KETUA Al-Qaeda, Ayman Al Zawahiri terkorban menerusi dua misil yang dilepaskan dari sebuah dron ke rumah yang menjadi tempat tinggalnya di Kabul, Afghanistan pada Ahad lalu tetapi tidak ada letupan didengari dan tiada orang lain cedera... Klik di sini untuk terus membaca

KETUA Al-Qaeda, Ayman Al Zawahiri terkorban menerusi dua misil yang dilepaskan dari sebuah dron ke rumah yang menjadi tempat tinggalnya di Kabul, Afghanistan pada Ahad lalu tetapi tidak ada letupan didengari dan tiada orang lain cedera dalam serangan tersebut.

Serangan tanpa letupan tersebut menyebabkan akhbar-akhbar AS melaporkan serangan itu dipercayai menggunakan dua misil Hellfire R9X yang mengerikan oleh Amerika Syarikat (AS) yang tidak mempunyai kepala peledak dan dipercayai dilengkapi dengan enam bilah mata pisau seperti pisau cukur.

Tidak pernah diakui secara terbuka oleh Jabatan Pertahanan AS (Pentagon) atau Agensi Perisikan Pusat (CIA) iaitu dua agensi pertahanan AS yang diketahui melakukan pembunuhan yang disasarkan terhadap para pemimpin yang menentang negara 'Uncle Sam' itu.

Namun, misil Hellfire R9X pertama kali digunakan pada Mac 2017 apabila seorang pemimpin kanan Al-Qaeda, Abu al-Khayr Al Masri terkorban oleh serangan dron semasa dia dalam perjalanan dengan menggunakan kereta di Syria.

Misil Hellfire R9X boleh dilancarkan dari dron. - Foto US AIR FORCE

Gambar kenderaan yang dinaiki Al Masri itu menunjukkan lubang besar melalui bumbung dengan logam kereta dan semua bahagian dalam termasuk penghuninya dicincang secara fizikal tetapi bahagian depan serta belakang kereta itu kelihatan utuh sepenuhnya.

Butiran senjata misteri itu bocor dan ia digelar sebagai ginsu terbang iaitu nama yang diambil sempena pisau dapur Jepun selepas satu iklan televisyen dari negara berkenaan terkenal pada tahun 1980-an kerana menunjukkan ia memotong melalui tin aluminium dan kekal tajam dengan sempurna.

Misil itu juga dikenali sebagai bom ninja dan digunakan untuk membunuh pemimpin-pemimpin anti-AS tanpa melibatkan korban dalam kalangan orang awam.

Pada pagi 31 Julai lalu, Al Zawahiri dilaporkan berdiri sendirian di balkoni kediaman yang menjadi tempat tinggalnya di Kabul pada jam lebih 6 pagi waktu tempatan apabila dron AS melancarkan dua misil tersebut dengan anggota keluarganya turut berada di rumah itu tetapi tidak menjadi sasaran dan tidak dicederakan.

Ia mula dicipta semasa zaman pemerintahan Presiden AS, Barack Obama pada tahun 2011 di tengah-tengah kebimbangan mengenai jumlah orang awam yang terkorban dalam kempen serangan dron di Timur Tengah dan misil tersebut dibuat oleh firma Lockheed Martin serta Northrop Gumman.

Setakat ini tidak jelas berapa banyak misil R9X yang Pentagon ada dalam simpanannya dan ia adalah serangan paling ketara AS terhadap Al-Qaeda sejak pembunuhan ketuanya, Osama Laden pada tahun 2011.

Pada Ogos 2021, misil Hellfire R9X dipercayai telah digunakan untuk membunuh dua militan Daesh di wilayah Nangarhar, Afghanistan dengan ia ditembak dari dron MQ-9 Reaper.

Serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, Kabul yang menyebabkan seramai 13 anggota perkhidmatan AS terbunuh.

Misi untuk membunuh Al Zawahiri yang berusia 71 tahun dan dilahirkan di Mesir selain pernah menjadi doktor bedah itu mengambil masa enam bulan untuk dirancang tetapi diselaraskan dengan teliti untuk menjejaknya setelah beliau berjaya mengelak daripada dikesan tentera AS, kata seorang pegawai negara 'Uncle Sam' tersebut.

Isteri, anak perempuan dan cucunya yang tinggal bersamanya di kediaman berkenaan tetapi tidak dicederakan, kata pegawai AS manakala rumah yang disasarkan dalam serangan tersebut dimiliki oleh seorang pembantu utama kepada Sirajuddin Haqqani iaitu Menteri Dalam Negeri Taliban yang rapat dengan pegawai kanan Al Qaeda dan dikehendaki oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk disoal siasat.

Al Zawahiri berada dalam senarai orang yang paling dikehendaki FBI dan terdapat ganjaran sebanyak AS$25 juta (RM111.35 juta) untuk maklumat yang boleh membawa penangkapannya.

Beliau dilahirkan dalam keluarga yang selesa di Kaherah pada tahun 1951 dan Al Zawahiri mula-mula muncul dalam radar pihak berkuasa pada tahun 1990-an.

Pemerintah Bersama Operasi Khas Tentera AS telah mengesahkan bahawa misil Hellfire R9X itu pernah digunakan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2019 dan 2020 berdasarkan leporan akhbar New York Times sebelum ini.

Kewujudan misil tersebut pertama kali dilaporkan oleh akhbar Wall Street Journal pada tahun 2019 apabila ia melaporkan Hellfire R9X telah digunakan dalam serangan terhadap sasaran di Afghanistan, Libya, Iraq, Yemen dan Somalia.

Pembunuhan itu berlaku lebih 11 tahun selepas Osama dibunuh di Pakistan oleh pasukan khas AS pada 2 Mei 2011 dalam serangan tanpa dron yang berlaku selepas beliau diburu selama hampir sedekad oleh Washington.. – Agensi

Klik di sini untuk terus membaca