SEHARI selepas Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi meninggalkan Taiwan pada Rabu untuk menuju ke Korea Selatan, tentera China mengadakan latihan tembakan ketenteraan di sekeliling pulau itu mulai Khamis. Ia... Klik di sini untuk terus membaca

SEHARI selepas Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi meninggalkan Taiwan pada Rabu untuk menuju ke Korea Selatan, tentera China mengadakan latihan tembakan ketenteraan di sekeliling pulau itu mulai Khamis.

Ia berlangsung selama beberapa hari di sepanjang laluan perkapalan paling sibuk di bumi yang digunakan untuk membekalkan semikonduktor penting dan peralatan elektronik serta dihasilkan di hab kilang Asia Timur ke pasaran global.

Hampir separuh kapal kontena dunia melalui Selat Taiwan yang sempit yang memisahkan pulau itu dari Tanah Besar China dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, menurut data yang dikumpulkan oleh agensi berita Bloomberg.

Pada Khamis, China menepati janjinya bahawa pulau itu akan membayar harga yang tinggi selepas ia menjadi tuan rumah kepada Pelosi yang melawatnya dalam tempoh 25 tahun walaupun Beijing menentang lawatan seumpama itu sebelum ini.

Dalam latihan yang diadakan pada Khamis, tentera China menjalankan latihan tembakan jarak jauh di Selat Taiwan, lapor penyiar negeri CCTV.

Latihan ketenteraan tentera China di sekeliling Taiwan bermula pada Khamis. - Foto AFP

Pada Rabu, media negara China melaporkan bahawa latihan untuk mensimulasikan sekatan udara dan laut di sekitar Taiwan telah bermula pada Rabu tetapi ia menawarkan sedikit bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan itu.

Jet pejuang siluman J-20, pesawat pengebom H-6K, jet pejuang J-11, kapal pemusnah Type 052D, kapal korvet Type 056A dan peluru berpandu balistik jarak dekat DF-11 adalah antara senjata yang digunakan dalam latihan itu.

Taipei mendakwa China telah menghantar lebih daripada 20 jet pejuang melintasi garisan tengah di Selat Taiwan dan pada Khamis dan tentera Taiwan berada dalam keadaan berwaspada selain menganggap latihan tembakan tersebut sebagai tindakan tidak rasional.

LATIHAN TENTERA

Pulau itu juga memantau dengan teliti aktiviti tentera China yang digelarnya sebagai pihak musuh di sekitar laut Taiwan dan pulau-pulau terpencil dan pihak Kementerian Pertahanan tidak menolak kemungkinan akan bertindak sewajarnya dalam isu latihan ketenteraan tersebut.

Parti Komunis China yang memerintah mendakwa Taiwan adalah wilayahnya sendiri walaupun Beijing tidak pernah mengawalnya sejak tahun 1940an tetapi berhak untuk mengambilnya secara paksa selain menyifatkan pulau yang mempunyai pemerintahan sendiri itu adalah urusan dalamannya.

China turut mengeluarkan peta yang menunjukkan enam zon di sekitar Taiwan yang menjadi tapak latihan ketenteraan dalam tempoh beberapa hari akan datang namun pada Khamis, Biro Maritim dan Pelabuhan Taiwan mendakwa Beijing telah menambah kawasan latihan ketujuh untuk kapal serta pesawat.

Latihan tentera China di sekeliling pulau Taiwan bagaikan mengepung pulau itu.

Tentera China yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) juga telah menghantar sekurang-kurangnya satu kapal selam berkuasa nuklear ke latihan di sekitar pulau Taiwan untuk latihan pencegahan kapal induk pertamanya.

Zhang Junshe iaitu Felo Penyelidik Kanan di Akademi Penyelidikan Tentera Laut PLA dilaporkan memberitahu Global Times bahawa latihan tentera tersebut dari Khamis hingga Ahad di sekitar pulau Taiwan akan menampilkan latihan pencegahan kumpulan pengangkut pesawat pertama PLA yang akan mewujudkan sistem tempur pelbagai dimensi maritim.

TEMBAKAN MERIAM

Selepas latihan dimulakan pada pukul 12 tengah hari, Tentera Darat PLA menjalankan latihan tembakan langsung meriam jarak jauh di Selat Taiwan pada kira-kira pukul 1 petang dengan tepat mengenai sasaran tertentu di sebelah timur selat tersebut dan memperoleh hasil yang diharapkan.

Klip video yang dirakamkan oleh netizen tidak lama kemudian tular di media sosial dan menunjukkan roket jarak jauh ditembak dari Pingtan di Wilayah Fujian China Timur serta terletak hanya 125 kilometer dari Taiwan.

Serangan roket jarak jauh boleh menjadi salah satu langkah pertama dalam latihan tersebut yang juga dikenali sebagai operasi penyatuan semula kerana senjata kos rendah itu boleh dilancarkan dalam jumlah besar-besaran dari Tanah Besar China merentasi Selat Taiwan untuk memusnahkan kemudahan tentera musuh, kata seorang pakar tentera yang berpangkalan di Beijing tetapi tidak mahu namanya disiarkan kepada Global Times.

Bagaimanapun, Taiwan mendakwa latihan itu melanggar peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana China menyerang ruang wilayah pulau tersebut.

Memandangkan kemajuan ketenteraannya, China berkemungkinan besar mempunyai keupayaan untuk menguatkuasakan sekatan udara dan maritim terhadap Taiwan, kata Thomas Shugart iaitu pakar di Center for a New American Security iaitu kumpulan pemikir AS kepada AFP.

Menyentuh tentang latihan itu, Alessio Patalano iaitu profesor perang dan strategi di King's College di London berkata, Sekatan adalah sukar untuk dilaksanakan dan impak terbesar latihan itu ialah dari segi psikologi.

Dalam tempoh masa latihan itu, kapal dan pesawat berkemungkinan akan mengubah laluan untuk mengelak kawasan tersebut, tetapi ia mewujudkan gangguan, ketidakselesaan dan ketakutan akan berlaku, katnya kepada CNN. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca