PERSETUJUAN ahli-ahli Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti pada 27 Julai lalu menandakan suatu kejayaan rakyat dalam usaha untuk menjadikan wakil rakyat lebih bertanggungjawab kepada pengundi-pengundi yang telah memilih mereka.
Calon-calon pilihan raya di Malaysia, ditentukan oleh parti politik masing-masing (kecuali calon bebas) dan berkempen berdasarkan kepada manifesto yang dikeluarkan oleh parti-parti politik.
Budaya ini menjadikan calon seolah-olah mewakili parti masing-masing dan bukannya pengundi yang memilih mereka.
Ramai antara pengundi memilih calon kerana kepercayaan dan sokongan terhadap parti dan bukannya berdasarkan kepada kekuatan calon tersebut.
Tindakan wakil rakyat melompat parti selepas pilihan raya adalah bertentangan dengan mandat yang diberikan oleh pengundi dan ini dianggap sebagai pengkhianatan kerana pengundi memilih wakil berdasarkan kepada manifesto parti politik dan janji-janji yang ditawarkan semasa kempen pilihan raya.
Apabila wakil rakyat melompat parti dan mengguna pakai fahaman dan ideologi parti yang lain, tindakan tersebut adalah bertentangan dengan apa yang diingini oleh pengundi yang telah memilih untuk tidak menyokong fahaman atau manifesto parti tersebut semasa pilihan raya.
Acap kali Yang Berhormat (YB) yang melompat parti menegaskan bahawa tindakan mereka itu adalah demi kepentingan rakyat.
Namun biasanya ahli-ahli lompat parti ini akan menerima habuan daripada parti baharu mereka dan ini memberi gambaran yang jelas bahawa kepentingan peribadi wakil rakyat melebihi kepentingan rakyat.
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) buat pertama kalinya berlaku perubahan dalam parti memerintah semenjak Malaysia mencapai kemerdekaan.
Barisan Nasional (BN) mendapat kejutan apabila ditewaskan oleh Pakatan Harapan (PH).
Kehilangan kuasa memerintah setelah sekian lama menjadi tunggak kerajaan menyebabkan BN berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan semula kuasa yang telah tercicir tersebut.
‘Langkah Sheraton’ melengkapkan usaha tersebut apabila berlakunya gabungan parti-parti politik dan lompatan ahli-ahli Parlimen yang menyebabkan Perdana Menteri pada ketika itu hilang sokongan di Parlimen.
Ramai pengundi amat kecewa apabila kerajaan PH tumbang kerana ahli-ahli Parlimen bertindak bertentangan dengan mandat yang diberikan kepada mereka semasa pilihan raya.
Tindakan tersebut walaupun tidak menyalahi undang-undang pada ketika itu, tetapi dari segi moral dan tanggungjawab wakil rakyat di dalam sistem demokrasi, ia adalah suatu langkah yang mencemarkan sistem demokrasi di mana rakyat yang berkuasa untuk memilih kerajaan dan bukannya wakil rakyat.
Kegiatan lompat parti ini juga menyebabkan pengundi hilang kepercayaan kepada sistem pilihan raya. Lain yang dipilih, lain yang menjadi kerajaan.
Parti yang tewas memegang tampuk pemerintahan, manakala parti yang menang menjadi pembangkang. Ini adalah bertentangan dengan hasrat dan harapan rakyat semasa mengundi.
Ahli dan parti politik seharusnya menghormati kehendak rakyat dan sebarang perubahan haruslah melalui peti undi dan bukannya menerusi perbincangan para elit politik tanpa pengetahuan dan persetujuan pengundi yang melantik mereka.
Keputusan pilihan raya yang bebas, adil dan telus harus dihormati oleh semua pihak terutama ahli-ahli politik kerana itu adalah kehendak rakyat.
Rakyat Malaysia kini merasa lega kerana proses reformasi politik sedang berlaku apabila ahli-ahli Parlimen meluluskan RUU Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti baru-baru ini.
Dengan adanya undang-undang baharu ini, kebertanggungjawaban ahli-ahli Parlimen untuk menjaga kepentingan rakyat akan lebih terserlah.
Rakyat amat berharap agar undang-undang ini segera dikuatkuasakan memandangkan PRU15 akan menjelang pada bila-bila masa. Kepercayaan rakyat kepada sistem pilihan raya harus diperkukuhkan.
* Amerul Muner Mohammad ialah mantan Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (Penyelidik Centre for Electoral Education and Democracy)
Klik di sini untuk terus membaca