SHAH ALAM - UMNO yakin dengan sokongan kembali orang Melayu terhadap parti itu akan memberikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meskipun tanpa kerjasama Muafakat Nasional (MN). Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - UMNO yakin dengan sokongan kembali orang Melayu terhadap parti itu akan memberikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meskipun tanpa kerjasama Muafakat Nasional (MN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, walaupun MN masih belum ada kata putus, UMNO berhasrat untuk bergerak solo seperti mana ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini.

"Kita menang besar di Melaka dan Johor, namun untuk negeri-negeri yang dikuasai Pas dan sebagainya, kita akan bawa ke perbincangan peringkat atasan.

"Tetapi, insya-ALLAH dengan sokongan orang Melayu kembali kepada BN, kita boleh menang lebih banyak lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, Pas menolak kerjasama dengan UMNO di peringkat negeri bagi menghadapi PRU15 jika MN tidak dilaksanakan di peringkat nasional.

Sementara itu, Ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah pula berkata, UMNO tegas menyatakan parti itu akan bergerak solo dalam PRU15 memandangkan Pas masih lagi konsisten dalam mengukuhkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

"Kita telah berkali-kali menyatakan perlu mengukuhkan MN, tetapi Pas lebih ke arah PN, sebagai sebuah parti politik, kita perlu meletakkan ketetapan yang tegas apa yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut mempersoalkan kejujuran Pas dalam meneruskan kerjasama dalam MN.

"MN diwujudkan dengan persetujuan untuk menjalinkan kerjasama antara UMNO dan Pas, tetapi tiba-tiba sahaja Pas bekerjasama dalam PN, tanpa berbincang dengan UMNO, malah dilihat lebih konsisten bersama PN. Tetapi hari ini mereka menyuarakan MN perlu diteruskan. Sebenarnya Pas ini jujur atau tidak dalam MN?” soalnya.

Klik di sini untuk terus membaca