KADAR kelahiran di Malaysia dijangka terus mengalami penurunan untuk tahun-tahun akan datang disumbangkan oleh pelbagai faktor.
Statistik Jabatan Perangkaan juga menunjukkan data signifikan dengan kadar kelahiran pada tahun 2010 yang berada pada tahap 17.2 menurun kepada paras 14.4 pada 2020.
Kadar kesuburan pula menunjukkan penurunan daripada kadar 5.0 anak pada tahun 1970 kepada kadar 1.7 anak pada 2020 untuk setiap isi rumah.
Beberapa punca dikaitkan dengan penurunan ini, antaranya kerana lambat berkahwin, kos sara hidup meningkat dan tahap urbanisasi yang tinggi.
Kadar kelahiran yang rendah menyebabkan ketidakseimbangan dalam masyarakat susulan kadar kematian
yang turut rendah, sekali gus menjadikan golongan warga emas lebih ramai di negara ini.
Ikuti laporan wartawan MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY mengupas isu berkenaan dan melihat jangkaan apa berlaku kepada negara sekiranya kadar kelahiran rendah ini tidak diatasi.
Pakar ekonomi tidak menolak kemungkinan peningkatan kos sara hidup selepas pandemik Covid-19 menyumbang kepada kemerosotan kadar kelahiran yang lebih teruk di negara ini.
Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pasangan lebih berhati-hati untuk menambah anak dengan situasi ketidaktentuan dalam pekerjaan atau pendapatan.
"Kalau sebelum ini terlalu mementingkan kerjaya sehingga lambat berkahwin menjadi trend mempengaruhi kadar kemerosotan kelahiran, tapi kini Covid-19 turut menjadi satu lagi sebab.
"Ramai yang kehilangan kerja atau terpaksa bekerja keras untuk mencari duit. Mereka hanya fokus mencari pendapatan dan berkira-kira untuk mempunyai atau menambah anak.
Dalam erti kata lain, mereka kurang yakin untuk membina keluarga kerana berada dalam keadaan ketidaktentuan,” katanya kepada Sinar Harian.
Ahmed Razman berkata, kerajaan tidak seharusnya memandang ringan isu kadar kelahiran di Malaysia yang terus menurun kerana akan mengundang pelbagai masalah besar pada masa akan datang.
Ujarnya, pakar ekonomi sebelum ini juga telah mengeluarkan panduan kadar kesuburan perlu berada pada tahap 2.1 bagi setiap isi rumah untuk memastikan tenaga kerja di negara ini tidak terkesan.
Selain itu, katanya, negara lain juga sudah mula bergerak menangani isu berkenaan dengan memberikan insentif kepada rakyat yang mempunyai anak.
"Kadar kesuburan ini sebenarnya telah menurun sejak tahun 1970 lagi.
Kalau dulu, seorang perempuan secara purata melahirkan anak pada kadar 4.9 iaitu lebih kurang lima orang anak. Tetapi, data pada 2020 menunjukkan negara hanya mencapai tahap 1.7.
"Kita tidak boleh tunggu sehingga 20 atau 30 tahun untuk berbuat sesuatu. Inisiatif dan langkah harus bermula sekarang bagaimana mahu menggalakkan pertumbuhan melebihi 2.1 kadar kesuburan setiap isi rumah,” katanya.
Kadar kesuburan adalah purata bilangan anak yang akan dilahirkan seseorang wanita sepanjang tempoh reproduktifnya iaitu 15 sehingga 49 tahun.
Tambah beliau, kadar kelahiran menurun akan menyebabkan Malaysia menuju negara menua dengan peratusan warga tua meningkat lebih banyak selain merisikokan tenaga kerja di negara ini.
"Kita sudah nampak apabila sesebuah negara itu semakin ramai warga tua, ia meningkatkan kos sosial kerajaan kerana perlu menyediakan kemudahan seperti bantuan kesihatan,” katanya.
Selain itu, katanya, ia juga akan menyebabkan negara terpaksa bergantung kepada pekerja asing selain beralih kepada teknologi.
"Kalau kita lihat sektor utama Malaysia sekarang ialah perkhidmatan dan tidak boleh diganti dengan teknologi. Ini sedikit sebanyak merencatkan pendapatan negara pada masa akan datang jika kemerosotan kadar kesuburan tidak diatasi,” ujarnya.
‘Jangan takut untuk mempunyai anak ramai’
Sementara itu, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak terlalu terikat atau takut untuk mempunyai anak yang ramai walaupun berlaku ketidaktentuan sumber kewangan dan peningkatan kos sara hidup.
Pakar Sosiologi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, walaupun setiap pasangan berhak merancang kehamilan, namun jangan sehingga tidak mahu melahirkan zuriat.
"Dalam Islam, rezeki anak-anak telah ditetapkan tanpa mengira senario atau keadaan semasa. Agama lain juga ada kepercayaan mereka masing-masing.
"Kita perlu merancang, berbelanja berhemah, namun jangan disebabkan perkara sedemikian kita terikat dengan tidak mahu melahirkan zuriat.
"Anak ini sangat penting dalam pelbagai perkara termasuk membantu kepada perkembangan dan kemajuan negara pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, dasar kerajaan juga banyak memberikan bantuan kepada rakyat, dalam masa sama memastikan tidak tercicir terutama dalam bidang pendidikan.
"Kerajaan juga prihatin dan sentiasa peka dengan keadaan rakyat. Walaupun kita mempunyai anak ramai, kebajikan tidak akan terjejas dalam konteks negara Malaysia pada hari ini.
"Contohnya, dari segi perkara asas seperti pendidikan untuk golongan B40, anak mereka sudah tentu dapat bersekolah rendah dan menengah percuma.
"Apabila masuk universiti, jika mereka tidak ada sumber kewangan, boleh memohon Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disediakan kerajaan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca