SHAH ALAM - Projek Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) yang dianggarkan menelan belanja RM50.2 bilion secara keseluruhan bakal menjadi projek rel paling mahal dalam sejarah Malaysia setakat ini jika diukur berdasarkan perbelanjaan bagi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Projek Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3) yang dianggarkan menelan belanja RM50.2 bilion secara keseluruhan bakal menjadi projek rel paling mahal dalam sejarah Malaysia setakat ini jika diukur berdasarkan perbelanjaan bagi setiap kilometer (km).

Projek MRT3 adalah sepanjang 50.1km dan akan menghubungkan laluan MRT1 dan MRT2 di sekitar Lembah Klang.

Sebagai perbandingan, Laluan Rel Pantai Timur sepanjang 665km dianggarkan menelan belanja RM50 bilion, manakala projek MRT1 sepanjang 47km menelan belanja sekitar RM22 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kos pembinaan projek pengangkutan awam itu sahaja dianggarkan telah mencecah RM34.3 bilion.

"Daripada jumlah keseluruhan, RM8.4 bilion membabitkan kos pengambilan tanah, manakala RM5.6 bilion lagi adalah untuk pengurusan projek.

"Manakala sebanyak RM1.9 bilion lagi perbelanjaan adalah bagi lain-lain kos,” jelasnya pada sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang ingin tahu mengenai jumlah kos pembinaan MRT3 dengan pecahan terperinci jumlah terbabit dan sama ada kerajaan akan mendapatkan persetujuan Parlimen bagi pelaksanaan MRT3.

Tambahnya, kerajaan pada 4 Mac bersetuju dengan pelaksanaan Projek MRT3 yang akan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang dengan menyediakan perkhidmatan bersepadu, mampu milik dan cekap untuk keselesaan dan kemudahan rakyat.

FAHMI FADZIL

Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR turut bertanya sama ada kebenaran parlimen akan diminta atau sebaliknya untuk projek itu tetapi soalan kedua tidak dijawab Tengku Zafrul.

MRT3 direka semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri tetapi tender hanya dibuat ketika zaman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Projek itu sebelum ini digantung oleh kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum.

Pelan awal MRT3 merangkumi 30 stesen, di mana 10 daripadanya ialah stesen pertukaran MRT, transit aliran ringan (LRT) dan laluan KTM Komuter.

Satu perlima daripada laluan MRT3 akan berada di bawah tanah dan projek itu dijangka siap pada 2030.

Fahmi ketika dihubungi Sinar Premium menjelaskan, penting untuk ahli Dewan Rakyat mengetahui kewajaran peruntukan yang cukup besar iaitu sebanyak RM50.2 bilion untuk projek MRT3.

ZAFRUL

"Bagi saya penting mendapatkan penjelasan isu kos ini atas dasar yang akan membayarnya adalah rakyat. Adakah wajar jumlah yang begitu besar dibelanjakan? Rasional itu mesti dibentang ke Parlimen.

"Kalau kita lihat, majoriti daripada kos itu melibatkan pembinaan struktur fizikal. Jika ini isunya, kita nak tahu kenapa harga begitu tinggi. Apakah penjimatan-penjimatan yang boleh dilakukan?

"Perkara yang sangat penting dan tidak boleh dibiarkan dilaksanakan begitu sahaja tanpa semak imbang Parlimen,” katanya pada Rabu.

Fahmi juga mengingatkan Tengku Zafrul tentang keengganan beliau menjawab soalan kedua yang diajukan.

"Bila tidak dijawab, dia sebenarnya mengelirukan Dewan Rakyat. Saya ingin mengingatkan Tengku Zafrul tentang Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan jemaah menteri bertanggungjawab penuh kepada Parlimen.

"Keengganan beliau menjawab soalan tentang sama ada Parlimen akan dirujuk, bagi saya ia satu penghinaan kepada Parlimen. Beliau wajib jawab. Jadilah Menteri Kewangan yang berterus terang,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca