SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan pertembungan empat blok gabungan parti politik apabila Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis mengumumkan penubuhan satu lagi gagasan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan pertembungan empat blok gabungan parti politik apabila Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis mengumumkan penubuhan satu lagi gagasan baharu.

Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia Profesor Dr Sivamurugan Pandian berpandangan, pertembungan empat blok gabungan parti politik itu akan memberi lebih banyak pilihan kepada pengundi.

Sivamurugan Pandian

"Jika pada peringkat awal dahulu hanya ada dua parti iaitu UMNO atau Pas. Namun, kemunculan beberapa parti yang boleh diandaikan sebagai serpihan asas dua parti tersebut memberikan gambaran wujud kepelbagaian dalam ideologi politik asas yang pernah diperjuangkan oleh UMNO dan Pas.

"Perpecahan undi ini juga akan menjadikan pilihan raya akan datang lebih menarik walaupun kita tahu tumpuan akan diberikan kepada UMNO, Pas, Amanah dan Bersatu.

"Bagi Pejuang, ini mungkin untuk mengatasi isu yang mereka hadapi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila mereka kalah semua deposit,” katanya.

Sivamurugan turut menegaskan sukar untuk menjangkakan gabungan mana yang memperoleh kelebihan di sebalik penubuhan gagasan baharu itu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, penubuhan gagasan baharu itu menunjukkan perpecahan dalam kalangan parti Melayu semakin kritikal.

Mohammad Tawfik

Menurutnya, penubuhan itu tidak wajar kerana akan mengeruhkan lagi sentimen pengundi terhadap parti Melayu.

"Tindakan ini akan mengundang perpecahan lebih besar walaupun saya menjangkakan impak gagasan ini tidak terlalu kuat kerana dianggotai parti ‘nyamuk’.

"Namun, dengan kewujudan banyak parti Melayu ini akan menyebabkan orang Melayu akhirnya tercari-cari ke arah mana mereka perlu bergantung atau berpaut.

"Ia kerana orang Melayu perlukan sebuah parti yang boleh membawa orang Melayu lebih kehadapan dalam politik, ekonomi dan sosial,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca