PENDAPATAN beratus, malah beribu ringgit sejam pun apa maknanya kalau terpaksa bekerja? Terpaksa perah otak, tengok itu tengok ini, melayan karenah bermacam orang, fikir tentang pekerja, bermesyuarat, jawab panggilan dan serba macam lagi... Klik di sini untuk terus membaca

PENDAPATAN beratus, malah beribu ringgit sejam pun apa maknanya kalau terpaksa bekerja? Terpaksa perah otak, tengok itu tengok ini, melayan karenah bermacam orang, fikir tentang pekerja, bermesyuarat, jawab panggilan dan serba macam lagi sehingga makan minum tidak menentu.

Isteri lama-lama sekali jumpa, manakala anak-anak pula setakat cam suara tapi tak cam rupa.

Itu bukan hidup yang ideal. Hidup yang ideal adalah hidup tanpa perlu bekerja, goyang kaki sahaja, bersenang-senang, tetapi pada masa yang sama wang mencurah-curah masuk ke akaun. Gunalah sebanyak mana pun wang itu, ia tidak akan habis sebaliknya akan terus bertambah dan bertambah.

Mengimpikan kehidupan begitu bukanlah perkara baharu. Ia wujud lama sebelum muncul hikayat Aladdin dan lampu ajaibnya.

Sejak zaman dahulu telah ada kisah bomoh-bomoh yang kononnya boleh menggandakan harta dan wang ringgit.

Cerita tentang kejayaannya saya tidak pasti tetapi cerita tentang bomoh hilang ghaib berserta harta yang hendak digandakan memang pernah saya dengar.

Kira-kira 100 tahun dahulu, Amerika Utara digemparkan dengan satu skim pelaburan yang diperkenalkan seorang lelaki asal Itali bernama Charles Ponzi.

Skim itu menawarkan keuntungan 50 peratus kepada pelabur dalam tempoh 45 hari atau 100 peratus dalam tempoh 90 hari.

Maka menitik-nitiklah air liur puak yang hendak cepat kaya tanpa perlu berbuat apa-apa. Masing-masing berlumba melabur, kemudian membilang hari untuk menanti waktu menuai hasilnya.

Kerana skim itu tidak disokong oleh apa-apa perniagaan, sebaliknya keuntungan dibayar kepada pelabur awal dengan menggunakan wang pelabur baharu, akhirnya dalam masa setahun ia ranap dengan melibatkan kerugian $20 juta (kira-kira $296 juta mengikut nilai masa kini).

Taiping pada tahun 1980-an pernah mendapat jolokan ‘bandar pelaburan’ apabila ia menjadi tumpuan pelabur-pelabur skim cepat kaya Pak Man Telo.

Saya masih budak-budak ketika itu, tetapi saya dapat mendengar di mana-mana orang bercakap tentang skim tersebut. Pulangannya luar biasa, 10 hingga 12 peratus sebulan. George Soros pun tak mampu bagi.

Mengikut ceritanya, arwah Pak Man Telo memulakan skim itu sejak awal 1970-an dan dia tidak pernah gagal membayar pulangan yang dijanjikan. Ini menyebabkan ramai orang lebih tertarik untuk melabur dan jumlah pelaburan menjadi semakin banyak. Bukan setakat mengorek simpanan, ada yang sanggup bergolok gadai bagi mendapatkan modal pelaburan.

Waktu itu khabarnya ramai betul orang senang. Tidak perlu buat apa-apa. Duduk kedai kopi sambil mengira duit masuk. Anak merengek, bawa ke kedai motor. Isteri merungut, bawa ke kedai emas.

Tetapi seperti skim Ponzi, skim Pak Man Telo akhirnya lingkup. Lebih 50,000 orang pelabur dilaporkan lebur. Riuh rendah negara ketika itu. Yang bercerai-berai, yang jual BMW beli BMX, yang ‘skru longgar’, yang ‘wayar putus’ semuanya menjadi bahan cerita di mana-mana.

Serik? Tidak. Skim Ponzi dan Pak Man Telo hanyalah secebis daripada jutaan kisah lain seumpamanya yang berlaku di seluruh dunia. Ia tidak memilih bangsa dan masa.

Sejak dahulu kes-kes begitu tidak pernah berkurangan sedikit pun. Malah kini dalam dunia baharu yang canggih-manggih ini, skim seperti itu menjadi berkali ganda lebih banyak dengan bentuk, wajah, nama dan pendekatan yang amat pelbagai. Ia berada di mana-mana dan bersedia menjerat sesiapa sahaja pada bila-bila masa.

Mereka tidak memilih mangsa. Sama ada anda si lurus bendul yang percaya pelaburan RM100 boleh memberi pulangan RM1,000 dalam masa sejam dua, atau si bijak pandai yang yakin kekasih siber anda benar-benar anak Jeff Bezos, peluang untuk anda termasuk jerat sama sahaja selagi anda berpegang pada dua perkara iaitu haloba dan nak senang dengan cara senang.

Selayaknya pun orang macam anda dijerut oleh jerat itu. Hidup pun tak menguntungkan bangsa. #dush!

*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausha Politik. Mulai tahun 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.

Klik di sini untuk terus membaca