DUA minggu yang lepas, badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengemukakan dapatan penyelidikan tentang ketelusan dan akauntabiliti belanjawan di semua 13 negeri di tanah air. Apa yang menarik ialah negeri Terengganu... Klik di sini untuk terus membaca

DUA minggu yang lepas, badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengemukakan dapatan penyelidikan tentang ketelusan dan akauntabiliti belanjawan di semua 13 negeri di tanah air.

Apa yang menarik ialah negeri Terengganu mendahului kesemua negeri yang lain, termasuk negeri-negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang serta negeri-negeri Barisan Nasional (BN) seperti Johor yang biasa dianggap lebih maju, lebih telus dan diselia dengan lebih baik oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka.

Kajian ini menggunakan dua kayu ukur: pertama, skor ‘ketersediaan awam’ dokumen belanjawan negeri, dan kedua ialah skor ‘penyeliaan’ (oversight) kerajaan negeri oleh cabang perundangan.Dalam kayu ukur pertama, Terengganu satu-satunya menyediakan keempat-empat dokumen penting untuk belanjawan negeri, iaitu Cadangan Belanjawan Eksekutif (Executive Budget Proposal) yang merangkumi ucapan belanjawan dan rang undang-undang perbekalan, Belanjawan Dikanunkan (Enacted Budget), Laporan Akhir Tahun dan Laporan Audit.

Yang memeranjatkan, Belanjawan Dikanunkan hanya boleh didapati di Johor and Perlis (BN) selain Terengganu (Pas). Ini bermaksud orang awam tidak dapat mencapai dokumen rasmi apa yang DUN luluskan untuk hasil dan perbelanjaan kerajaan Negeri.

Dalam kayu ukur kedua, IDEAS mengkaji tiga perkara: (a) berapa awal EBP dibentangkan di DUN sebelum tamatnya tahun kewangan; (b) ketersediaan penyata rasmi DUN; dan (c) maklumat tentang aktiviti Jawatankuasa Kunci kira-kira Wang Awam (PAC).

Secara keseluruhannya, Terengganu masih mengambil tempat pertama tetapi gambaran keseluruhan untuk semua negeri cukup menghampakan.

Antara DUN yang bersidang dalam 2021, yang ambil tempoh paling panjang untuk meneliti dan mendebatkan ECB ialah Selangor (PH) dan Johor (BN), dengan tujuh hari, manakala yang paling pendek ialah Melaka (BN) dan Kelantan (Pas) dengan satu dan dua hari saja. Dengan penelitian yang begitu singkat, bagaimana rakyat boleh rasa tenang pegar tidak memakan padi?

Sebagai contoh, enam daripada 13 negeri: Perak dan Melaka (BN), Kedah dan Kelantan (Pas), Negeri Sembilan (PH) dan Sarawak (GPS) tidak menyediakan penyata rasmi DUN. Pada masa yang sama, Selangor (PH) satu-satunya negeri yang melaporkan aktiviti PAC.

Kajian IDEAS ini cukup bermakna kerana menarik perhatian kita kepada amanah kewangan kerajaan negeri sungguhpun dana yang terlibat jauh kecil berbanding dengan belanjawan Persekutuan. Terdapat dua dapatan yang cukup menarik.

Pertama, kita perlukan lebih banyak persaingan dasar dan urus tadbir di peringkat negeri. Reformasi dan tadbir baik yang dituntut di Putrajaya tidak semestinya dilaksanakan di negeri sendiri.

Kedua, parti yang sama boleh memerintah dengan cara yang berbeza sekali di negeri lain. Kalau pemerintahan Pas di Kelantan dan Kedah sering dikait dengan banjir dan pembalakan haram, Pas di Terengganu nampaknya berupaya mendahului negeri lain untuk bersaing dengan urus-tadbir yang baik.

PAS

Daripada berkuliah panjang untuk membela perasuah ‘kerana dia orang kita’, keimanan boleh ditonjolkan dengan menjunjung amanah yang diberikan.

Rakyat mesti terus menggalakkan persaingan antara parti dan di dalam parti. Bayangkanlah kalau parti-parti pemerintah di semua negeri bersatu di bawah sebuah khemah besar, sudah tentu pengurusan negeri semakin tidak telus dan tidak bertanggungjawab.

Akhirnya, semakin banyak pokok ditebang, semakin banjir melanda, dan semakin rakyat sengsara.

Dari Makassar datangnya Daing

Merantau sepanjang waktu

Maju bila terpaksa saing

Malas bila pesaing bersekutu

* Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca