Tetapi yang boleh menjadi makna mendalam buat orang Melayu ialah memperkenalkan semula seni pembuatan senjata, seni bina termasuk pembinaan kapal.

Orang Melayu yang ada, yang mahir dalam pembuatan senjata seperti keris, lembing, badik dan sebagainya harus mempamerkan kemahiran seni dan juga teknologi pembuatan.

Bagaimana pula seni bina warisan rumah Melayu yang pelbagai jenis boleh didirikan hingga tahan berpuluh tahun lamanya? Ada ramai orang Melayu yang mahir. Kemahiran mereka harus diketengahkan. Ilmu mereka wajib diwarisi.

Begitu juga seandainya dapat dikumpulkan mereka yang pandai membina kapal, mereka yang berkemahiran itu boleh dipanggil menunjukkan kemahiran mereka. Adakan bengkel mempelajari seni pembuatan kapal dengan matlamat untuk membina kembali sebuah kapal Mendam Berahi, tetapi yang hybrid menggunakan layar dan juga enjin.

Adalah molek sekiranya pihak pemerintah mahu menjadikan Hari Peradaban Bangsa Melayu sebagai salah sebuah program di dalam kalendar pelancongannya. Namun, jika ia tidak kesampaian, Pembela sendiri harus kekal mengendalikan program ini ‘dengan atau tanpa bantuan kerajaan’ kerana bangsa Melayu sendiri harus membela bangsanya.

Apabila ia dirancang dengan tersusun, dipikul oleh lebih banyak pihak dan dihebah serta dihebohkan secara meluas seantero negara, Hari Peradaban Bangsa Melayu boleh menjadi satu-satunya program besar yang dianjurkan di setiap negeri, malah ke setiap daerah hingga menjadi seolah-olah Hari Raya Melayu.

Jangan risau tentang sambutan. Orang Melayu akan menyahutnya. Perhimpunan membantah ICERD pada tahun 2018 telah membuktikan bahawa orang Melayu hanya menanti semboyan untuk bangkit.

DNA Melayu memang tertanam di dasar hati mereka. Seru sahaja.

*Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian.

Klik di sini untuk terus membaca