SPEAKER Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi akhirnya membuat lawatan ke Taiwan pada malam Selasa lalu menjadikannya tokoh politik berprofil tinggi AS berbuat demikian dalam tempoh 25 tahun walaupun kunjungan itu mendapat tentangan daripada kerajaan komunis China.
Beliau dan delegasinya yang menaiki pesawat Tentera Udara AS kemudian mendarat di Lapangan Terbang Songshan, Taipei selepas melawat Malaysia serta Singapura tanpa ada sebarang gangguan dan campur tangan daripada tentera China.
Pesawat yang dinaiki Pelosi itu diiringi oleh jet-jet Tentera Udara Taiwan ke lapangan terbang tersebut dalam lawatan singkat sebelum beliau dan lima anggota Kongres AS yang mengikuti delegasinya berlepas ke Korea Selatan pada waktu tengah hari.
Dalam lawatan itu, Pelosi mengadakan pertemuan berprofil tinggi dengan Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen, Timbalan Speaker Badan Perundangannya, Tsai Chi-chang, Naib Presiden, William Lai dan pegawai kanan yang lain.
Speaker itu juga mengadakan pertemuan dengan pembekal cip terkemuka, penyokong hak asasi manusia, aktivis prodemokrasi di Taman Memorial Hak Asasi Manusia dan Budaya Jing-Mei termasuk bekas pemilik kedai Causeway Bay Books in Taipei, Lam Wing-kee yang melarikan diri ke pulau itu dari Hong Kong pada 2019 dan bekas ketua pergerakan pelajar di Medan Tiananmen, Beijing, Wuer Kaixi.
Turut menghadiri mesyuarat tertutup dengan Pelosi ialah Lee Ming-che iaitu seorang pekerja pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Taiwan yang dipenjarakan di Tanah Besar China kerana kegiatan subversi pada tahun 2017 sebelum dibebaskan pada tahun ini.
Sejurus sebelum berlepas pada Rabu lalu, beliau membuat ciapan di Twitter dengan menyatakan bahawa delegasinya telah mengulangi sokongan untuk demokrasi Taiwan.
Lawatan itu pada mulanya tidak dimasukkan dalam senarai kunjungannya ke empat buah negara Asia iaitu Singapura, Malaysia, Korea Selatan dan Jepun berdasarkan kepada kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pejabatnya sebelum ini.
Lawatan kontroversi
Beberapa kapal perang AS sedang belayar di perairan berhampiran Taiwan pada Selasa lalu di tengah-tengah kemarahan China terhadap lawatan kontroversi Pelosi ke pulau yang didakwa Beijing sebagai wilayahnya.
Ketika China mengumumkan akan mengadakan latihan ketenteraan secara langsung di Selat Taiwan sebagai tindak balas kepada lawatan Pelosi, Armada Ketujuh Tentera Laut AS berkata kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear Ronald Reagan beroperasi di Laut Filipina, selatan Taiwan.
Beijing telah memberi amaran bahawa lawatan berkenaan tidak boleh diterima kerana ia melanggar kedaulatannya ke atas pulau tersebut yang telah lama dituntut oleh negara komunis tersebut iaitu sejak tahun 1940an lagi sehingga Jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying menggelar kunjungan oleh Pelosi itu sebagai bodoh, berbahaya dan satu perjudian yang tidak perlu.
Walaupun delegasi kongres AS secara rutin melawat Taiwan, China telah memberi amaran tentang tindak balas berhubung lawatan tersebut sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa krisis besar kemungkinan berlaku di Selat Taiwan.
Selepas lawatan itu, agensi berita China, Xinhua melaporkan tentera negara tersebut merancang untuk menjalankan latihan tembakan secara langsung dari 4 Ogos hingga 7 Ogos di beberapa lokasi berbeza di perairan sekitar Taiwan.
Presiden AS, Joe Biden menghormati keputusan Pelosi untuk pergi ke Taiwan dan ia sangat konsisten dengan dasar negara tersebut sejak beberapa dekad lalu, kata Penyelaras Komunikasi Strategik Majlis Keselamatan Negara 'Uncle Sam' itu, John Kirby memberitahu wartawan pada Selasa lalu.
Biden pada Selasa masih dijangkiti dengan Covid-19 selepas terkena jangkitan pandemik tersebut buat kali kedua pada Sabtu lalu sehingga menyebabkan beliau mengasingkan diri ketika berada di Rumah Putih, Washington.
Naib Menteri Luar China, Xie Feng pula bertindak memanggil Duta Besar AS ke China, Nicholas Burns pada awal pagi Rabu untuk membantah lawatan Pelosi ke Taiwan dan menganggap kunjungan tersebut akan memberikan akibat yang sangat serius sambil menegaskan negaranya tidak akan berdiam diri.
Tidak lama selepas Pelosi tiba di lapangan terbang Songshan Taipei, lima pihak berkuasa China termasuk Kementerian Luar China, Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan, Pejabat Hal Ehwal Taiwan di Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar di Jawatankuasa Persidangan Perundingan Politik Rakyat China Kebangsaan dan Kementerian Pertahanan Negara mengeluarkan kenyataan mengutuk lawatan itu.
Kesemua pihak berkuasa itu menyatakan lawatan tersebut merosakkan asas politik hubungan China dengan AS dan menghantar mesej yang salah kepada pasukan kemerdekaan Taiwan.
Pada minggu lalu, Presiden China, Xi Jinping memberi amaran kepada Biden dalam gesaan bahawa AS tidak seharusnya bermain api apabila ia melibatkan Taiwan.
Mesej agresif itu berfungsi untuk mengukuhkan imej domestik pemimpin China itu menjelang persidangan Kongres Parti Komunis ke-20 pada musim luruh ini, kata Steve Tsan iaitu Pengarah SOAS China Institute di London.
Sekutu-sekutu China seperti Rusia dan Korea Utara turut mengkritik lawatan Pelosi dengan Pyongyang menganggapnya sebagai campur tangan dalam hal ehwal China manakala Rusia pula berkata, Beijing mempunyai hak untuk mengambil langkah perlu untuk melindungi kedaulatan serta integriti wilayahnya berhubung isu Taiwan. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca