SHAH ALAM - Penganalisis politik tidak menolak kemungkinan tiada parti yang akan mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan jika berlaku pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penganalisis politik tidak menolak kemungkinan tiada parti yang akan mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan jika berlaku pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, walaupun BN berkelebihan, namun masalah dalaman yang tidak berkesudahan dan pecahan undi Melayu boleh memberikan kesan terhadap keputusan pengundian.

Pada masa sama, PH dilihat semakin agresif mendekati pengundi selain mempunyai jentera kuat dan mempunyai pengikut yang ramai.

"Kelebihan buat masa ini masih lagi pada BN namun ia bergantung kepada dinamik dalam parti itu sendiri.

Kalau masalah dalaman yang tidak berkesudahan, mungkin ada peluang untuk parti lain seperti PH atau PN.

"Realiti dinamik politik nasional sekarang agak berbeza berbanding dengan pilihan raya kecil atau di peringkat negeri.

Sekarang ini, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka semakin tidak relevan untuk menjadi petunjuk.

"Ia masih boleh menjadi petunjuk tapi tidak boleh sepenuhnya kerana senario politik ketika di Melaka dan Johor sudah lain berbanding di peringkat nasional sekarang.

Isu Covid-19 misalnya, walaupun masih ada kes tapi ia sudah menjadi norma baharu.

"Kalau ada pilihan raya, orang akan turun mengundi dan dengan kehadiran ramai pengundi baharu serta kempen pilihan raya yang semakin rancak, saya rasa akan menarik mereka juga untuk keluar mengundi,” katanya.

Jelasnya, walaupun undi Melayu masih bersama dengan BN, tetapi dengan masalah perpecahan, pengundi mempunyai pilihan lain seperti PN, Warisan dan Parti Pejuang Tanah Air.

"Sebab itu saya lihat ada kemungkinan tiada parti yang berjaya membentuk kerajaan dan memang sudah berlaku sebelum ini apabila ada pertembungan tiga penjuru.

"Semasa pertembungan di Kedah, berlaku DUN (Dewan Undangan Negeri) tergantung dan di negara lain juga ada berdepan keadaan sebegini sebagaimana di United Kingdom pada tahun 2011,” jelasnya.

Dalam pada itu, Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpandangan, pertandingan yang sebenar adalah melibatkan dua gergasi politik iaitu antara BN dan PH.

Ia memandangkan PN tidak begitu dominan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia masih lagi terlalu minimum untuk memberikan impak.

"Saya kira, PN kurang mampu memberikan saingan, cuma sekadar pengacau dan memecahkan undi Melayu yang khususnya sebelum ini dikuasai UMNO. Ia akan menjejaskan undi BN tapi tidak akan menjejaskan undi PH.

"Bila situasi ini berlaku, tidak mustahil jika tiada mana-mana parti akan mendapat majoriti.

Sebab itu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan mereka perlu buktikan kemenangan dahulu.

"Selepas adanya pertembungan dan pertandingan, maka selepas itu baru mereka berfikir untuk buat pakatan baharu atau jalinan baharu kerjasama.

Ia hanya akan ditentukan selepas PRU15,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca