SHAH ALAM - Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberikan bayangan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal menjadi calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Anwar adalah orang paling layak untuk menjadi Perdana Menteri sekali gus membetulkan pelbagai masalah yang berlaku di negara ini.
"Saya menjawab dengan terang, yakin dan fasih. Pada saya, kalau nak cari calon terbaik pada ketika ini dalam keadaan yang berlaku di negara ini.
"Saya fikir dengan pengalamannya, pengorbanan dan jaringan antarabangsa, saya fikir beliau (Anwar) adalah calon terbaik untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PH," katanya dalam Program Bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menegaskan beliau sudah tidak memikirkan lagi mengenai kekalahan kepada Rafizi Ramli dalam persaingan merebut jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti baru-baru ini.
Menurut Saifuddin, beliau turut berbangga dapat menarik Rafizi keluar daripada percutian untuk kembali bersama parti itu.
"Perlembagaan PKR membenarkan pemilihan kerana kami parti demokrasi. Kemudian parti buat pemilihan untuk jawatan timbalan boleh pilih seorang sahaja iaitu antara saya dan Rafizi yang saya anggap sebagai adik.
"Selepas pemilihan tersebut, Rafizi diumumkan pemenang. Apa pun perasaan orang di luar, ia satu bab lain.
"Saya diletakkan semula sebagai setiausaha agung dan kami sudah pun bergerak turun ke bawah menggerakkan program. Ia bukan satu isu lagi. Ini uniknya PKR," katanya.
Beliau berkata, pelbagai isu yang sebelum ini membelenggu PKR sudah berakhir dengan pemilihan tersebut dan parti itu bergerak untuk kembali berada di hati rakyat.
"Kekuatan PKR adalah kekuatan berpasukan. Ia bukan sebab Saifuddin semata-mata. Apa yang paling penting adalah parti bergerak ke hadapan," katanya.