TANGGAL 8 Ogos ialah Hari ASEAN. Tahun ini temanya ialah ‘Bantuan Kemanusiaan Serantau’.
Bantuan kemanusiaan bertujuan untuk menyelamatkan nyawa, mengurangkan penderitaan dan menjaga maruah semasa serta selepas berlakunya bencana-bencana alam (semula jadi atau buatan manusia) dan konflik/krisis (buatan manusia).
Ia juga bertujuan mengelak daripada berlaku lagi dan memperkuatkan persediaan sekiranya berlaku lagi.
Ia dipandu prinsip-prinsip utama – manusiawi, berkecuali dan bebas.
Terdapat 10 jenis bantuan kemanusiaan – bencana, tempat tinggal, makanan, peralatan, air bersih, sanitasi, perubatan, kanak-kanak, pelarian dan pendidikan.
Rantau ASEAN sering terjejas oleh bencana. Ia mengakibatkan berlebihnya kerugian ekonomi, meningkatnya kematian dan bertambahnya orang pelarian dalaman serta pelarian.
Justeru, mengurangkan risiko bencana menjadi salah satu prioriti ASEAN.
Perjanjian ASEAN tentang Pengurusan Bencana dan Respons Kecemasan (AADMER) menjadi dasar induk bagi negara-negara anggota ASEAN dalam mengukuhkan usaha-usaha kolektif bagi mengurangkan risiko-risiko bencana dan menambah baik respons terhadapnya.
Pusat AHA (Koordinasi ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana) ditubuhkan.
Antara pertubuhan masyarakat sivil (CSO) tempatan yang aktif di rantau ini ialah Mercy Malaysia, Agensi Bantuan Malaysia (MRA) dan Yayasan SALAM.
Cabaran utama adalah sistem bantuan kemanusiaan yang sedia ada tidak mampu memenuhi permintaan. Masalah terbesar adalah kewangan. Pendanaan yang ada amat sedikit berbanding jumlah diperlukan.
PEMBAZIRAN
Apabila berlaku bencana luar biasa, contohnya tsunami (ramai kehilangan nyawa dan banyak kerosakan) serta krisis Myanmar (kematian meningkat, 1.2 juta orang pelarian dalaman dan lebih sejuta pelarian), bantuan luar diperlukan.
Sementara itu, terdapat jurang dalam misi bantuan kemanusiaan.
Adakala bantuan disediakan (barangan atau perkhidmatan) bukannya keperluan sebenar pihak mangsa. Berlakulah pembaziran, malah ada yang dijual.
Ada bantuan yang menimbulkan kesan tidak dijangkakan. Ada tambah membebankan.
Adakala pihak pemberi bantuan (CSO, penaja dan kerajaan) mempunyai agenda tersendiri.
Beberapa penambahbaikan diperlukan:
- Mendapatkan maklumat tepat daripada sumber tempatan.
- Mendengar suara mangsa.
- Menentukan prioriti.
- Meningkatkan profesionalisme sukarelawan, petugas/pegawai dan agensi kerajaan.
- Mengatasi kerenah birokrasi.
- Meningkatkan kerjasama ketiga-tiga sektor (kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil).
- Mewujudkan kerangka kebertanggungjawaban, ketelusan dan penilaian (pendanaan, kerja-kerja sebenar dan lain-lain.)
Namun, bantuan kemanusiaan hanya mampu respons kepada apa-apa yang berlaku akibat krisis dan bencana, kebanyakannya berpunca daripada perbuatan manusia antarabangsa yang tidak adil.
Jadi, di samping menambah baik sistem bantuan kemanusiaan, reformasi institusi-institusi tempatan dan antarabangsa perlu diteruskan.
* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd
Klik di sini untuk terus membaca