PENGUMUMAN gabungan politik baharu, Gerakan Tanah Air (GTA) oleh Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menyaksikan secara rasminya empat blok parti politik termasuk Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH)... Klik di sini untuk terus membaca

PENGUMUMAN gabungan politik baharu, Gerakan Tanah Air (GTA) oleh Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad menyaksikan secara rasminya empat blok parti politik termasuk Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) akan berentap pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Berteraskan agenda Melayu dan Islam, gabungan politik baharu itu menggabungkan Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Dengan tarikh PRU15 yang hangat diperkatakan bakal diadakan dalam waktu terdekat, persoalan yang timbul adakah dengan kehadiran blok baharu itu benar-benar mempertahankan agenda Melayu dan Islam di kala BN/UMNO dan PN melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Pas turut memperjuangkan agenda sama.

Atau adakah kembalinya Dr Mahathir ke pentas politik negara bertujuan untuk mencipta rekod menjadi pemimpin yang memegang jawatan Perdana Menteri tiga kali dalam sejarah.

Dr Mahathir Mohamad

PARTI KECIL GIGIT JARI?

Penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat berpandangan, blok politik baharu pimpinan bekas Perdana Menteri itu dilihat hanya akan menguntungkan parti besar seperti BN/UMNO yang secara jelasnya mempunyai jentera dan akar umbi yang kuat.

"Secara logiknya, ia menguntungkan parti yang lebih besar manakala parti kecil mungkin tiada berpeluang menang.

"Jika Sistem Perwakilan Berkadar (PR) menggantikan Sistem Pemenang Undi Terbanyak (FPTP) di bawah sistem pilihan raya ketika ini, nasib parti-parti kecil lain mungkin berbeza,” katanya.

Malah tidak keterlaluan Chin Huat menyimpulkan bahawa penubuhan gagasan baharu itu hanyalah mempunyai satu tujuan iaitu memastikan Dr Mahathir kekal relevan dalam pentas politik Malaysia.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh berkenaan juga terpaksa membentuk gabungan baharu parti politik kerana melihat parti Pejuang mungkin tidak dapat bertahan lama dan menang dalam pilihan raya jika mereka terus bertanding sendirian.

Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula menegaskan, Dr Mahathir menubuhkan gagasan politik baharu kerana melihat BN dan PH tidak mungkin akan menerima Pejuang susulan rekod tidak bersih yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Langkawi berkenaan sebelum ini.

AURA TUN

Pun begitu Awang Azman berkata, biarpun pengaruh Dr Mahathir dalam arena politik tanah air semakin berkurangan, namun negarawan ulung itu mempunyai aura dan kekuatan tersendiri untuk memecahkan undi terhadap BN, PN dan PH di kawasan majoriti Melayu pada PRU15.

"Mungkin sukar blok baharu diketuai Dr Mahathir yang mempunyai sokongan sangat minimum untuk menyekat kebangkitan BN/UMNO dan PH tetapi mereka mungkin boleh memecahkan undi Melayu di kawasan ditandingi oleh BN/UMNO, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pas yang dikuasai pemimpin Melayu.

"Inilah yang dilakukan oleh Dr Mahathir (pecahkan undi) semasa Tun Abdullah Badawi; Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjadi Perdana Menteri, selain ketika beliau menentang Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim suatu ketika dahulu sehingga menyebabkan undi orang Melayu/Islam semakin berpecah,” katanya.

Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, penubuhan GTA dijangka tidak memberi impak besar kepada politik tanah air yang kini didominasi oleh gabungan utama iaitu BN, PH dan PN.

Berikutan itu Mazlan berkata, tumpuan sokongan orang Melayu dalam PRU15 akan kekal menjadi milik UMNO, Pas dan Bersatu sekali gus menyebabkan gagasan itu dan Dr Mahathir akan berhadapan dengan cabaran besar untuk meraih undi nanti.

"Saya fikir orang Melayu masih mengenang jasa dan sumbangan UMNO selama ini dan Pas yang didokong oleh mereka yang cintakan agama Islam. Orang Melayu juga bertambah yakin bahawa Bersatu kini menjadi salah satu parti boleh membela mereka.

"Justeru itu, Dr Mahathir perlu bekerja lebih keras jika beliau mahu meraih sokongan orang Melayu dalam PRU15 nanti.

"Malah, sebagai pemimpin berpengaruh, mempunyai kekuatan tersendiri dan pernah menjadi Presiden UMNO serta Perdana Menteri dua kali, saya yakin Dr Mahathir boleh melakukan sesuatu yang mampu mengubah suasana politik tanah air sekarang,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca