PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sedang berhadapan cabaran yang getir untuk memastikan kesiapsagaan aset sentiasa berada di tahap tertinggi kerana 60 peratus kapal-kapalnya telah berusia 40 tahun. Ketua... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sedang berhadapan cabaran yang getir untuk memastikan kesiapsagaan aset sentiasa berada di tahap tertinggi kerana 60 peratus kapal-kapalnya telah berusia 40 tahun.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, berikutan dari faktor tersebut, ia mempengaruhi keupayaan untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di dalam Zon Maritim Malaysia terutamanya dalam usaha mengekang pencerobohan bot nelayan asing dengan lebih efisien.

"Maritim Malaysia berhadapan dengan kekangan dan jumlah aset yang terhad dan ada sebahagian aset itu tidak mampu berada di laut dalam tempoh lama.

"Kita memerlukan aset yang sesuai dan mampu bertahan lama di laut agar rondaan serta penguatkuasaan di persempadanan lebih efektif di mana ketika ini aset-aset sedia ada tidak sesuai ditugaskan di perairan yang jauh daripada darat,” katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat Maritim Malaysia di sini baru-baru ini.

Salah sebuah kapal kelas NGPC yang telah beroperasi di laut.

Mohd Zubil berkata, Maritim Malaysia mempunyai 70 kapal dan 193 bot. Ada sebahagian aset itu mengalami tempoh kerosakan yang agak lama ekoran alat ganti yang telah tiada di pasaran dan perlu ditempah secara khas.

"Terdapat juga kapal yang menjalani rutin penyelenggaraan dan baik pulih yang menjangkau sehingga setahun malah ada yang lebih berikutan terpaksa menanti alat ganti yang ditempah khas itu siap,” katanya.

Tambahnya, perkara itu juga mendatangkan implikasi kewangan yang sangat tinggi kepada kerajaan dan dilihat tidak lagi praktikal kerana faktor usia kebanyakan aset kapal telah mencapai 40 tahun.

"Kapal yang tidak diselenggarakan dengan baik atau tidak mengikut rutin penyelenggaraan yang ditetapkan bukan sahaja menyebabkan kerosakan lebih besar malah mengundang bahaya ke atas keselamatan anggota Maritim Malaysia,” katanya.

Mohd Zubil berkata, pihaknya baru-baru ini telah menerima 30 buah bot peronda baharu kelas Perkasa namun terdapat kekangan daripada segi perjawatan yang dilihat tidak selaras dengan penambahan aset berkenaan.

"Selain daripada penambahan aset, kita juga mohon kerajaan untuk menambah peruntukan keanggotaan kepada Maritim Malaysia supaya ianya seimbang serta mampu melaksanakan tugas yang diamanahkan,” ujarnya.

Mohd Zubil menjelaskan, Maritim Malaysia bersyukur kerana sejumlah peruntukan telah dihulurkan oleh kerajaan di bawah Rolling Plan 2 (RP2) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) tahun 2022 melalui Program Repowering ke atas kapal yang masih boleh dioperasikan.

"Dengan adanya program ini, jangka hayat sesebuah kapal dapat dipanjangkan sekurang-kurangnya 10 tahun lagi dan ini merupakan pelan jangka pendek dan sederhana sebelum kapal-kapal dilupus,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan meluluskan secara berfasa perolehan kapal dan bot baharu tetapi ianya tidak bermakna Maritim Malaysia memiliki pertambahan aset. Perolehan kapal atau bot baharu merupakan pelan penggantian jangka panjang ke atas aset sedia ada yang telah dimamah usia.

"Kerajaan telah menambah beberapa aset baharu misalnya perolehan enam buah kapal peronda generasi baharu (NGPC) di mana kesemua kapal-kapal ini telah pun beroperasi di laut.

"Sementara perolehan tiga buah Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) masih lagi dibina sebagai pelan penggantian bagi aset yang usang,” katanya.

Maritim Malaysia perlu tambah aset, tingkatkan keberkesanan operasi

Sementara itu, Penganalisis Pertahanan, Zaki Salleh berkata, Maritim Malaysia perlu memiliki aset yang setanding dan mampu melaksanakan rondaan untuk tempoh yang panjang bagi meningkatkan keberkesanan operasi maritim pada masa hadapan.

Katanya, kos pembelian aset seperti kapal walaupun besar tetapi bersifat jangka panjang.

Menurutnya, tindakan itu akan mengelakkan negara kehilangan sumber marin disebabkan eksploitasi nelayan asing.

"Ketika ini Maritim mengoperasikan 10 jenis kapal dengan jumlahnya dianggarkan sekitar 70 buah selain 190 bot pelbagai jenis.

"Sebahagian besar kapal ini adalah aset terpakai bekas kegunaan agensi penguatkuasaan lain dan dalam keadaan usang serta tidak kos efektif.

"Lebih 70 peratus aset-aset Maritim merupakan kapal peronda usang dan tidak relevan dengan operasi maritim semasa,” katanya.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan pendedahan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkenaan nelayan asing kini semakin berani apabila mereka menggunakan taktik ala gerila untuk berhadapan dengan pihak berkuasa.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Zaki

Dalam pada itu, Zaki berkata, kelewatan pembinaan tiga kapal peronda luar pesisir pantai (OPV) Maritim yang juga boleh bertindak sebagai kapal induk ketika ini telah memberi implikasi pada kemampuan pasukan tersebut.

Katanya, dengan adanya kapal induk, aset tersebut boleh diatur gerak ke kawasan strategik untuk dijadikan sebagai pangkalan hadapan atau seabasing bagi mempertahankan keselamatan perairan.

Bot kelas Perkasa menggantikan bot peronda yang lama dan telah dilupuskan (bot kelas Kilat).

"Kapal ronda boleh memperoleh bekalan daripada kapal induk tanpa perlu berlayar kembali ke pelabuhan atau pangkalan masing-masing.

"Untuk perancangan jangka masa panjang, kapal induk tersebut perlu mempunyai ciri-ciri melaksanakan pelbagai fungsi khasnya operasi sokongan logistik agar Maritim lebih mampu berdepan dengan cabaran yang kompleks,” jelasnya.

Ujar beliau, pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam bukan isu baharu, malah seiring perkembangan teknologi maritim, mereka juga beroperasi secara lebih tersusun, terancang dan bukan lagi sebagai sekumpulan nelayan tradisional.

Zaki berkata, memetik kajian National Institute for South China Sea Studies (NISCS) iaitu organisasi penyelidikan China yang berpangkalan di Hainan, para penganalisisnya mengkategorikan nelayan Vietnam sebagai angkatan laut atau militia yang terlatih dan dibentuk sebagai pasukan nelayan profesional.

"Ini kerana angkatan nelayan penting sebagai salah satu penyumbang pada hasil makanan negara berkenaan selain sumbangan ekonomi.

"Kajian NISCS pula menganggarkan militia nelayan Vietnam semakin membesar berbanding 12 tahun lalu dengan anggaran antara 46,000 hingga 70,000 orang yang dibahagikan mengikut wilayah operasi masing-masing,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca