SHAH ALAM - Kadar kelahiran yang merosot di negara ini dilihat sudah mencapai tahap krisis dengan penurunan mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pengarah Perubatan Hospital UMRA, Datuk Dr Mohamed Rafi Mohammed Feizal berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kadar kelahiran yang merosot di negara ini dilihat sudah mencapai tahap krisis dengan penurunan mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengarah Perubatan Hospital UMRA, Datuk Dr Mohamed Rafi Mohammed Feizal berkata, kekurangan kadar kesuburan sehingga 1.7 adalah sesuatu yang tidak baik untuk negara.

Malah, beliau berkata, beberapa hospital juga mengesan penurunan jumlah wanita yang datang melahirkan anak sama ada di hospital kerajaan atau swasta.

"Di hospital saya mungkin tidak terkesan kerana data menunjukkan kadar kelahiran adalah statik untuk beberapa tahun lepas.

"Tapi, di hospital lain ada kesannya. Selepas saya selidik daripada kawan-kawan di hospital swasta dan hospital kerajaan, mereka akui ada penurunan orang datang bersalin,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Mohamed Rafi mengakui beberapa punca utama termasuk ekonomi pasangan yang menyebabkan mereka merancang kehamilan.

"Kalau dahulu, mungkin gaji RM1,000 sudah cukup untuk mempunyai anak sehingga tiga atau empat orang. Tapi sekarang, gaji RM1,000 tidak cukup, mungkin hanya seorang anak sahaja yang mampu.

"Ramai ibu bapa yang memikirkan kos terpaksa ditanggung sekiranya mempunyai anak ramai. Jadi, keperluan dan kehendak makin bertambah selain pakaian makanan sudah mahal. Sekolah juga memerlukan kos yang tinggi,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tahap kesuburan juga memainkan peranan selain ramai wanita memilih untuk berkahwin pada usia sudah meningkat.

Menurutnya, ini menyebabkan peratusan untuk memiliki anak yang lebih ramai terbantut, sekali gus menyumbang kepada masalah kadar kelahiran negara.

"Zaman dahulu, masyarakat ramai berkahwin pada usia 18 tahun, tetapi sekarang ramai yang berkahwin ketika usia mencecah 30 tahun dan ada 40 tahun. Apabila kahwin lambat, tidak sempat untuk mempunyai anak ramai.

"Sekarang ramai pasangan yang mempunyai satu atau dua anak sahaja terutama masyarakat Cina dan India,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang doktor di hospital awam yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Zaidi mengakui berlaku penurunan jumlah ibu yang bersalin di hospital.

Beliau berkata, walaupun penurunan itu tidak drastik, namun sangat membimbangkan sekiranya tiada langkah diambil untuk meningkatkan kembali kadar kelahiran.

"Saya tidak mempunyai data tepat mengenai jumlah tersebut, tetapi memang kita nampak sedikit penurunan graf. Mungkin ia dianggap remeh, tapi perlu diatasi dengan baik.

"Kita tidak mahu isu kadar kelahiran ini menyumbang kepada pelbagai masalah pada akan datang,” katanya.

Kadar kelahiran dijangka terus menurun

Sementara itu, kadar kelahiran di Malaysia dijangka terus menurun pada tahun-tahun akan datang, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mohd Uzir berkata, walaupun kadar penurunan itu tidak terlalu mendadak, namun ia menjadi kebimbangan sekiranya berterusan untuk tempoh panjang.

Beliau sehubungan itu berkata, negara perlu melakukan sesuatu untuk menanganinya bagi mengelakkan masalah pada masa akan datang, seperti Singapura dan China yang menyediakan insentif bagi menggalakkan kelahiran.

"Kita juga boleh tengok data negara Jepun dalam tempoh 10 hingga 20 tahun apabila kadar kelahiran jatuh menyebabkan aging populatian (penuaan penduduk) di Jepun mencecah 28 peratus.

"Di Malaysia pula, apabila kelahiran berkurangan, ia menimbulkan kebimbangan kerana akan menyebabkan pengurangan punca tenaga kerja kepada yang mahu bekerja nanti.

"Kita akan mengalami isu keperluan kepada tenaga. Dari situ memerlukan kita bergerak ke arah penggunaan robotik dan teknologi,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Uzir bagaimanapun berkata, meletakkan inflasi atau kos sara hidup sebagai punca kepada penurunan kadar kelahiran adalah tidak tepat.

"Statistik tidak signifikan untuk mengatakan seperti itu. Isunya, ramai yang kini tinggal di bandar kerana urbanisasi negara sudah menghampiri 77 peratus.

"Selain itu, trend sejagat menyaksikan seluruh negara bergerak ke dunia moden. Kita lihat dari segi umur perkahwinan secara keseluruhan sekitar 25 hingga 29 tahun. Kalau dahulu, ada yang sudah melahirkan anak pada usia 22 tahun.

"Ramai rakyat yang lebih mementingkan untuk mengejar pendidikan dan kerjaya terlebih dahulu sebelum berfikir untuk berkeluarga,” jelas beliau.

Berdasarkan laporan berkaitan Perangkaan Demografi bagi suku tahun kedua yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu, jumlah kelahiran hidup di negara ini mencatatkan penurunan sebanyak 4.4 peratus iaitu 111,573 kelahiran, berbanding tempoh sama tahun sebelumnya iaitu 116,688 kelahiran.

Berdasarkan data, jumlah kelahiran bayi perempuan melebihi bayi lelaki iaitu 55,881 berbanding 55,692 orang.

Klik di sini untuk terus membaca